Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 28, 2017

'KAMI TERBEBAN CAJ PENGURUSAN, DENDA TAK LOGIK'


'Kami terbeban caj pengurusan, denda tak logik’


Ampang - Penduduk sebuah flat kos rendah di sini mendakwa badan pengurusan bersama (JMB) kawasan itu mengenakan pelbagai caj pengurusan dan denda sehingga membebankan penduduk.

Penduduk V Kamalam, 65, berkata, dia telah membuat laporan polis berikutan meter air rumahnya telah dikunci pihak berkenaan.

“JMB akan buat penguncian meter air terhadap pemilik yang ada tunggakan caj air lebih RM66.

“Saya sendiri telah terima surat daripada pihak itu yang menyatakan bil denda berjumlah RM1,286.85, denda ni tak munasabah...kemudian mereka bertindak mengunci meter air rumah saya 23 Disember lalu,” katanya.

Seorang penduduk yang enggan dikenali pula memaklumkan JMB turut mengeluarkan notis denda di bawah peraturan bersama terhadap penduduk.

“Pihak pengurusan tak benarkan kami letak apa-apa barang di koridor, kami juga tak boleh jaga binatang peliharaan malah kami boleh dikenakan denda sebanyak RM200.

“Kalau kami tak patuh kepada perintah tersebut dalam tempoh 14 hari daripada surat notis denda dikeluarkan, kami akan dikenakan denda tambahan sebanyak RM400 sampai perintah itu dipatuhi.

“Kalau ada barang di koridor, pihak pengurusan akan arahkan kontraktor untuk pindahkan barangan tersebut dan penduduk diwajibkan untuk tanggung segala perbelanjaan berkenaan...kami rasa terbeban dengan semua ni,” katanya ketika menerima lawatan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan 5K Komuniti Pandan ke flat berkenaan, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi pertubuhan itu, R Sivaneswaran berkata, pihaknya akan mengadakan sesi dialog penduduk bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat pada 5 Februari ini.

“Penduduk boleh utarakan aduan dan masalah kepada MPAJ, disamping membincangkan isu keselamatan berkaitan pencegahan jenayah dan isu lain dengan agensi berkaitan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain memaklumkan Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPAJ telah mengeluarkan notis kepada JMB berkenaan agar menghentikan segera apa-apa tindakan yang telah dilaksanakan.

“Saya difahamkan pengerusi JMB berkenaan melaksanakan tugas perkhidmatan penyelenggaraan berseorangan iaitu diibaratkan seperti ‘one man show’, jawatankuasa pula tidak aktif. Keputusan pula dibuat hanya dia sendiri tanpa penglibatan komuniti, ia adalah tidak sah,” katanya.


0 comments:

share2