Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 17, 2016

[BERA] CEMERLANG DALAM KRIKET, HOKI


Cemerlang dalam kriket, hoki


Kejayaan murid Orang Asli suku kaum Semelai dari Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar meraih tempat kedua dalam Kejohanan Sukan Kriket Peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Pahang 2016 membuktikan keupayaan mereka untuk bersaing dalam sukan.

Guru Penolong Kanan 1 Sekolah Kebangsaan Iskandar, Abdul Khalid Hashim berkata, sekolah itu merupakan satu-satunya sekolah di daerah Bera yang aktif dalam sukan kriket sejak tahun 2010 dan sudah beberapa kali mewakili Pahang untuk bertanding di peringkat kebangsaan.

Menurutnya, sehingga kini, mereka terus berada dalam kedudukan lima terbaik di negeri Pahang, dan berhasrat untuk berada pada posisi lebih baik di peringkat kebangsaan.

“Walaupun keseluruhan murid hanya 225 orang, tetapi kesungguhan yang ditonjolkan sangat memberangsangkan, lebih-lebih lagi bila sukan hoki kategori perempuan juga makin menunjukkan peningkatan.

“Pada tahun lepas, kita sekadar berpuas hati selaku naib johan untuk peringkat daerah tapi pada tahun ini, kita melonjak ke tangga keempat pada MSS negeri Pahang dengan tiga wakilnya dari sekolah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan penyerahan sumbangan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), kelmarin.

Hadir sama, Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye; Pengarah SPRM Terengganu, P Ganason; Pengerusi MCPF Pahang, Datuk Seri Johny Ch’ng dan Ketua Batin Negeri Pahang, Norya Abas.

Pada masa sama, seramai 150 keluarga yang terpilih dari seluruh perkampungan Orang Asli di sini menerima sumbangan bekalan makanan yang bernilai RM100 setiap satu.

Abdul Khalid berkata, berdasarkan kejayaan itu, pihak sekolah mendapat perhatian SPRM Terengganu dan MCPF yang telah menyumbangkan peralatan sukan tersebut.

Katanya, pemberian peralatan sukan itu secara tidak langsung memberikan semangat baharu kepada murid dan guru untuk meneruskan kejayaan dalam sukan kriket dan hoki.

“Pihak sekolah memang tak sangka akan terima sumbangan ini kerana kami dimaklumkan mengenai program bersama SPRM saja. Alhamdulillah, ini dapat membangkitkan semangat murid Orang Asli untuk terus maju dalam sukan.

“Pihak sekolah tetap titik berat peningkatan akademik murid kaum itu, dengan kehadiran secara purata sebanyak 80 peratus setiap hari sementara keputusan UPSR tahun ini catatkan seorang murid capai keputusan 4A2B,” katanya kepada Sinar Harian.


0 comments:

share2