Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 26, 2016

TNB NASIHAT WASPADA GUNA ELEKTRIK SAMBUT HARI RAYA


TNB


Kuala Lumpur – Menjelang Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi, Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini mengeluarkan tips keselamatan elektrik kepada orang ramai yang bakal menyambut perayaan tersebut.

TNB dalam satu kenyataan media berkata, dalam keghairahan menyambut perayaan Aidilfitri yang bakal tiba, orang ramai perlu menitikberatkan aspek keselamatan elektrik semasa membuat persiapan hari lebaran tersebut.

Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin berkata, langkah-langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Saya sarankan supaya pengguna tidak membebankan soket dengan menggunakan adapter elektrik secara berlebihan.

“Ini bagi mengelakkan bebanan elektrik yang tinggi sehingga boleh menyebabkan berlakunya gangguan bekalan.

“Sekiranya pendawaian elektrik tambahan perlu dilakukan, jangan membuat sambungan sendiri.

“Sebaliknya, dapatkan khidmat kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd. Aminuddin seterusnya berkata, jika perlu menggunakan wayar sambungan tambahan, orang ramai perlu menjauhkannya dari kawasan berair.

Beliau turut menggalakkan orang ramai supaya idak membaiki atau mengubah suai peralatan elektrik kerana ia hanya boleh dilakukan oleh mereka yang pakar dan berkelayakan.

“Jangan memasang suis elektrik dengan tangan yang basah dan sentiasa memastikan peralatan elektrik sentiasa dalam keadaan yang baik,” katanya.


0 comments:

share2