Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 7, 2016

DISAMAN IBU BAPA: ADA GURU TAK TAHU CARA LINDUNGI DIRI, KATA NUTP


nutp


Petaling Jaya: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berkata tindakan kerajaan memberi jaminan kepada guru jika disaman ibu bapa akan membantu golongan pendidik yang kebanyakannya tidak tahu bagaimana melindungi diri jika berdepan situasi itu.

Presidennya, Kamarozaman Abd Razak berkata selama ini apa yang guru lakukan jika disaman ibu bapa murid ialah merujuk masalah itu kepada NUTP.

“Ada guru tidak tahu bagaimana mahu melindungi diri mereka dan tiada pengetahuan saluran mana perlu diambil untuk mengadu,” katanya ketika dihubungi FMT semalam.

Semalam, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian memberi jaminan akan melindungi guru sekiranya mereka disaman.

Bagaimanapun, Mahdzir berharap tindakan undang-undang-undang menjadi langkah terakhir ibu bapa kerana masalah boleh diselesaikan melalui rundingan dalaman.

Kamarozaman berkata kebanyakan kes melibatkan guru disaman ibu bapa berlaku di kawasan bandar besar, namun ia sangat terpencil.

Katanya, NUTP hanya merekodkan kurang 1% kes sedemikian membabitkan ahlinya yang kini mencecah 200,000 daripada jumlah keseluruhan guru kira-kira 430,000 di seluruh negara.

“Sebagai contoh di daerah saya, Pahang ada kira-kira 3,000 guru, tidak ada kes yang dibawa ke mahkamah. Kes yang berlaku kebanyakan melibatkan kawasan bandar besar.

“Ibu bapa di kawasan bandar dilihat terlalu melindungi dan mendengar nasihat peguam yang kadang-kadang lebih bersifat perniagaan untuk mendapatkan keuntungan, bukannya membantu perkembangan sekolah dan murid,” dakwanya dipetik daripada Bernama.


0 comments:

share2