Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 30, 2016

TAK MAHU PINDAH-RANDAH LAGI


Tak mahu pindah-randah lagi


Seremban – "Ini kali ketiga kami terpaksa pindah," luah Pengerusi Sokongan Keluarga Insan Istimewa Negeri Sembilan, Rozila Abd Azizi yang tidak mahu lagi berpindah-randah bersama 17 golongan kurang upaya (OKU) di bawah persatuannya.

Oleh demikian, beliau berharap ada pihak yang sudi menyewakan rumah atau premis dengan harga murah bagi menempatkan golongan istimewa itu sebagai lokasi mencari pendapatan dengan mengambil upah mengupas kulit bawang selain turut menjalankan aktiviti lain yang bersesuaian.

Menurutnya, ketika ini mereka menyewa di sebuah rumah di Kampung Gedung Lalang, Ampangan, di sini, namun terpaksa berpindah keluar esok berikutan rumah itu telah dijual.

“Buat masa ini terdapat 17 peserta termasuk dari bangsa Cina dan India. Setiap hari mereka datang ke sini seawal jam 9 pagi sehingga 1 tengah hari untuk mengupas kulit bawang.

“Mereka akan dibayar upah RM2 untuk sekilo bawang yang dikupas dan diberi elaun kedatangan RM1," katanya.

Katanya, selain kerja mengupas kulit bawang, peserta juga turut melakukan aktiviti bercucuk tanam berikutan rumah yang disewa sebelum ini mempunyai kawasan lapang.

Oleh itu, Rozila sangat berbesar hati jika ada individu yang sudi menawarkan rumahnya untuk disewa dengan kadar murah.

“Kalau ada pihak yang berhasrat nak sediakan kami tempat kekal lagi baik, sebab kalau boleh kami tak mahu lagi berpindah randah,” katanya.

Kata beliau, semua OKU berkenaan datang dari keluarga berpendapatan sederhana dan mereka dikenakan yuran RM50 setiap bulan.

Malah katanya, ada ibu- bapa OKU yang turut serta menemani anak mereka mengupas kulit bawang di rumah persatuan itu.

“Biasanya OKU kategori sindrom down atau slow learner ini selepas tamat sahaja mengikut program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) mereka akan duduk di rumah, tiada aktiviti.

“Lagipun jika mahu bekerja, siapa yang boleh ambil mereka. Dengan adanya tempat sebegini sekurang-kurangnya mereka boleh belajar dan buat sesuatu jadikan sumber pendapatan,” katanya.

Bagi sesiapa yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Rozila di talian 017-2411250.


0 comments:

share2