Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 29, 2014

KUANTAN: TIADA KOMPROMI, TINDAKAN TEGAS PENONTON DEGIL


Kuantan - Tiada kompromi sebaliknya tindakan tegas bakal dikenakan terhadap penyokong yang masih berdegil membawa bahan terlarang ke dalam stadium ketika perlawanan bola sepak berlangsung.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh memberitahu, pihak Polis Diraja Malaysia (PRDM) akan mengimplementasikan undang-undang dan peraturan sedia ada terhadap mereka yang masih berdegil membawa bahan terlarang seperti mercun, barang tajam dan suar ke dalam stadium.

“Setakat ini, dua remaja sudah ditahan. Pada perlawanan Sabtu lalu, seorang remaja berusia 17 tahun membawa masuk beberapa butir mercun bola ke dalam Stadium Darul Makmur sebelum perlawanan tetapi gagal apabila dia berjaya ditahan di salah satu pintu masuk stadium itu.

“Kita menjumpai enam biji mercun jenis bola yang telah diubah suai dan pemutar skru sepanjang 20 sentimeter (cm) dan dipercayai untuk diletupkan semasa atau selepas perlawanan dan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1957,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, seorang lagi remaja berusia 20 tahun yang juga seorang penuntut sebuah kolej turut ditahan hasil pemeriksaan di pintu masuk stadium ketika perlawanan menentang Johor Darul Ta’azim (JDT) II pada 13 Ogos lalu dengan membawa mercun bola.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai suar yang dibawa penyokong ke dalam stadium, menurutnya pihak polis mengimplementasikan tindakan berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Sebelum ini memang tiada tindakan dikenakan terhadap mereka yang membakar dan membawa suar dan hanya kita padamkan namun selepas ini, kita akan bertindak tegas dan membuat tangkapan terhadap individu terbabit.

“Pihak keselamatan memandang serius kegiatan membawa bahan terlarang ini kerana ia boleh mendatangkan kecederaan parah dan kehilangan nyawa kepada penonton lain.

Nasihat dan peringatan telah diberikan dan kita akan mengambil tindakan tegas sekiranya dapat mengesan individu yang masih ingkar terhadap larangan ini,” katanya.

Menurutnya, pihak keselamatan ingin memberikan nasihat kepada peminat bola sepak supaya mengambil sikap bertanggungjawab mematuhi peraturan keselamatan di stadium bagi mengelakkan insiden tak diingini.

0 comments:

share2