Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 29, 2016

TIDAK WAJAR NETIZEN SEBAR GAMBAR BUKTI


Tan Sri Musa Hassan


Shah Alam – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan tindakan netizen yang menyebarkan gambar insiden tembakan di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota/Jalan Genting Klang di Kuala Lumpur semalam sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab.

Menganggap tindakan itu sebagai tidak wajar, beliau berkata, netizen sepatutnya memikirkan perasaan ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Katanya lagi, netizen sebaliknya perlu menyerahkan kesemua gambar yang diambil kepada pihak berkuasa bagi memantau siasatan.

“Biasalah orang ramai mahu tahu apa yang berlaku (di tempat kejadian). Bagaimanapun saya rasakan mereka tidak sepatutnya berkumpul di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebanyak 18 tembakan dilepaskan mengakibatkan seorang lelaki maut serta-merta di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota/Jalan Genting Klang di Kuala Lumpur, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata kejadian kira-kira 3.35 petang semalam melibatkan mangsa yang berumur 43 tahun yang memandu kereta jenis Honda Accord.

Katanya lagi, tindakan orang ramai mengerumuni tempat kejadian boleh menjejaskan bukti di tempat kejadian.

“Bukti di tempat kejadian boleh terhakis. Mereka patut hanya maklum pada polis dan polis pula perlu respons segera dan bergegas ke tempat kejadian secepat mungkin.

“Mereka tidak sepatutnya menyentuh apa-apa objek di lokasi kejadian,” katanya lagi.


0 comments:

share2