Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 18, 2017

[BERA] 'CUKUP JIKA DIRI DIHARGAI'


‘Cukup jika diri dihargai’


“Bukannya kami mahu keistimewaan yang melampau tapi cukup jika diri ini dihargai. Kami derma darah sebab nak tolong orang.”

Demikian luahan antara penderma darah ditemui Sinar Harian semalam, apabila kehadirannya bersama buku rekod berwarna merah itu tidak dihiraukan.

Ishak Hut, 62, berkata, dia menderma darah sejak tahun 1975 dan sehingga kini tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius.

Namun menurutnya, sepanjang 2015, dia tidak berupaya untuk menderma darah kerana mengidap penyakit batu karang dan keadaan itu memaksanya untuk berehat.

“Apabila saya pulih, saya berhasrat meneruskan usaha menderma darah untuk menampung keperluan darah di Unit Tabung Darah. Tetapi, saya dimaklumkan kena buat pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh terlebih dahulu sebab sudah lebih setahun tidak menderma.

“Jadi, saya ke hospital. Dari pagi hingga tengah hari menunggu, baru dapat berjumpa dengan doktor bertugas. Tapi, saya terkejut bila doktor sendiri tak tahu prosedur itu dan mencadangkan pula saya ke klinik swasta kalau nak keputusan cepat,” katanya.

Ishak berkata, meskipun kecewa dengan jawapan doktor itu, namun dia tetap membuat keputusan untuk melakukan pemeriksaan di klinik tersebut memandangkan layanan yang diterima amat baik.

Katanya, sebagai warga emas dan pernah berjasa menyumbangkan darah kepada orang lain, dia harap kakitangan berkenaan lebih peka dengan perkara ini.

Sementara itu, Yang Dipertua, Pertubuhan Penderma Darah Daerah Bera, Sulaiman Ghazali berkata, sudah acap kali dia menerima aduan seperti itu yang berlaku kepada penderma darah di kawasan sekitar ini.

Ujarnya, perkara itu secara tidak langsung menjejaskan emosi penderma darah dan memberikan persepsi negatif kepada bakal penderma darah.

“Unit Tabung Darah memerlukan darah yang banyak tapi sekarang ni, penderma kurang. Golongan belia tak mahu menderma.

“Jadi, apa salahnya sekiranya perkara seperti itu diberikan perhatian serius. Kalau pihak hospital dan klinik turut memainkan peranan mereka, ia akan melonjakkan angka penderma darah,” katanya.

Beliau berkata, penderma tegar adalah dalam kalangan mereka yang berumur antara 40 hingga 65 tahun, sedangkan masih ramai dalam kalangan anak-anak muda yang boleh menderma secara konsisten.


0 comments:

share2