Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 19, 2014

KUANTAN - EXCO MBM MAUT DILANGGAR LORI


Mayat mangsa terbaring di atas jalan sebelum diangkat dan dihantar ke HTAA untuk bedah siasat.

Kuantan – Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) Abu Qassim Nor Azmi, 28, maut selepas dilanggar sebuah lori di Jalan Tun Razak hadapan perhentian bas Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.30 petang itu, mangsa yang bertugas sebagai pegawai statistik di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Cyberjaya mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Deputi Superitendan Mohammad Noor Yusof Ali berkata, mangsa yang berasal dari Taman Tuanku Gadut, Negeri Sembilan tiba di daerah ini dengan menaiki bas dari Kuala Lumpur.

Menurutnya, mangsa berhenti di perhentian bas tersebut menemui isterinya yang menunggu dengan sebuah kereta jenis Naza Forte untuk menjemputnya ke Kuantan.

“Mangsa difahamkan meletakkan barang dalam bonet kereta dan bergerak untuk memasuki kereta mengambil alih tugas memandu sebelum meneruskan perjalanan.

“Ketika mangsa cuba memasuki kereta, sebuah lori kontena dari arah belakang tiba-tiba merempuh mangsa sebelum diseret kira-kira lima meter dari tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga.

Mohammad Noor berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu lori berkenaan dipercayai melarikan diri sebaik kejadian terbabit namun pihak polis sudah mengenal pastinya berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gambang,” katanya.

0 comments:

share2