Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 30, 2016

SINGKAP KISAH HIDUP BAPA KEMERDEKAAN




Singkap kisah hidup Bapa Kemerdekaan


Pertama kali melangkah masuk ke Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, terasa seakan-akan berada di zaman pentadbiran Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Memorial yang terletak di Jalan Datuk Onn itu menyimpan beribu sejarah yang perlu dikenang seluruh rakyat di negara ini.

Kereta jenis Cadillac Fleetwood keluaran 1959 berada di hadapan bangunan memorial, dilihat seakan-akan baru diparkir pemandu Almarhum Tunku Abdul Rahman selepas pulang menghadiri urusan rasmi.

Memorial Tunku Abdul Rahman Putra bukan hanya menyimpan barangan peribadi dan kisah hidup pemimpin berkenaan, malah menyingkap seribu kisah mengenai perjuangan mendaulatkan sebuah negara bergelar Tanah Melayu ketika itu.

Menurut pengurus bangunan berkenaan, Norazman Ahmad, bangunan yang menyimpan beribu sejarah itu adalah rumah rasmi Almarhum Tunku Abdul Rahman sewaktu menjadi Perdana Menteri pertama pada 1957.

“Memorial ini merangkumi tiga bangunan penting iaitu bangunan Residensi sebagai bangunan utama dan dua bangunan lagi di kiri dan kanan Residensi.

“Blok A dan blok B dibina seakan-akan sayap burung. Dikatakan binaan tersebut menyerupai Istana Pelamin yang menjadi tempat kelahiran Almarhum Tunku Abdul Rahman,” katanya.

Menurutnya, memorial tersebut dibina di atas tanah seluas 2.8 hektar pada 1992 dan dirasmikan pada 10 November 1994.

“Pengunjung akan melalui pintu utama di blok A dan di situ, mereka akan dibawa melihat perjalanan sejarah Tanah Melayu menuju kemerdekaan dengan memaparkan peristiwa penting seperti rombongan kemerdekaan diketuai Almarhum Tunku Abdul Rahman ke London.

“Selain itu, mereka juga boleh melihat peristiwa menandatangani perjanjian Persekutuan Tanah Melayu oleh Raja-raja Melayu di Kings’s House, Kuala Lumpur pada 5 Ogos 1957,” katanya.

Sewaktu menelusuri perjalanan kemerdekaan itu, terdapat kata-kata semangat Almarhum Tunku Abdul Rahman ketika beliau jadi perdana menteri.

Antaranya: “Saya telah memberikan dan akan terus memberikan 75 peratus dari keseluruhan hidup dan usaha saya untuk berkhidmat kepada negara saya, Tuhan saya dan bangsa saya dan selebihnya, 25 peratus untuk diri saya dan keluarga saya untuk melakukan apa yang saya sukai. Sekiranya ada yang menganggap ini sebagai satu kesilapan, biarlah kerana sesungguhnya ALLAH itu Maha Mengetahui dan Maha Pengampun. Sebaliknya manusia itulah yang selalu terlupa”

Membaca kata-kata tersebut, tergambar di fikiran bahawa seluruh kehidupan beliau telah diabdikan kepada agama, bangsa dan tanah air.

Norazman menjelaskan, Almarhum Tunku Abdul Rahman sanggup menghabiskan usia hidupnya demi negara dan rakyatnya hanya untuk menyatupadukan penduduk berbilang bangsa di negara ini.

“Bukan sahaja digelar Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman turut dikenali sebagai Bapa Perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.

“Sewaktu kepimpinannya, beliau telah menjelajah ke seluruh pelosok negara untuk bertemu dengan rakyat bagi menyatakan tentang semangat perpaduan dan dengan usaha itu, beliau telah mendapat sokongan serta kerjasama semua kaum pada ketika itu, tidak kira Melayu, Cina mahupun India,” katanya.

Bangunan blok B Memorial Tunku Abdul Rahman Putra pula menempatkan meja mesyuarat Kabinet pertama di bangunan Parlimen dan pejabat Almarhum Tunku Abdul Rahman yang dipasang semula.

Sementara itu, di sebalik kesibukan sebagai perdana menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman meminati seni seperti perfileman dan fotografi.

Terdapat koleksi kamera dan gambar yang diambil sendiri oleh beliau yang dipamerkan.

Melihat poster filem Sumpahan Mahsuri (1989), mungkin ada yang akan meneka itu adalah filem diminati Almarhum Tunku Abdul Rahman, sebaliknya ia adalah filem terbitan dan dikarang olehnya sendiri.


0 comments:

share2