Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 5, 2016

UCAPAN KIT SIANG LEBIH TERUK DARI UCAPAN PEMIMPIN NAZI





Kuala Lumpur - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ir. Idris Haron membidas kenyataan penasihat Dap yang mendakwa Datuk Seri Najib menggunakan kaedah kepimpinan ala Nazi dalam menyampaikan ucapannya di dalam perhimpunan Agung UMNO 2016 yang berakhir pada 3 Dis lalu.

Menurut beliau, bahkan ucapan-ucapan Lim Kit Siang sendiri sebenarnya lebih teruk daripada kepimpinan Nazi, di mana ucapan penasihat dan pemimpin-pemimpin lain di dalam parti tersebut terbukti lebih menjuruskan kepada isu-isu perkauman yang boleh membawa kepada perpecahan dan ketegangan kaum di negara ini.

“Kalau Lim Kit Siang mengatakan Presiden UMNO berucap menggunakan kaedah Nazi, saya melihat Lim Kit Siang sebenarnya menggunakan kaedah yang lebih teruk dari itu, di mana sehingga boleh mencetuskan rasa emosi, tidak puas hati yang boleh memungkinkan pelbagai bentuk perbalahan dan pergaduhan.

“Bahkan terbukti, ucapan-ucapan Kit Siang yang menyindir kaum Melayu seumpamanya, orang Melayu boleh balik kampung, tanam jagung dan sebagainya, merupakan satu ucapan yang cukup rasis dan boleh mencetuskan pergaduhan antara kaum dan menjejaskan keharmonian di negara ini.

“Saya kira adalah lebih baik Lim Kit Siang duduk rumah menjaga cucunya sahaja daripada memberikan komentar kepada ucapan-ucapan Presiden UMNO, kerana Datuk Seri Najib bercakap di dalam kelompok orang Melayu dan Islam kesemuanya,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah Idris yang juga merupakan Ketua Menteri Melaka, beliau telah berkali-kali mendengar ucapan Datuk Seri Najib bukan hanya ketika beliau menjadi Presiden UMNO, bahkan sebelum itu lagi.

“Boleh dikatakan saya sudah mendengar ribuan kali ucapan Datuk Seri Najib. Kalau untuk Perhimpunan Agung UMNO sahaja saya sudah mendengar lebih kurang 13 kali, dan ini tidak termasuk ketika beliau sebagai Naib Presiden UMNO, dan sebelumnya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda.

“Dan di dalam setiap ucapan beliau, saya dapati pasti cukup dengan intonasi, nada yang memberi ransangan kepada pendengar-pendengar dan sudah pasti ucapan kepada pembelaan dan suntikan semangat terhadap bangsa Melayu itu perlu ada.

“Biarpun ucapan menjurus kepada Islam dan bangsa Melayu, namun di dalam setiap ucapannya, beliau akan menyebut bahawa UMNO tidak akan meminggirkan kaum lain bahkan membela nasib-nasib kaum lain di negara ini. Saya nak beritahu kepada mereka yang mungkin tidak tahu, kerana UMNO membela Islam dan Melayu, maka negara ini berada dalam keadaan selamat aman dan makmur.

“Tetapi Dap? Terbukti selama ini Dap hanyalah sebuah parti yang bertopengkan sebagai sebuah parti multi rasial, tetapi sentimennya adalah sentimen rasis yang membela satu kaum sahaja,” jelasnya.

Katanya lagi, sudah menjadi tradisinya UMNO sebagai sebuah parti orang Melayu akan bercakap tentang kepentingan Islam dan bangsa di dalam partinya.

Begitu juga tambah beliau dengan rakan komponen UMNO seperti MCA akan bercakap tentang kepentingan Cina di dalam parti mereka, sama juga seperti MIC yang mewakili kaum India akan bercakap mengenai kepentingan kaum mereka.

“Namun apabila bertemu dalam satu wadah Barisan Nasional, kita akan mencari titik-titik persamaan, mengecilkan jurang perbezaan dan kita dapati cukup banyak elemen tolak ansur sesama parti di dalam BN kerana apa juga keputusan yang kita buat akan mengambil kira kepentingan kaum-kaum yang lainnya.

“Inilah formula dan resepi utama yang menjadikan Malaysia sebagai negara demokrasi yang mempunyai masyarakat yang pelbagai, dan menjadi contoh kepada manusia lain. Kalau PM kita memakai kaedah kepimpinan ala Nazi, masakan kita boleh mencapai kemerdekaan sehingga 60 tahun dan menjadi salah satu negara demokrasi yang unggul di dunia. Dan formula dan resepi inilah yang tidak wujud di dalam pakatan pembangkang,”ujarnya.


0 comments:

share2