Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, December 11, 2016

'JAM BUNGA' BUAT YANG DI-PERTUAN AGONG


Abdul Halim Mu'adzam Shah


Alor Setar - Kerajaan negeri Kedah akan mempersembahkan 'Jam Bunga' kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'Adzam Shah sempena keberangkatan pulang baginda ke Kedah esok.

Pengelola Bijaya Diraja/Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Bijaya Indera Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, jam itu yang dihiasi lebih 1,000 pokok bunga jenis 'Targates Erecta' dan 'Celocia' itu dibina bersebelahan dengan Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit di sini.

"Baginda memang gemarkan tumbuh-tumbuhan dan alam semula jadi. Jadi ia sebagai satu hadiah kepada Tuanku Abdul Halim dan juga sebagai persembahan sempena baginda menjadi Ketua Negara buat kali kedua," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, Jam Bunga seperti itu adalah yang pertama di negeri ini dan ia juga boleh dijadikan sebagai tempat untuk para pelawat mengabadikan kenangan mereka ketika berkunjung ke Istana Anak Bukit.

"Sekurang-kurangnya apabila para pelawat seperti pelajar sekolah atau badan bukan kerajaan datang, mereka boleh mengambil gambar di situ dan ia tanda bahawa Sultan Kedah telah berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5 dan ke-14," katanya.

Sementara itu, arkitek landskap Brightmark Sdn Bhd, Mohd Yusoff Hamzah berkata, bertemakan konsep 'Japanese Garden', Jam Bunga itu akan turut dikelilingi dengan pokok bonsai dan pelbagai jenis bunga lain di kawasan seluas kira-kira 0.4047 hektar.

Beliau yang juga pengarah projek berkenaan berkata pihaknya membawa dua bunga utama iaitu Targates Erecta dan Celocia, khas dari ladang seluas lebih 20.2 hektar milik syarikat berkenaan di Semenyih, Selangor.

"Sebanyak 150,000 liter air jernih yang menggunakan penapis khas dari Australia digunakan ketika proses penyediaan jam yang berdiameter 12 kaki itu.

"Kerja-kerja pembinaan bermula sebulan yang lalu dan dijangka siap hari ini, kami turut membawa 40 tenaga kerja dari Kuala Lumpur khusus untuk projek ini," katanya.


0 comments:

share2