Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 27, 2017

[JENGKA] HOTEL D'KOLAM DITENGGELAMI AIR


Hotel D'Kolam ditenggelami air, rugi RM10,000


Banjir yang melanda di Hotel D'Kolam Felda Jengka 14 di sini, mengakibatkan kerugian lebih RM10,000 kepada pengusahanya, Mohd Rafi Ekramuddin, 44.

Bagaimanapun kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.30 pagi Rabu lalu, sudah diduga ekoran kejadian sama pernah berlaku pada tahun 2014.

Mohd Rafi berkata, pada awal pagi kejadian beliau menerima panggilan telefon jam 1 pagi daripada pekerja hotel memaklumkan air dari sungai berdekatan sudah melimpah. 

"Pagi itu juga saya dan 20 pekerja lain bergegas ke hotel membawa lori untuk memindahkan barang-barang berharga seperti tilam dan peti ais. Hanya peti besar yang tak dapat diselamatkan sebab air naik sangat cepat.

"Syukur kami dah buat persediaan banjir. Kolam ikan di hadapan bilik hotel sudah dipagari jaring untuk mengelakkan kerugian besar. Kebanyakan perabot juga diperbuat daripada simen bukan kayu," katanya.

Menurutnya, banjir kali ini turut memusnahkan beberapa meja perabot dan bangunan lobi dan pejabat hotel.

Mohd Rafi berkata, pada tahun 2004 dan 2006, Hotel D'kolam juga pernah ditenggelami banjir. Rentetan peristiwa tersebut, beliau mempersiapkan diri dari segi pembinaan agar tidak mengalami kerugian besar di musim buruk.

"Katil diperbuat daripada simen. Begitu juga meja dalam bilik. Jadi kami tidaklah perlu angkut katil. Cuma angkut tilam dan perkakas elektrik," katanya.

Beliau yang juga pengusaha taman tema air, Kubang Buaya Waterpark dekat sini memaklumkan taman tema tersebut ditutup kepada umum buat sementara waktu ekoran turut dilimpahi air banjir.

"Air sudah melimpah ke dalam kolam kecil. Kami khuatir jika hujan lebat berterusan, kolam besar juga akan turut dimasuki air. Justeru sebagai langkah keselamatan dan persediaan, kami sudah memunggah barang ke lokasi selamat dan tutup dari kunjungan orang ramai.

"Berdasarkan pengalaman lepas, selepas banjir kolam taman tema memerlukan lebih 10,000 meter padu air untuk diisi dan ia memakan masa beberapa hari, sebelum boleh dibuka semula," katanya.


0 comments:

share2