Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 25, 2016

[BENTONG] POKOK MATI ANCAM NYAWA


Pokok mati ancam nyawa


Kerja mencantas pokok-pokok mati di sepanjang laluan Bentong ke Raub memberi kelegaan kepada penduduk, terutamanya pengguna jalan itu.

Pengguna, Ahmad Syukri Abbas, 36, berkata, tindakan itu dapat mengurangkan risiko bahaya kepada orang ramai.

Menurutnya, laluan itu bukan sahaja digunakan penduduk tempatan, malah orang luar yang menjadikan jalan berkenaan pilihan untuk ke Raub atau pantai timur.

"Terima kasih Majlis Perbandaran Bentong (MPB), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Roadcare yang berganding bahu menyelesaikan isu melibatkan keselamatan awam ini.

"Dulu kami sentiasa bimbang dengan keselamatan ketika menggunakan jalan ini, terutama malam. Sekarang kami lega bila ia sudah diberikan perhatian dan diambil tindakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Katanya, pokok mati di sepanjang laluan itu bukan sahaja membahayakan pengguna, terutama penunggang motosikal, malah mencacatkan pemandangan.

"Bukan sikit pokok mati ni, hampir sepanjang laluan ada menyebabkan ranting dan dahan patah jatuh atas jalan. Kalau musim hujan memang banyak yang jatuh atas jalan, halang laluan.

"Bila pokok-pokok ni dah dibuang, cantik sikit pemandangan di kiri kanan jalan. Malah, isu keselamatan dan keselesaan ketika guna jalan ni tak lagi mengganggu kami," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MPB, Yip Seng Lam berkata, kerja pembersihan pokok mati di sepanjang laluan berkenaan dilakukan selepas menerima banyak aduan daripada penggunanya.

Katanya, seramai 10 pekerja terlibat dalam kerja pembersihan itu dengan mengalih dan membuangnya ke tempat lain.

"Bila kita tengok, memang pokok-pokok mati ni boleh ancam keselamatan penduduk dan pengguna jalan di sini.

"Kami sentiasa ambil langkah berjaga-jaga demi keselesaan pengguna walaupun tiada kes kemalangan jiwa yang disebabkan pokok mati ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai diminta membuat aduan segera sekira terdapat masalah berkaitan dengan MPB untuk memastikan tindakan segera dapat diambil.


0 comments:

share2