Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 18, 2017

[JERANTUT] KPDNKK BERI TAKLIMAT TIMBANG SUKAT PETROL


KPDNKK beri taklimat timbang sukat petrol


Sejak harga minyak petrol naik awal bulan lalu, ada desas desus mengatakan syarikat yang membekalkan minyak terbabit melakukan penipuan dengan mengurangkan kadar minyak yang dituang tidak setimpal dengan harga yang dibayar.

Desas desus terbabit tular dalam laman sosial sehingga menimbulkan rasa kurang senang pemilik stesen minyak dan juga jabatan terlibat.

Justeru, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) daerah ini telah membuat satu program bagi memberi taklimat berkaitan bagaimana timbang dan sukat minyak petrol di salah sebuah stesen minyak di daerah ini dilakukan.

‎Program yang turut dihadiri oleh jabatan-jabatan kerajaan dan penghulu mukim daerah ini itu menjelaskan tentang bagaimana minyak petrol di sesebuah stesen minyak ditentukan berpadanan dengan kadar dan harga yang ditetapkan.

Penjelasan terbabit dibuat oleh Pegawai Penentusahan Meteorologi Corporation Malaysia (MCM), Ahmad Zamri Mod Noh yang hadir bagi membuat penetusahan baharu untuk stesen Minyak Shell Jerantut Industri, di sini.

Dalam taklimatnya, Ahmad Zamri berkata, ‎penetusahan minyak petrol itu adalah mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 di mana setiap pam di stesen minyak memerlukan pengesahan dari segi sukatan pada setiap tahun.

"Secara kebetulan hari ini tarikh di pam di stesen minyak Shell Jerantut Industri ini akan tamat‎ dalam sehari dua lagi, jadi kami datang hari ini bagi melihat dan menetusahkan minyak yang ada di sini mengikut sukatan yang ditentukan.

"Mesti ada keseimbangan sukatan terbabit agar pengguna dan penjual sama-sama tidak rugi. Desas desus kata minyak kurang hanya cakap kosong kerana pengawasan untuk menentusahkan kadar minyak amat ketat," katanya.

Tambahnya, mereka mempunyai standard tersendiri untuk membuat perbandingan sama ada ukuran terbabit mengikut sukatan yang ditentukan.

"Kesemua pam-pam yang telah ditentusahkan ukurannya akan di 'seal' bagi memastikan ia tidak bole diubah.

"Ia hanya boleh dibuka setelah tamat tempoh dan hanya boleh dilakukan oleh pihak MCM," katanya.

‎Ketua Cawangan KPDNKK Jerantut, Mohd Faizul Salleh berkata, ‎pihaknya berharap agar dengan taklimat yang diberikan dapat memberi penjelasan kepada orang ramai bahawa tiada unsur penipuan yang boleh dilakukan oleh pihak syarikat yang membekalkan minyak petrol di daerah ini.

"Kita nak tunjuk macam mana proses kita menentukan sama ada minyak petrol yang kita ‎bayar setimpal dengan minyak yang kita dapat.

"Soal cepat habis atau tidak itu bergantung kepada prestasi sesebuah enjin kereta. Tapi yang penting adalah minyak yang kita bayar cukup atau tidak dengan yang kita dapat," katanya. ‎

Katanya, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang aduan berkaitan pengisian minyak petrol yang kurang dari kadar sepatutnya.

"Sekiranya pengguna mengalami masalah ini, segeralah membuat laporan kepada pihak kami untuk kami lakukan siasatan lanjut," katanya.


0 comments:

share2