Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 26, 2016

[KUANTAN] SPRM TERUS DEKATI RAKYAT


SPRM terus dekati rakyat


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang terus berusaha merealisasikan komitmen untuk mendekati masyarakat setempat bagi memerangi rasuah melalui penubuhan Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Pahang.

Pengarahnya, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah berkata, bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang bebas rasuah, ia bukanlah terletak di bahu SPRM semata-mata tetapi memerlukan sokongan dan komitmen semua pihak.

Menurutnya, menerusi penubuhan YARM Pahang, pelbagai program dapat dijalankan untuk membantu merapatkan hubungan SPRM dengan masyarakat setempat.

“Yayasan ini adalah sebahagian daripada agenda untuk merakyatkan SPRM yang mana mereka akan membantu menyebarkan maklumat anti rasuah untuk meminimumkan kes rasuah melalui kempen dan program pendidikan dari semasa ke semasa kepada semua golongan masyarakat termasuk pemimpin setempat, komuniti, belia, pelajar dan sebagainya.

“Dalam masa sama golongan tersebut boleh dijadikan sebagai sumber SPRM untuk memperoleh maklumat berkaitan rasuah pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga asnaf dan anak yatim di Majlis Penerangan dan Berbuka Puasa bersama Pemimpin-pemimpin Masyarakat, di Masjid Al-Ghazali, Kampung Razali, di sini.

Pada majlis itu, SPRM Pahang menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 100 keluarga asnaf dan anak yatim berupa barangan keperluan asas dan wang tunai.

Kesemua sumbangan tersebut adalah hasil daripada kutipan pegawai dan anggota SPRM Pahang dan Tabung Kebajikan agensi penguatkuasaan itu.


0 comments:

share2