Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 30, 2016

PELAJAR SEKOLAH JANGAN TERPENGARUH DENGAN MILITAN


pdrm


Kota Bharu - Golongan yang berminat dalam bidang agama dan belia yang cenderung menggunakan senjata adalah dua golongan yang dipercayai menjadi sasaran kegiatan militan Daesh.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata ekoran itu, golongan pelajar diseru tidak terlibat dalam sebarang kegiatan militan Daesh yang kini menyasarkan remaja di peringkat sekolah untuk direkrut termasuk melalui laman sosial.

"Jika di luar negara, belia diajar menggunakan senjata api oleh golongan tertentu (militan) dan kami amat berharap remaja di negara ini tidak mudah terpengaruh dengan kegiatan terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Sambutan Ulang Tahun Kor Kadet Polis Ke-46 Peringkat Kontinjen Kelantan di Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Tunjong, di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Datuk Ab Aziz Abdullah. 

Ab Rahman berkata polis memandang serius ancaman militan kerana ia boleh menggugat keamanan dan keharmonian yang dinikmati rakyat negara ini.

Beliau berharap golongan remaja tidak mudah terpengaruh dengan gerakan seperti itu kerana ia boleh menyebabkan berlaku kekacauan dalam negara.

Sementara itu, Ab Rahman berkata beliau mengharapkan Kor Kadet Polis menjadi 'mata dan telinga' kepada pihaknya untuk melaporkan kes jenayah yang berlaku di kawasan sekolah serta merujuknya kepada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).

"Kami tubuhkan dua unit di sekolah termasuk Unit Cawangan Khas dan Unit Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) melalui PPS.

"Jika berlaku pergaduhan melibatkan perkauman boleh laporkan kepada pihak PPS Unit Cawangan Khas dan sekiranya berlaku sebarang kejadian melibatkan buli boleh laporkan terus kepada pihak JSJ untuk tindakan lanjut," katanya.


0 comments:

share2