Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 10, 2016

CULIK: MALAYSIA BEKERJASAMA DENGAN FILIPINA


Najib Tun Razak


Kuala Lumpur - Pasukan keselamatan Malaysia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina untuk mengenal pasti individu yang diculik di perairan Sabah semalam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan merangka langkah selanjutnya berhubung insiden penculikan itu, di mana tiga suspek dipercayai penculik dari selatan Filipina mati dalam kejadian tembak-menembak dengan Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Terima laporan kejadian tembak-menembak dan cubaan menculik di dua lokasi di Sabah semalam, Lahad Datu dan Semporna.

"PGA kita bertempur dengan penjenayah dari Selatan Filipina dan menembak mati tiga suspek dipercayai penculik, manakala dua lagi berjaya diberkas dan seorang tebusan berjaya diselamatkan.

"Dua lagi suspek berjaya melepaskan diri bersama seorang tebusan," kata Perdana Menteri melalui catatan di blog rasminya semalam.

Najib berkata, beliau turut menerima laporan seorang daripada anggota keselamatan Malaysia cedera ditembak dan kini dirawat di Hospital Semporna, dan berdoa supaya anggota keselamatan itu selamat.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun sebelum ini, dilaporkan berkata terdapat dua juragan bot yang diculik masing-masing di Perairan Bekapit di Lahad Datu, dan Pulau Gaya di Semporna.

"Seorang mangsa culik ditemui selamat manakala dua lagi penjenayah hilang bersama seorang mangsa culik," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata pujian harus diberikan kepada pasukan keselamatan Malaysia atas tindakan pantas mereka, kerana bukan mudah untuk mengawal kawasan perairan yang begitu luas.

Selain itu, beliau berkata kerajaan mahu tindakan wajar, tegas dan berkesan diambil bagi menangani ancaman sedemikian.

"Jangan beri walau sedikit ruang kepada penjenayah-penjenayah menceroboh dan kucar-kacirkan negara. Teruskan pelihara perairan, sempadan dan kedaulatan negara," kata Najib.


0 comments:

share2