Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, December 11, 2016

SENARAI HITAM PELANGGAN BIADAP


Senarai hitam pelanggan biadab


Ipoh - Pengurusan Hotel Syeun sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pelanggan yang didapati berkelakuan biadab terhadap seorang pekerjanya sepertimana video viral, kelmarin.

Pengarahnya, Maggie Ong berkata, pihaknya juga akan menyenaraihitamkan individu terbabit daripada senarai pelanggan hotel itu.

Menurutnya, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sebarang aduan pelanggan yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan ditawarkan hotel, namun tindakan wanita terbabit melempar tuala basah ke arah pekerjanya di kaunter pendaftaran adalah sesuatu yang tidak wajar.

“Jika ada yang tidak berpuas hati, mereka boleh datang buat aduan, bukan dengan bersikap sebegitu.

“Apa yang dia buat pada pekerja kami itu adalah melampau, tambahan pula ia dilakukan terhadap pekerja wanita yang sudah berusia 50 tahun dan sudah lama berkhidmat sebelum hotel ini dirasmikan lagi. Kerana itu kami tidak teragak untuk ambil tindakan undang-undang dan akan senarai hitamkan namanya dari hotel ini,” katanya.

Dalam video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 31 saat itu menunjukkan imej seorang wanita melempar tuala ke muka seorang pekerja hotel dan kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2.30 petang, Khamis lalu ketika pekerja terbabit membantu tugas di kaunter pendaftaran.

Viral itu menerima pelbagai komen daripada netizen, ada yang mengecam tindakan individu terbabit sebagai biadab dan tidak wajar dilakukan meskipun pengurusan hotel terbabit ada melakukan kesalahan.

Melalui beberapa gambar yang tersebar pula, pelanggan sama dipercayai bertindak menyumbat tuala hotel ke mangkuk tandas bilik hotel.

Maggie yang juga Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Perak berkata, kejadian melempar tuala itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati pelanggan terbabit selepas permintaannya untuk mendapatkan tuala tambahan tidak dilayan.

Katanya, permintaan wanita terbabit tidak dapat dipenuhi kerana beberapa kali diberi tuala tambahan juga bantal tambahan sejak mendaftar masuk pada hari sebelum kejadian.

“Setiap permintaan dan barang diminta kepada keluarga itu ada direkodkan, pihak hotel tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan itu tambahan mereka dijadualkan mendaftar keluar pada hari berkenaan,” katanya.


0 comments:

share2