Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 26, 2016

[KUANTAN] LAPOR JKDM JIKA PENIAGA KENAKAN CAJ TAMBAHAN


GST


Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang meminta pengguna melaporkan kepada jabatan itu jika terdapat peniaga yang mengenakan caj tambahan terhadap resit Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diminta.

Pengarahnya, Datuk Sarip Ismail berkata ,terdapat rungutan daripada pengguna membabitkan peniaga di negeri ini yang mengenakan caj tambahan terhadap resit GST yang diminta.

“Setakat ini, di negeri ini terdapat sebuah syarikat perkakasan rumah terlibat dan kita sudah menyiasat kes ini di bawah Seksyen 33, 34 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 kerana gagal mematuhi syarat invois atau resit dan mengenakan caj berbeza.

“Kita minta pengguna di negeri ini maklumkan kepada jabatan ini jika terdapat peniaga mengenakan caj tambahan untuk resit GST,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media majlis penyampaian hadiah sempena Peraduan Jom Minta Resit GST peringkat negeri yang berlangsung sserentak di seluruh negara sehingga November depan, di sini semalam.

Menurutnya, pada tahun lalu negeri itu mencatatkan kutipan GST melepasi sasaran dengan melebihi lebih 1 billion dan optimis kutipan itu akan meningkat pada tahun ini.

Dalam pada itu beliau berkata, terdapat tiga tangkapan membabitkan tiga lelaki menjual mercun menjelang Aidilfitri di Bazar Ramadan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini dan dalam siasatan serta bakal diambil tindakan sama ada kompaun atau dibawa ke mahkamah.

Menurutnya, jabatan itu akan memastikan operasi di semua bazar Ramadan untuk memastikan tiada penjualan bunga api atau mercun yang dilarang selain mengharapkan orang ramai terus memberikan kerjasama terhadap jabatan itu dengan memberikan maklumat kepada JKDM.

“Setakat ini memang tiada tangkapan kes besar mebabitkan penyeludupan secara langsung kecuali pada Januari lalu,” katanya.

Mengulas mengenai peraduan dianjurkan, beliau mengakui sambutan pengguna masih perlahan dengan hanya 4,000 penyertaan diperoleh.

Untuk peringkat negeri ini, seramai 80 pemenang dipilih untuk peraduan tersebut yang menawarkan pelbagai hadiah berupa Samsung Galaxy Tablet A, dapur elektrik, gelombang mikro dan baucar wang tunai.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman web www.myresitgst.com.my atau memuat turun aplikasi mudah alih MyResitGST.


0 comments:

share2