Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 26, 2017

DATUK SHAHRUL IKRAM DILANTIK WAKIL TETAP MALAYSIA KE PBB



Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia yang baharu ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Wisma Putra mengumumkan hari ini.

Muhammad Shahrul, 55, ialah diplomat kanan yang telah berkhidmat di Kementerian Luar sejak 1988, dan dijangka memulakan tugas baharu itu pada minggu pertama Februari.

Beliau menerima watikah pelantikannya daripada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam majlis di kementerian itu di sini, hari ini.

Sebelum dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Muhammad Shahrul ialah Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia dari 2013 hingga 2016 dan kemudiannya sebagai timbalan ketua setiausaha bagi Hal Ehwal Dua Hala.

Beliau pernah menjawat beberapa jawatan penting di kementerian termasuk sebagai Duta Besar Malaysia di Austria dari 2010 hingga 2013, Duta Besar Malaysia di Qatar dari 2007 hingga 2010 dan Kaunselor di Kedutaan Malaysia di Vienna, Austria dari 2002 hingga 2005.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata peranan Wakil Tetap Malaysia ke PBB amat penting untuk mempromosikan dan mendukung kepentingan dan objektif dasar luar Malaysia berhubung isu-isu yang dibincangkan di PBB.

Antara fokus utama dan semasa PBB ialah pelaksanaan Perjanjian Paris mengenai Perubahan Iklim dan Agenda Pembangunan Lestari 2030, dengan matlamat pembangunan lestari telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11, katanya.

Selain itu, katanya, Wakil Tetap juga bertanggungjawab untuk meneruskan inisiatif-inisiatif yang diterima pakai oleh Malaysia pada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) semasa menjadi anggota tidak tetap bagi penggal 2015-2016.

Ini termasuk menggalakkan lima keutamaan yang disasarkan oleh Majlis Keselamatan iaitu kesederhanaan, mediasi, misi pengaman, pembinaan keamanan dan pembaharuan UNSC, katanya.

Malaysia akan terus menyokong tugas Pertubuhan Bangsa Bersatu, yang terasnya ialah keamanan dan keselamatan antarabangsa, pembangunan sosial dan ekonomi, dan penggalakkan dan pelindungan hak asasi manusia.

Untuk itu, Wisma Putra berkata, Malaysia akan terus menjalin kerjasama rapat dengan negara anggota PBB yang lain, Sekretariat PBB dan badan-badan penting lain di bawah PBB.

0 comments:

share2