Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 30, 2014

KUANTAN : LADANG SAWIT HARAM DIMUSNAHKAN


Kakitangan Pejabat Hutan Daerah Kuantan memusnahkan pokok kelapa sawit yang ditanam secara haram di dalam kawasan Hutan Simpan Lepar, di sini.



KUANTAN - Sebanyak 210 pokok kelapa sawit bernilai lebih RM6,000 yang ditanam secara haram dalam kawasan Hutan Simpan Lepar, dimusnahkan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan dalam operasi petang kelmarin.

Dalam operasi lebih tiga jam yang melibatkan 60 kakitangan termasuk Bahagian Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) itu berjaya memusnahkan pokok berusia dua tahun itu yang ditanam dalam kawasan seluas lebih satu hektar.

Pegawainya, Mohd Khairul Anuar Rahim berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bertindak menceroboh hutan simpan dengan apa juga aktiviti itu.

Menurutnya, tindakan menceroboh Hutan Simpan Lepar dengan aktiviti pertanian menyebabkan banyak pokok balak bernilai tinggi ditebang dan dibakar menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.

“Kita sudah melakukan risikan terlebih dahulu bagi mengesan individu dan kumpulan yang terbabit menceroboh dan membuka ladang kelapa sawit berkenaan sehingga mereka gagal meneruskan niat ceroboh.

“Jarak perjalanan lebih tiga kilometer untuk sampai ke kawasan berkenaan bukan penghalang kepada individu terbabit menceroboh hutan simpan yang terletak bersebelahan ladang kelapa sawit milik penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas operasi berkenaan yang turut disertai Timbalan Pengarah Operasi JPNP, Lim Kee Leng.

Beliau berkata, tindakan terbaik dilakukan adalah dengan memusnahkan semua pokok kelapa sawit yang ditanam bagi memastikan kegiatan berkenaan lumpuh seterusnya membuka peluang pihaknya menanam beberapa spesies pokok balak sesuai di kawasan terbabit.

Mohd Khairul berkata, operasi diadakan kali ini diharap menjadi pengajaran kepada pihak lain supaya tidak menceroboh kawasan hutan simpan semata-mata untuk aktiviti pertanian.

“Rondaan oleh Unit Penguatkuasa PHD dan negeri akan terus dilakukan bagi membendung aktiviti menceroboh hutan simpan selain kegiatan membawa keluar hasil hutan seperti balak.

“Kita akan bekerjasama dengan Bahagian Pembangunan JPNP untuk menjalankan aktiviti menanam beberapa spesies pokok balak seperti meranti, keruing dan kapur yang sesuai tumbuh di situ,” katanya.

Katanya, bantuan daripada masyarakat setempat terutama mereka yang tinggal berhampiran kawasan hutan simpan supaya dapat memberikan maklumat jika mendapati ada aktiviti pencerobohan.

“Rondaan secara berjadual di beberapa kawasan yang menjadi tumpuan kegiatan membawa keluar hasil hutan juga turut akan dilakukan menggunakan pelbagai kaedah,” katanya.



0 comments:

share2