Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 26, 2016

[KUANTAN] BANTAH BALAI POLIS AIR PUTIH DITUTUP


Bantah Balai Polis Air Putih ditutup Mac tahun depan


Bantahan aman membabitkan lebih 30 orang termasuk pemimpin setempat dan komuniti Air Putih dan Indera Mahkota di hadapan balai polis Air Putih di sini hari ini berikutan penutupan balai tersebut pada Mac tahun depan.

Penutupan balai itu yang mula beroperasi sejak 2008 itu dilihat meresahkan komuniti di kawasan tersebut yang menganggap ia satu keperluan yang utama terutamanya membabitkan aspek keselamatan.

Pengerusi MCA Indera Mahkota, Datuk Jack Haw memberitahu,pihaknya terkilan dengan penutupan balai tersebut kerana ia satu kemudahan yang sangat ditagih oleh komuniti di kawasan terbabit.

Menurutnya, perkhidmatan balai sangat diperlukan memandangkan kawasan tersebut berdepan risiko keselamatan dan jika ia ditutup, pihaknya gusar kerana ia akan memberikan lebih banyak risiko dan meresahkan buat masyarakat di situ.

“Selepas bersusah payah untuk memastikan balai ini dibuka di sini pada lapan tahun lalu, tiba-tiba ia ditutup pastinya ia menghampakan kami semua.

“Dan pada Julai lalu, pihak Rela Galing ada membuat rondaan di sini setiap hari dan bekerjasama bersama anggota di balai sini dan apabila ditutup pastinya mengundang kesulitan buat pihak terlibat,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, Air Putih seharusnya menjadi keutamaan berikutan kewujudan bank,sekolah dan taman perumahan dan pihak berkaitan seharusnya tidak memperjudikan aspek keselamatan di kawasan tersebut.

“Kita akan mengadakan dialog bersama pihak polis tidak lama lagi dan merayu supaya balai polis ini dikekalkan,” katanya lagi.

Selain MCA Indera Mahkota, turut hadir wakil-wakil daripada MIC, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Air Putih, Rela Galing dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Semambu dalam bantahan tersebut.

Sementara itu Ketua Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Asisten Superintendan (ASP) Rahim Idris memberitahu,selain air Putih, turut ditutup ialah balai polis Indera Mahkota pada 31 Oktober depan dan anggota yang terbabit akan diserapkan kembali ke IPD.

Balai polis Air Putih mula beroperasi secara rasmi pada 28 Mac 2008 yang dirasmikan oleh Ketua Polis Pahang ketika itu, Datuk Ayob Mohamed menempatkan 11 anggota termasuk Ketua Balai, Sarjan Mohamad Ibrahim dan memberikan perkhidmatan di kawasan tersebut yang mempunyai kira-kira 50,000 penduduk.


0 comments:

share2