Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 13, 2016

[KUANTAN] MANTAP UKHUWAH, KUKUH SILATURRAHIM


Mantap ukhuwah, kukuh silaturrahim


Umat Islam khususnya di Pahang digesa memantapkan ukhuwah dan mengukuhkan silaturahim dalam usaha membentuk umat yang kuat, cemerlang serta dihormati.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah, pentingnya penyatuan bagi mengelakkan berlaku perpecahan dalam masyarakat kerana umat Islam kini berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran.

"Umat Islam perlu menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan Baginda Nabi Muhammad SAW dan sabahat dalam meletakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan serta kegemilangan merentasi dunia dari Timur hingga Barat.

"Baginda juga dikenali seorang yang suka menghubungkan silaturrahim, menolong orang yang dalam kesusahan, memberi bantuan kepada anak yatim serta ibu tunggal, pemurah dan sebagainya," titahnya.

Titahnya telah disampaikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahamd Shah ketika mencemar duli merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang, di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Tema Maulidur Rasul yang dipilih tahun ini iaitu Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah.

Perarakan Maulidur Rasul yang bermula daripada Rumah Tamu Taman Gelora disertai seramai 1,260 peserta daripada 36 kontinjen termasuk Jabatan Kerajaan Pusat dan Persekutuan, NGO, pihak swasta, ahli qariah masjid dan surau, Institut Pengajian Tinggi serta sekolah.

Dalam pada itu lagi, baginda bertitah kehadiran Nabi Muhammad SAW merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung bagi alam semesta.

"Bersempena dengan Maulidur Rasul ini kita perlu mengambil iktibar dalam menghayati ajaran Islam dan mengambil contoh keperibadian termasuk semangat serta daya juang Baginda.

"Melalui penghayatan ini semoga dapat mengukuhkan lagi kesatuan antara kita dalam menghadapi cabaran dan menjayakan program transformasi negara.

"Seterusnya kita juga dapat memartabatkan lagi kejayaan orang Islam ke mercu kegemilangan," titahnya.

Sementara itu, Tengku Abdullah turut menasihatkan agar umat Islam dpat menterjemahkan mesej di sebalik sambutan Maulidur Rasul dan tidak melihat ia sebagai satu penganjuran acara tahunan bagi kebesaran Islam semata-mata.

"Kita wajar melihat peningkatan dalam membentuk amal dan mengaplikasikan ajaran Islam dalam kehiduapn seharian demi kejayaan dunia dan menuju akhirat," titahnya.

Dalam majlis tersebut seramai empat orang dianugerahkan tokoh Maulidur Rasul 2016 iaitu penerbit rancangan Jabaan Pernyiaran Malaysia RTM Pahang, Adnan Majid, 57, dari Kuantan, diikuti pesara kerajaan Doud @ Daud Talib, 64, dari Kg Temin, Jerantut.

Turut menerima seorang lagi pesara kerajaan Mat Ali@Ibrahim Rasu, 71, dari Maran serta guru agama, Liman Mat, 79, dari Kampung Janglau, Rompin.


0 comments:

share2