Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 21, 2017

[KUANTAN] AGENSI KERAJAAN DISARAN AMBIL PELUANG TMP2017


Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah


Semua agensi kerajaan dan pihak yang terbabit dalam industri pelancongan disaran mengambil peluang penganjuran Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP17) untuk mencapai sasaran 15 juta pelancong tahun ini.

Majlis pengisytiharan TMP17 disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di perkarangan tempat letak kereta Pusat Transformasi Bandar (UTC), malam tadi.

Tengku Abdullah dalam titah perasmian berharap semua pihak memainkan peranan dalam memperkenalkan dan mempromosikan Pahang dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

"Bagi mereka yang bertanggung jawab memastikan keselesaan dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke sini... pastikan infrastruktur disediakan dalam keadaan baik.

"Jaga kebersihan di lokasi tumpuan pelancong bagi mengelak masalah penyebaran penyakit berjangkit. Contohnya, penyakit kencing tikus yang dikhuatiri boleh mengakibatkan pelancong tidak berminat untuk ke sini," titahnya.

Hujan lebat tidak menghalang kira-kira 5,000 pengunjung memeriahkan majlis berkenaan.

Majlis dimulakan dengan persembahan kebudayaan membabitkan 120 penari yang memaparkan kebudayaan dari 11 daerah di negeri ini selama 45 minit oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri memukau pengunjung.

Kemuncak majlis itu, persembahan interaktif digital menggabungkan animasi dan manusia menampilkan olahragawan negara yang juga anak jati Pahang, Mohd Al Jufri Jamari.

Seramai lapan artis terkenal tanah air turut membuat persembahan pada majlis berkenaan antaranya Dafi, Rosma AF, Roslan Madun, Ameng, Ippo Hafiz, Naz dan Arif Kilauan Emas.

Turut menyerikan lagi majlis berkenaan ialah persembahan tarian tradisional Pahang oleh kumpulan Anak-Anak Semantan.


0 comments:

share2