Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 27, 2014

KUANTAN : BURGERAK 'PORT' PILIHAN PEMINAT MAKANAN SEGERA BARAT

Poq Manc (topi merah) turut turun padang membantu pekerjanya.



BURRITO, sejenis makanan popular dari Mexico menjadi menu utama selain pelbagai jenis burger di Burgerak sekali gus menjadi tarikan buat penggemar makanan Barat dan sedikit ubah suai dengan selera tempatan menjadikan ia lokasi popular di bandar ini.

Terletak di Lorong Air Putih 2 di sini, ‘port’ yang menjadi pilihan semua peringkat umur dan kaum itu makin menjadi sebutan malah turut menarik kehadiran pemain bola sepak Pahang menikmati menu menarik di situ.

Menggunakan konsep “street burger”, ruang terbuka dan santai menjadikan ia pilihan buat pengunjung untuk menikmati menu kegemaran mereka bersama ahli keluarga dan rakan masing-masing.

Pemiliknya, Kamarulzaman Kamarudin, 43 ataupun lebih mesra dipanggil Poq Manc, dia mula membuka gerai itu sejak 2011 dan selain di Air Putih, satu lagi cawangan mereka di The Mall Restaurant.

Beroperasi setiap hari kecuali hari Ahad, premisnya itu dibuka bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam dan kini mempunyai 11 pekerja, premis itu turut menyediakan segmen sarapan pagi dengan pelbagai pilihan sandwich selain juadah tradisional seperti lempeng kelapa dan nasi lemak bermula jam 8 hingga 11 pagi.

Bersama rakan kongsinya, Aidil Zubir, dia memberitahu, mereka mempelajari membuat burrito menerusi laman Youtube dan mengubaisuai berdasarkan selera tempatan dan tidak culas melakukan uji kaji biarpun beratus kali untuk memastikan hanya yang terbaik dapat dihasilkan.

“Sosnya kami adunkan sendiri dan jadikan ia sedikit berbeza dari rasa asalnya. Di sini, burrito daging kambing menjadi pilihan utama kerana rasanya dan tidak hamis dan turut ada burger kambing.

“Selain itu, kami hasilkan daging sendiri dan menggunakan nama yang ‘catchy” seperti Kambing Mabuk Cendawan (KMC) iaitu daging kambing yang dicincang diletakkan dalam sup cendawan dicicah bersama roti bawang putih.

“Selain itu, pisang keju coklat juga mula menjadi pilihan dan bezanya di sini, coklat juga diletakkan dalam pisang itu bersama hirisan keju,” katanya.

Malahan dengan harga berpatutan dan paling mahal bernilai RM15, sesiapa saja boleh menikmati menu kegemaran dan baginya, dia menitikberatkan kualiti dan kepuasan pelanggan.

“Kami menggunakan bahan segar dan berkualiti dan saya mahu pelanggan pulang dengan kepuasan dan berbaloi dengan harga yang dikenakan,” katanya.

Selain itu, Poq Manc juga memberitahu, mereka akan menyediakan kembali barbeku kambing pada Oktober ini atas permintaan pelanggan selepas diperkenalkan pada Ramadan lalu.
Menurutnya, sehingga kini, sambutan menggalakkan membuatkan dia turut terfikir untuk menambahkan lagi cawangan dan baginya, dia ingin menumpukan pasaran di kawasan Pantai Timur.
“Saya yakin fokus kami ini akan tercapai dan pastinya kami juga akan terus berusaha memberikan yang terbaik buat pelanggan,” katanya.




0 comments:

share2