Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 27, 2017

[BERA] ‘KAMI TAK MAHU AMBIL RISIKO'



‘Kami tak mahu ambil risiko’


Menyedari sekeliling rumahnya mulai digenangi air lewat petang kelmarin, tukang kebun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak, Mohd Sabri Nordin, 51, dan isterinya, Banukanata Che Omar, 40, mengambil keputusan berpindah ke pusat pemindahan terdekat.

Mohd Sabri berkata, memandangkan pada ketika itu rumahnya belum dinaiki air, dia meminta kebenaran pihak asrama sekolah itu untuk menumpang sementara sehingga pusat pemindahan di asrama SMK Mengkarak dibuka secara rasmi.

Menurutnya, dia mula berpindah pada jam 8 malam, bersama tiga anaknya, namun dua anaknya yang masing-masing berusia 13 dan 12 tahun tidak mahu bermalam di situ dan tinggal sementara bersama ibu saudara mereka di Felda Bukit Kepayang.

“Sebenarnya kami hanya nak menumpang saja, saya tak tahu pula kalau masuk pusat pemindahan, secara automatik ia akan beroperasi secara rasmi, dan kami akan didaftarkan sebagai mangsa banjir.

“Mungkin ada orang yang maklumkan kepada pihak berkenaan. Kira-kira jam 10 malam...baru ada pihak yang datang melawat.

“Kami juga diberikan selimut, kain pelekat dan batik, termasuk makanan dan minuman dihantar ke sini,” katanya.

Banukanata pula berkata, walaupun pernah menjadi mangsa banjir sebelum ini, tetapi kejadian itu merupakan kali pertama berlaku di rumah baharu mereka.

“Bila tengok air dah naik keliling rumah, kami tak mahu ambil risiko. Pagi tadi suami tengok rumah, air naik paras lutut dah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Datuk Razihan Adzharuddin berkata, sehingga jam 5 petang semalam, tiga lagi pusat pemindahan telah dibuka iaitu di SK Kuala Triang dengan enam keluarga yang dipindahkan dengan jumlah mangsa seramai 26 orang; manakala di Kompleks Rakan Muda pula, dua keluarga seramai empat orang didaftarkan di sini dan seramai 13 orang daripada tiga keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan SK Charuk Puting.

Menurutnya, keadaan itu menjadikan seramai 46 orang mangsa banjir terdiri daripada 12 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan banjir tersebut.

“Sebelum ini, pusat pemindahan di Surau Kampung Paya Panjang telah dibuka tetapi terpaksa ditutup semula apabila kawasan itu dinaiki air. Dan semua mangsa dipindahkan ke SK Kuala Triang,” katanya


0 comments:

share2