Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 23, 2014

SAYA ANGGAP SUAMI SYAHID


Zuriana (tengah) dan Napsah (kanan) menunjukkan gambar Mohd Hanif kepada Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong (kiri) dan Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim.

Labis – Isteri anggota tentera yang maut dalam kemalangan kereta perisai di Sandakan, Sabah, Selasa lalu reda dengan kejadian itu dan menganggap suaminya mati syahid ketika melaksanakan tanggungjawab mempertahankan negara.

Zuriana Wahat, 31, berkata, dia tidak menyangka panggilan telefon yang diterima daripada arwah suaminya, Sarjan Mohd Hanif Patahur Rahim, 31, pada jam 7.30 pagi sebelum kejadian merupakan panggilan terakhirnya.

“Ketika itu suami telefon dan memberitahu mahu pergi meronda, namun dia tidak beritahu kawasan rondaan. Malam sebelumnya dia ada mengadu kepada saya yang dia sakit kepala dan mahu tidur awal.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa sebelum menerima panggilan abang ipar yang memberitahu mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 2 petang pada hari sama,” katanya ketika ditemui di Kampung Kangkar, Chaah.

Menurutnya, ketika menerima perkhabaran itu, dia yang sedang mengajar di sebuah sekolah menengah di Sungai Lembing, Pahang, seolah-olah tersentak sebelum menghubungi suaminya melalui telefon bimbit.

Malangnya, panggilan itu tidak diangkat, manakala pesanan dihantar melalui aplikasi Whatsapp juga tidak berbalas menyebabkan Zuriana cuba menghubungi Kem Sri Kinabatangan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ke-22 untuk kepastian.

''Hati saya luluh bila pegawai di sana mengesahkan suami saya maut dalam kemalangan. Tanpa berlengah saya pulang untuk membawa anak-anak dan ibu pulang ke kampung suami.

“Suami sebenarnya bertugas di Kem Batu 10 Kuantan dan berlepas ke Sabah untuk menyertai satu operasi pada 15 Jun lalu. Sepatutnya arwah pulang kembali ke Semenanjung pada 19 September depan,” katanya.

Pasangan yang berkahwin pada 2009 itu dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Mohd Adam Zafran, 4, dan Aisyah Zahrah, 1.

Zuriana berkata, dia terkilan apabila arwah suaminya tidak sempat meraikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) diterimanya bersama keluarga.

Sementara itu, ibu mangsa, Napsah Hashim, 57, berkata, ketika pulang ke kampung dua minggu sebelum raya, arwah tidur bersama-samanya dan suami di bilik.

“Dia tidak pernah tidur diapit suami dan saya. Dua hari di sini, saya lihat dia banyak termenung dan sebelum pulang ke Sabah dia banyak meninggalkan pesanan kepada saya.

“Kali terakhir dia hubungi saya lima hari sebelum kejadian, dia beritahu saya kerjanya berbahaya dan minta saya dan keluarga sedia dan reda dengan sebarang kemungkinan,” katanya.

0 comments:

share2