Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 27, 2014

KUANTAN: PROJEK TEBATAN 60% SIAP


Sumiliana (kanan) memberi penerangan kepada ahli majlis MPK, Yoke Theng mengenai projek tebatan banjir yang sedang dijalankan, dekat sini, semalam.

Kuantan - Projek tebatan banjir yang dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun hadapan sudah selesai kira-kira 60 peratus, sekali gus mampu mengurangkan risiko banjir sekiranya berlaku penghujung tahun ini.

Jurutera Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) Daerah, Sumiliana Sulong berkata, manakala 40 peratus yang belum siap merupakan antara projek besar dan memerlukan masa agak lama untuk dipersiapkan.

“Kerja-kerja menyempurnakan projek tebatan banjir yang bernilai kira-kira RM50 juta ini sudah dimulakan selepas banjir 2013 dan akan siap sepenuhnya sekitar 2015 nanti.

“JPS berusaha mengurangkan risiko banjir melalui kerja-kerja menaik taraf pembetung utama, mempertingkatkan sistem saliran dan kerja-kerja berkaitan di beberapa perkampungan yang dilanda banjir buruk sebelum ini, pembinaan struktur kawalan banjir, mempertingkatkan aliran dan menstabilkan tebing, kerja-kerja mendalamkan tebing dan banyak lagi.

“Antara projek yang sudah diselesaikan meliputi lokasi di Sungai Talam (Kolej Shahputra), Sungai Tiram (Indera Mahkota), Sungai Galing, Parit Utama Permatang Badak dan Parit Kampung Jawa,” katanya dalam satu taklimat bersama Ahli Majlis Perbadanan Kuantan (MPK) anjuran MCA Kuantan, dekat sini, semalam.

Dalam pada itu, katanya, walaupun kerja-kerja menaik taraf dan pembinaan semula dilakukan namun ia hanya boleh mengurangkan risiko daripada banjir besar berlaku dan ia bukanlah penyelesaian sepenuhnya.

“Walaupun kita giat melakukan kerja-kerja tersebut secepat mungkin bagi menghadapi banjir pada tahun ini, namun banjir yang berlaku turut bergantung kepada kadar taburan hujan di hulu dan bandar.

“Selain itu, banjir yang berlaku jika dilihat pada dua tahun sebelum ini, ia juga berpunca disebabkan pertembungan angin monsun Timur Laut antara November dan Mac dengan paras air pasang yang tinggi pada ketika itu,” katanya.

Sementara itu, katanya, JPS percaya apabila projek tebatan banjir ini siap sepenuhnya termasuk tiga projek yang masih dalam pembinaan dan baik pulih, ia mampu mengurangkan impak secara keseluruhannya.

Menurutnya, antara projek yang masih dalam proses dan dijangka siap 2015 iaitu perparitan dan saliran berdekatan pasar raya Mega Mall, Kampung Razali dan Kolam Takungan air Bukit Pelindong.

“Kesemua projek ini merupakan yang terakhir sebelum kerja-kera mendalam Sungai Kuantan dilaksanakan.

“Ia perlu bagi menampung aliran air daripada semua sungai dan air perparitan yang ada sebelum keluar ke laut melalui Muara Sungai Kuantan, jika tidak dilakukan kerja-kerja tersebut ia mungkin tidak memberi kesan memandangkan air tetap menjadi tinggi,” katanya.

Sementara itu, turut hadir dalam sesi taklimat tersebut Ahli Majlis Datuk Chiew Yoke Theng dan Phang Ching Chay.

0 comments:

share2