Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 26, 2016

[KUANTAN] PADAH SOGOK POLIS


Padah sogok polis


Dua lelaki warga asing diberkas selepas cuba menyogok anggota polis ketika ditahan untuk pemeriksaan di Kampung Jawa di sini, petang kelmarin.

Suspek berusia 20 dan 25 tahun itu yang dipercayai mempunyai masalah dokumen perjalanan bertindak menghulurkan wang tunai RM50 kepada anggota terlibat sebagai suapan bagi mengelak dikenakan tindakan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, tindakan suspek itu memakan diri apabila mereka kemudiannya ditahan kerana cuba merasuah polis.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu dibawa ke balai dengan bantuan Unit Kereta Peronda untuk tindakan lanjut.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang lelaki diberkas selepas cuba mencuri alat pembesar suara milik peniaga di Rizqi Street Market, Jalan Tun Ismail di sini, awal pagi kelmarin.

Abdul Aziz berkata, ketika kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, suspek tidak bernasib baik apabila cubaannya menarik keluar alat itu disedari orang ramai selepas dia terjatuh.

“Suspek berjaya ditahan oleh orang ramai sebelum menghubungi dan menyerahkan lelaki itu kepada polis,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu dibawa ke balai untuk siasatan lanjut termasuk mengenal pasti sama ada dia terlibat dalam kes jenayah lain di sekitar daerah ini.


0 comments:

share2