Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 31, 2016

‘SAYA TAK SANGGUP LIHAT MAK SAKIT'


‘Saya tak sanggup lihat mak sakit’


Tasek gelugor - Demi kasihkan ibu, seorang lelaki di sini sanggup mengorbankan masa dan tenaganya untuk menjaga emaknya yang terlantar sakit selepas mengidap penyakit kanser payudara tahap empat sejak dua tahun lalu.

Zabaidah Chat, 78, yang merupakan ibu tunggal selepas kematian suaminya sejak beberapa tahun lalu kini hanya mengharapkan bantuan anaknya untuk meneruskan hidup.

Anak ketiganya, Azami Dan, 51, berkata, sesiapa yang menderitai sakit ini sahaja akan mengetahui penderitaan yang ditanggung emaknya.

“Setiap malam, saya akan pastikan mak tidur dulu baru saya tidur, selagi mak tak tidur saya tak akan tidur.

“Kadangkala payudara mak akan keluar cecair putih, ketika itu mak akan mengerang kesakitan. Saya tak sanggup nak lihat mak begini, hanya ALLAH sahaja yang tahu macam mana keadaannya,” katanya.

Katanya, sejak mengidap penyakit itu, emaknya enggan mendapatkan rawatan di hospital dan hanya berubat kampung sahaja.

“Mulanya sekadar ketulan di bahagian payudara, ketulan itu makin lama makin membesar dan pecah sedikit demi sedikit. Kini ada luka dan nanah pada payudara mak.

"Mak sering kali kesakitan, memang tak sanggup saya lihat, rasa mahu saja kesakitan itu saya saja yang tanggung,” katanya.

Sementara itu, Zabaidah berkata, dia mempunyai empat anak, namun dua daripadanya sudah berumah tangga.

"Anak sulung tinggal di Tikam Batu manakala yang kedua tinggal berhampiran rumah, masing-masing ada keluarga sendiri, tapi mereka rajin datang ke sini," katanya.

Katanya, kini segala urusannya dibantu Azami.

“Dulu makcik tinggal bersama Azami dan seorang lagi anak iaitu Norah, tapi ALLAH lebih sayangkannya, arwah pergi menghadap Ilahi pada Ogos tahun lepas,” katanya.

"Makcik tak mampu berdiri, apatah lagi melakukan kerja rumah, nasib baik ada Azami, dialah yang membantu menyiapkan makan minum makcik.

“Ternyata kuasa ALLAH itu hebat, biarpun Azami tidak seperti insan normal lain kerana mempunyai masalah mental, namun dia tetap tabah dan kuat untuk menjaga makcik, tak pernah walau sekali dia merungut, dia menjaga makcik dengan penuh kesabaran,” katanya.

Bagaimanapun nasib keluarga ini mendapat perhatian kariah Masjid Jamiul Hasani, Permatang Haji Hassan yang menziarahi mereka sempena siri ziarah dakwah yang dijalankan jawatankuasa kariah masjid.

Timbalan Pengerusi Masjid Jamiul Hasani, Permatang Haji Hassan, Zulkarnain Abdullah berkata, buat masa ini beberapa bantuan daripada pihak berwajib diusahakan.

“Pihak masjid mengadakan siri ziarah dakwah di beberapa rumah pesakit kronik dalam kariah ini dan Alhamdulillah, Zabaidah antara salah seorang daripadanya.

“Setakat ini, pihak masjid menyampaikan bantuan awal kepada keluarga ini bagi meringankan beban ditanggung mereka,” katanya.

Sementara itu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara menziarahi keluarga ini, semalam.

Penolong Pegawai JKM Seberang Perai Utara Norafifah Arshad berkata, bantuan pesakit kronik terlantar akan diproses untuk Zabaidah.

“Pihak JKM menerima maklumat yang sebelum ini keluarga ini ada menerima bantuan JKM yang disalurkan kepada arwah anak bongsunya, namun sudah dihentikan selepas arwah meninggal dunia.

“Dalam sesi kunjungan ini, kita menyerahkan borang baru untuk diisi dan insya-ALLAH bantuan untuk pesakit kronik terlantar akan diproses dengan segera kepada Zabaidah,” katanya.


0 comments:

share2