Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 22, 2014

PAS BERANI CABAR ANWAR


Pas


Penat atau barangkali bosan dengan kritikan regunya dalam Pakatan Rakyat (PR) berhubung jawatan Menteri Besar Selangor, Pas akhirnya membuat u-turn. Ada secara sinis berkata Pas membuat roundabout.

Namun, Pas tidak mengalah dengan desakan PKR yang tegas mahukan Wan Azizah sebagai pengganti Khalid Ibrahim - inilah punca kontroversi. Selain kembali menyokong Wan Azizah, Pas menyelit satu lagi nama sebagai calon MB. Calon kedua, Azmin Ali, merupakan tokoh senior dalam PKR yang dilihat sebagai 'putera mahkota' menunggu ditabal jika berlaku musibah pada Anwar Ibrahim. Pilihan Pas tentulah mengandungi logik tersendiri.

Pendekatan Pas dibuat bagi menjaga hati ahli-ahlinya di peringkat akar umbi. Mereka letih dituduh boneka Anwar atau kuda tunggangan DAP. Namun hakikatnya formula win-win ini sejak awal lagi ditolak PKR. Pendirian terbaru Pas seperti mahu mengelak berlaku pecah-belah dalam PR.

Cita-cita Pas menawan Putrajaya boleh terjejas jika ia bergaduh dengan DAP. Parti itu lebih mudah mendepani Umno jika DAP menyebelahinya daripada bertindak secara sendirian. Di tangan DAPlah undi Cina untuk diagih pada Pas. Contengan di laman maya memperlihat sikap kecewa umum terhadap keputusan u-turn Pas. Timbul persoalan besar sikap Pas lari meninggalkan Khalid setelah memberikan sokongan sebelumnya.

Persoalannya apakah Wan Azizah sahaja yang berkualiti dan berkelayakan? Isunya ialah Wan Azizah bukan anak jati Selangor. Pada masa sama rakyat sudah bosan amalan nepotisme dalam PKR. Keputusan Pas dilihat ekoran bahasa isyarat dari Istana berhubung isu MB. Ia memberi harapan buat Pas untuk menolak Wan Azizah kali ini melalui penolakan Istana pula. Kenyataan Nik Aziz Nik Mat yang menyokong keputusan diambil Jawatankuasa Pas Pusat menguatkan perjuangan Pas menghadapi tekanan PKR.

Dalam keadaan sekarang Pas tak perlu gabra kerana keputusan muktamad bakal dibuat Sultan Selangor. Pilihan Istana adalah antara Wan Azizah atau Azmin. Senario sekarang memberi harapan pada Azmin.

Melihat dari perspektif lalu Pas juga mempunyai asas menentang pelantikan Wan Azizah sebagai MB. Ini berasaskan pegangan parti itu bahawa Pas menolak seorang wanita menjadi MB. Lain-lain jawatan seperti Exco dibolehkan. Sejak berzaman isu ini menjadi isi ceramah. Umno dilabel “unislamik” kerana isu wanita Umno memegang jawatan menteri.
Kumpulan pro Anwar yang menyokong Wan Azizah berhujah bahawa terdapat beberapa negara Islam seperti Pakistan dan Bangladesh mempunyai Perdana Menteri kalangan wanita. Jadi apa masalahnya?

Sekilas pandang formula Pas tidak bererti ia boleh menyelesaikan kemelut yang berlaku sekarang. Anwar dan PKR bukan mudah ditundukkan macam kerbau dipulas telinga. Tetapi bagi Pas, ia mahu bebas dari istilah kena buli yang dilabel pengkritik mereka.

Pada ketika sekutunya merayakan keputusan Pas mereka terlupa formula baru Pas tak ubah seperti satu perangkap baru. Ia ibarat keluar daripada perangkap lama masuk ke perangkap baru. Pas nak tengok sejauh mana Anwar dan PKR berani melawan kehendak Istana. 

Anwar membuktikan ia juara dalam hal melawan arus kerana berjaya memanipulasi pemikiran rakyat. Dalam banyak hal Pas dilihat menjadi pak turut. Isu kalimah ALLAH, hudud dan juga negara Islam, ia mengambil sikap berkompromi. Namun kali ini ia agak lain. Di satu aspek pula, Anwar sedar Azmin sedang meniti populariti luar biasa di peringkat akar umbi. Anwar tentu takut melihat satu lagi political tragedy jika Azmin terus dipinggirkan.

Dalam konteks ini Pas menumpang gelombang yang dibawa bahawa pihak Istana sendiri tidak mahukan Wan Azizah. Sesiapapun boleh jadi MB asal saja bukan isteri Anwar. Hakikatnya Istana mahukan anak jati bukannya orang luar. Hal ini harus diakuri Anwar.

Bola kini sudah berada di kakinya. Terpulang untuk menendang ke arah pintu gol atau melakukan satu lagi kompromi. Jalan terbaik tentulah dengan memberi restu pada Azmin.
Kalangan Pas yakin PKR tidak ada pilihan melainkan bersetuju untuk menerima Azmin. Ini berasaskan hakikat bahawa jika tidak ada jalan keluar maka Dun Selangor perlu dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

PKR tentu tidak mahu melalui proses ini sekali lagi bimbang kebangkitan rakyat boleh menggugat kedudukan mereka seperti berlaku di Kedah dan Perak tempoh hari. PKR sudah nampak peluang yang bakal diraih BN jika pilihan raya diadakan semula di negeri itu.

Sementara menunggu keputusan Sultan Selangor, PR seperti tidak berfungsi. Pas kini berdepan kemarahan masyarakat Cina yang tidak gembira sikapnya mensabotaj rancangan Anwar. Pas juga kini kurang pasti jika pilihan raya diadakan DAP bakal memberikan sokongan seperti dua pilihan raya umum lalu.

Dan yang agak pasti kepimpinan Haji Hadi Awang sebagai Presiden Pas tidak lagi melalui sokongan bulat seperti sebelumnya. Puak pro Pak Sheikh bakal menyusun rancangan. Dengan itu kedudukan Hadi tidak seselesa dahulu.

Justeru dalam konteks sekarang, sama ada Pas mampu keluar dari gelora politik sebagai pemenang banyak bergantung pada pelantikan Azmin sebagai MB. Kalau Wan Azizah jadi MB seperti kehendak Anwar maka jawabnya faham-faham sahajalah.

0 comments:

share2