Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 27, 2014

MAYAT DISERET LEBIH 300 METER


Kereta Perodua Myvi dinaiki mangsa dan keluarganya terbalik sebelum mangsa yang tercampak diseret sejauh lebih 300 meter oleh sebuah kenderaan lain.

Gunung Semanggol - Hasrat seorang bapa membawa keluarganya menghadiri raptai konvokesyen anaknya tidak kesampaian apabila dia maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya melanggar pembahagi jalan di Kilometer 192 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Mohd Radzuan Bachik berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Omar Biden, 56, tercampak keluar dan diseret sejauh lebih 300 meter oleh sebuah kenderaan lain.

"Ketika kejadian, mangsa dan isterinya Julaiha Abdullah, 47, serta anak mereka dalam perjalanan dari Kamunting untuk menghadiri majlis raptai konvokesyen anaknya, Nur Ainaa Husna Omar, 21, di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Polimas) Kedah.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan dan terlanggar pembahagi jalan lalu berpusing 360 darjah hingga menyebabkan mangsa tercampak keluar.

“Selepas mangsa tercampak, sebuah kereta Toyota Innova dari arah belakang dikatakan tak sempat mengelak dan menyeret mangsa sejauh lebih kurang 316 meter dari lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anak dan isterinya cedera ringan.

Mohd Radzuan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Sementara itu, saksi kejadian berkata, hujan lebat ketika kejadian hingga dia terpaksa memperlahankan motosikal ditunggangnya.

“Dalam samar-samar, saya lihat ada sebuah kereta terbabas ke kiri jalan namun saya tidak berhentikan motosikal kerana sudah lewat.

"Namun setelah lebih 300 meter melepasi lokasi kejadian, saya nampak seorang pemandu sebuah kereta MPV berhenti dan lihat sesuatu di bawah keretanya.

“Saya segera perlahankan motosikal dan terkejut melihat satu jasad berada di bawah kereta itu dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

0 comments:

share2