Pages

Thursday, June 11, 2015

BENTONG: MAYAT TANPA PAKAIAN DITEMUI


Mayat tanpa pakaian ditemui


Mayat seorang lelaki tanpa pakaian ditemui dalam keadaan tertiarap dan ditutup dengan pelepah sawit kering di sebuah ladang sawit di Kampung Manchis, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, pihak polis menerima maklumat berkaitan kejadian terbabit dari orang awam sekitar jam 11.30 pagi kelmarin.

Menurutnya, orang awam memaklumkan bahawa mayat tersebut ditemui di ladang terbabit yang terletak berhampiran tanah perkuburan India Manchis.

“Tempat mayat tersebut ditemui terletak lebih kurang 3 kilometer sebelum Balai Polis Manchis dengan jarak antara mayat dan jalan besar adalah kira-kira 150 meter.

“Mayat tersebut ditemui dalam keadaan tertiarap di tepi jalan ladang sawit terbabit,” katanya.

Tambahnya, bahagian belakang tempurung kepala mangsa terdapat kecederaan teruk dipercayai dipukul dengan objek keras,” katanya.

“Selain berada dalam keadaan tanpa pakaian, terdapat juga kesan lecur di tubuh badan mangsa.

“Setakat hari ini identiti mangsa masih belum dikenalpasti memandangkan tiada sebarang dokumen mengenai mangsa dijumpai di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, pihak polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh dan siasatan ke atas kes masih lagi diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, seorang penduduk kampung yang enggan namanya dikenali memberitahu, mangsa dijumpai oleh pekerja ladang yang datang untuk mengait buah.

Katanya, sejurus itu, pekerja terbabit memaklumkan perkara tersebut kepada pemilik ladang dan kemudiannya melaporkan perkara terbabit kepada pihak polis.

Sementara itu, penemuan mayat tanpa pakaian tersebut menggemparkan penduduk kampung terbabit.

Mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baharu (JKKB) Manchis, Lee Ah Kow berkata, bagaimanapun berdasarkan bentuk tubuh mangsa menunjukkan mangsa bukan penduduk kampung terbabit.

“Tambahan pula tiada penduduk kampung yang mendakwa kehilangan ahli keluarga setakat ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor