Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 21, 2017

[BENTONG] RAYU PERKESO LULUS PERMOHONAN





Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dirayu mempertimbangkan permohonan pampasan dan pencen seorang bekas pengawal keselamatan, di sini yang lumpuh susulan penyakit sawan dan buah pinggang dihidapinya.

Adik iparnya, Zainudin Hassan, 50, berkata, abang iparnya, Shapri Borohan, 50, bukan sahaja tidak dapat melakukan urusan harian, malah tidak dapat keluar rumah untuk mencari rezeki.

Menurutnya, Shapri yang menghidap sawan sejak berusia 17 tahun kini diuruskan oleh adiknya, Umi Borohan, 48 yang merupakan isteri Zainudin.

“Sebelum ini, walaupun dia menghidap penyakit sawan dia masih boleh bekerja dan menjalani kehidupan seperti biasa.

“Namun, semasa Ramadan yang lalu, dia telah diserang sawan dan selepas itu dia sakit dan terlantar sampai ke hari ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Zainudin berkata, perbelanjaan harian mereka sekeluarga tidak mencukupi memandangkan kini hanya dia bekerja di ladang kelapa sawit.

“Kalau mengharapkan hasil sawit sahaja sangat tak cukup kerana perlu berkongsi dengan adik-beradik yang lain.

“Kalau Perkeso dapat memberi pampasan dan pencen untuk abang ipar saya, dapatlah sedikit meringankan beban saya. Saya telah memohon Perkeso ini sejak tahun lepas namun saya belum terima sebarang jawapan,” katanya.

Menurutnya, beban sememangnya terasa dalam menyediakan keperluan harian keluarga dan abang iparnya termasuk urusan rawatan perubatannya.

“Abang ipar saya sekarang tidak boleh makan seperti biasa. Sekarang ini, saya beri dia susu yang berharga RM75 yang hanya mampu bertahan selama seminggu sahaja dan juga kos lampin pakai buang RM85 sebulan,” katanya.

Zainudin berkata, kini abang iparnya hanya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.

“Saya harap ada pihak sudi membantu saya demi melihat abang ipar saya sembuh sepenuhnya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Zainudin di talian 011-17932464 .


0 comments:

share2