Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 6, 2016

SETIA KEPADA UMNO KERANA PERJUANGAN BUKAN TAKSUB KEPADA NAJIB - MT UMNO


Setia kepada UMNO kerana perjuangan bukan taksub kepada Najib - MT UMNO


Kuala Lumpur: Ahli UMNO setia kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana kesetiaannya kepada perjuangan parti, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Dr Mohd Puad berkata demikian ketika menyanggah ulasan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Najib menuntut seluruh ahli UMNO berbai'ah dan memberi wala' kepadanya secara membuta tuli dan tanpa soal.

Jelas Dr Mohd Puad kesetiaan ahli UMNO kepada Najib bukan kerana taksub kepada individu sebaliknya ia merupakan tanda kesetiaan kepada institusi presiden.

"Mereka kekal setia dalam UMNO. Bukan kerana taksub kepada Najib tetapi taksub kepada perjuangan UMNO.

"Kerana menolak kesetiaan membabi butalah ahli UMNO tidak mahu keluar meninggalkan UMNO dan ikut jejak Mahathir dan Muhyiddin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas ahli parlimen Batu Pahat itu menjelaskan, kesetiaan ahli UMNO ialah seperti yang difirmankan dalam Surah An Nisa iaitu kesetiaan selagi pemimpin tidak melakukan perkara di luar batasan.

Pada Isnin, Muhyiddin dalam satu kenyataan media yang disiarkan di laman Facebooknya mendakwa Perhimpunan Agung UMNO tahun ini menjadi kancah Najib membela dirinya.

"Sepanjang ingatan saya, perhimpunan agung adalah tempat presiden Umno membicarakan hal-hal berkaitan kedudukan orang Melayu, agama Islam, masa depan negara dan kesejahteraan rakyat seluruhnya.

“Tetapi kali ini presiden Umno menuntut seluruh ahli berbai'ah dan memberi walak kepadanya secara membuta tuli dan tanpa soal," tulis Muhyiddin.

Dalam kenyataannya juga, Muhyiddin menepis tuduhan bahawa beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan pengkhianat perjuangan Melayu kerana bersama pembangkang.

Sebaliknya, bekas timbalan presiden UMNO itu menjelaskan beliau dan Dr Mahathir kini menyertai pembangkang kerana tidak lagi boleh berkompromi dengan Najib dan pengikutnya yang khianat terhadap perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air.

"Saya dan Tun Dr Mahathir tidak lagi bersama Umno hari ini bukan kerana mengkhianati perjuangan Melayu, tetapi kerana sudah tidak boleh berkompromi lagi dengan tindak tanduk Najib dan konco-konconya yang khianat terhadap perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air.

"Mustahil saya dan Tun Dr Mahathir akan mengkhianati bangsa Melayu dan agama Islam!" katanya lagi.

Kata beliau, tindakan Najib menggunakan sentimen anti-DAP untuk menakut-nakutkan orang Melayu menunjukkan dia semakin gelisah dengan pemantapan kepimpinan Melayu dalam barisan parti-parti pembangkang.

Muhyiddin menjelaskan orang Melayu kini mempunyai alternatif yang lebih baik dan lebih meyakinkan daripada UMNO untuk memimpin mereka.

"Bangsa Melayu mesti berani bangkit menentang kebatilan dan kejahatan. Bangsa Melayu adalah sebuah bangsa yang mulia dan beradab. Budaya, tradisi dan agama orang Melayu iaitu Islam sentiasa mengangkat darjat kemuliaan orang Melayu.

"Sudah tentulah sebuah bangsa yang mulia ini tidak rela dipimpin oleh seorang manusia yang telah rosak akhlaknya akibat kemungkaran demi kemungkaran yang dilakukan olehnya," katanya.


0 comments:

share2