Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 6, 2016

PENYAKIT JANTUNG PENYEBAB UTAMA KEMATIAN RAKYAT MALAYSIA


Image result for sakit jantung


Kuala Lumpur - Penyakit jantung kekal sebagai sebab utama kematian di kalangan rakyat Malaysia sejak sepuluh tahun lepas (2005-2014) dengan mencatatkan 13.5 peratus kematian pada 2014 berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan.

Dalam satu kenyataan mengenai perangkaan sebab kematian di Malaysia, jabatan itu berkata pneumonia pula dikenal pasti sebagai sebab kematian kedua tertinggi di negara ini dengan 12 peratus diikuti penyakit serebrovaskular (7.1 peratus), septisemia (6.1 peratus) dan kemalangan jalan raya (5.6 peratus)

Pada 2014, penyakit jantung atau juga dikenali sebagai penyakit jantung Iskemia juga disenarai sebab utama kematian di semua negeri kecuali Kedah, Pahang, Sabah dan Putrajaya.

Kajian menunjukkan bahawa kematian akibat penyakit jantung mencatatkan peratusan tertinggi bagi lelaki dengan 15.2 peratus manakala pneumonia pula mencatatkan peratusan tertinggi kematian di kalangan wanita pada 13.3 peratus.

Bagaimanapun, peratusan lima sebab utama kematian bagi lelaki dan wanita pada 2014 tetap tidak berubah dari 2013.

Kajian itu selanjutnya menunjukkan bahawa penyakit jantung menjadi sebab utama kematian bagi semua kumpulan etnik pada 2014, Bumiputera pada 13.1 peratus, kaum Cina (12.7 peratus) dan kaum India (18.1 peratus).

Pada 2013, peratusan ini lebih tinggi untuk semua kumpulan etnik dengan kaum Bumiputera mencatatkan 13.2 peratus kematian diikuti kaum Cina (13 peratus) dan kaum India (18.5 peratus).

Kajian itu juga mendapati bahawa penyakit jantung dikenal pasti sebagai sebab utama kematian bagi penduduk berumur 15 hingga 64 tahun dengan mencatatkan 13.8 peratus pada 2014 sementara pneumonia mencatatkan peratusan kematian tertinggi bagi penduduk berumur 65 tahun dan ke atas pada 17.3 peratus.

Jumlah kematian mengikut jantina pada 2014 menunjukkan 57.6 peratus kematian melibatkan lelaki dan 42.4 peratus wanita.


0 comments:

share2