Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, December 11, 2016

[KUANTAN] PENCEROBOH PERAIRAN MALAYSIA DITAHAN


Ceroboh perairan Malaysia


Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Markas Wilayah Laut 1 (Mawilla 1) menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang menangkap ikan di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, Khamis lalu.

Malwilla 1 dalam satu kenyataan memaklumkan, bot nelayan itu bersama 12 awak-awak termasuk tekong ditahan pada jam 9 pagi di perairan Terengganu, kira-kira 120 batu nautika dari Pulau Perhentian.

“Pusat operasi Malwilla 1 menerima laporan aktiviti pencerobohan perairan ZEE Malaysia daripada pesawat pemantauan maritim Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum menggerakkan KD Terengganu.

“Pemeriksaan mendapati semua awak-awak itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dokumen kebenaran menangkap ikan di ZEE Malaysia. Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, KD Terengganu menunda bot nelayan tersebut ke perairan Pulau Perhentian untuk diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Daerah Maritim 10 bagi tindakan lanjut.

“Penahanan bot nelayan Vietnam ini merupakan tindakan deterrence atau cegah rintang bagi menyampaikan mesej tentang keseriusan agensi kerajaan dalam mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan atau aktiviti haram oleh pihak asing,” katanya.

Dalam pada itu, kejayaan operasi itu adalah hasil kerjasama dan perkongsian maklumat yang baik di antara agensi keselamatan dalam memastikan hasil laut negara tidak dieksploitasi sewenang-wenangnya oleh pihak luar termasuk pencerobohan bot nelayan asing.

Ia secara tidak langsung dapat memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara dan memberi keyakinan komuniti maritim tempatan.


0 comments:

share2