Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 12, 2016

[TEMERLOH] BINA RUMAH RAKIT ELAK BARANG ROSAK


Bina rumah rakit elak barang rosak


Banjir besar yang melanda daerah ini pada penghujung 2014 tidak mungkin dapat dilupakan dengan mudah oleh mangsa banjir lebih-lebih lagi apabila ramai yang kerugian akibat kehilangan harta benda, kerosakan tanaman dan kehilangan binatang ternakan.

Banjir yang melanda bukan sahaja menyebabkan mereka kehilangan tempat tinggal buat sementara waktu malah terpaksa meninggalkan harta dan barangan peribadi serta perabot di dalam rumah yang ditenggelami air.

Mengambil pengajaran dengan apa yang berlaku sebelum ini, seorang penduduk di Kampung Padang Tenggala Tajuddin Mohd Zin 61, membuat keputusan untuk membina sebuah rumah rakit bagi menyimpan barangan seperti perabot dan peralatan elektrik.

“Saya habiskan RM3,000 beli barangan asas seperti besi dan tong pelampung serta papan selebihnya saya guna bahan terpakai.

“Rumah rakit ini saya bina sendiri dibantu anak-anak supaya dapat simpan barangan seperti perabot, barangan elektrik dan lain-lain kerana tak sanggup melihat ia rosak lagi.

“Banjir sebelum ini habis semua rosak barang-barang ini, kali ini harap sempat selamatkan apa yang ada sebab rumah rakit ini dibina dekat dengan rumah, senang nak pindah barang,” katanya.

Tajuddin berkata, ketika banjir besar lalu rumah didiami di tepi Sungai Pahang ditenggelami air sedalam satu meter.

Menurutnya, pembinaan rumah rakit itu diharap dapat dijadikan tempat menyimpan barangan berharga dan berat terutama sekali sekiranya dia dipindahkan.

“Memang saya takut juga hilang barang kalau simpan di rumah rakit ini sebab tak ada dinding dan pintu tapi sekurang-kurangnya dapat kurangkan risiko rosak,” katanya.


0 comments:

share2