Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 20, 2014

TANJUNG PIAI DIANCAM OMBAK


Khalid menunjukkan benteng yang pecah di dalam kawasan Taman Negara Johor Tanjung Piai.

Pontian - Benteng penahan air laut yang dijadikan laluan pejalan kaki di pesisir pantai Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) mengalami kerosakan akibat dilanda ombak besar berikutan air pasang besar sejak dua hari lalu.

Pengurus TNJTP, Khalid Zahrom berkata, benteng yang pecah sepanjang dua meter itu, bagaimanapun tidak mengganggu operasi taman negara yang dibuka kepada umum seperti biasa.

“Berdasarkan laporan diperoleh, kejadian air pasang besar sudah mula melanda sejak sebulan lalu, namun keadaan semakin teruk apabila terdapat benteng terhakis dan rosak sejak kebelakangan ini,” katanya.

Katanya, apa yang dibimbangkan ialah keselamatan penduduk kampung dan tanaman yang diusahakan seperti kelapa sawit dan pisang kerana terletak begitu hampir dalam lingkungan 50 meter dari TNJTP.

“Kejadian benteng pecah di TNJTP belum pernah sebelum ini, memandangkan kawasan taman negara dilindungi pokok-pokok bakau yang merupakan penampan ombak dan angin semula jadi.

“Faktor alam semula jadi iaitu air pasang besar yang disifatkan begitu teruk melanda sejak kebelakangan ini menyumbang kepada kerosakan dan benteng pecah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, TNJTP berkeluasan 926 hektar dan mempunyai jajaran benteng di pesisir pantai sepanjang 3.5 kilometer merupakan nadi penyelamat kampung sekitar Tanjung Piai dan Serkat.

“Kakitangan TNJTP akan mengawasi benteng tersebut dan memaklumkan kepada penduduk sekiranya terjadi kejadian rempuhan air pasang yang dikhuatiri boleh menyebabkan banjir air laut.

“Pemantauan akan dilakukan sepanjang masa, memandangkan musim air pasang besar yang tidak menentu terutama pada lewat malam,” katanya.

Bagi memastikan operasi TNJTP berjalan, pihaknya akan menggunakan jambatan kayu bagi menghubungkan laluan pejalan kaki yang terputus akibat benteng yang dirempuh air pasang.

Katanya, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) daerah dimaklumkan dengan kejadian benteng itu, kerja-kerja baik pulih akan dilakukan dalam masa terdekat.

Taman Negara Johor Tanjung Piai merupakan lokasi pelancongan alam semula jadi yang popular kerana lokasinya yang terletak di penghujung Benua Asia dan menempatkan pelbagai spesies bakau.

0 comments:

share2