Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 23, 2014

KONGRES AMK: SEPARUH KELUAR DEWAN


Separuh keluar dewan ketika Nik Nazmi diumum jadi Ketua AMK

Shah Alam: Lebih separuh perwakilan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dari seluruh negara bertindak keluar dewan apabila Timbalan Speaker Dun Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad diumum dan dilantik secara rasmi sebagai Ketua AMK sesi 2014-2018 dalam Kongres AMK ke-10 di sini.

Tindakan itu difahamkan kerana perasaan tidak puas hati oleh penyokong Setiausaha Majlis Pimpinan PKR Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves, Amiruddin Shari yang tewas dalam pemilihan baru-baru ini.

Bagaimanapun upacara penyerahan watikah pelantikan diteruskan oleh Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga bekas Ketua AMK bagi sesi 2010-2014.

Pada pemilihan parti yang lalu, Nik Nazmi yang juga ADUN Seri Setia mendapat 4,509 undi menewaskan Amirudin (4,259).

Jawatan Timbalan Ketua AMK pula dimenangi Dr Afif Bahardin dan Naib Ketua AMK disandang Raymond Ahuar, Radzlan Jalaludin dan J Sangetha.

Turut menerima watikah pelantikan ialah Ahli Majlis Pimpinan AMK iaitu Anwar Nekhan, Fasyarini Azahari, Justin Raj, Zafril Eusoff, Izad Buqhary, P Tharmentra, Tamil Selvan dan Ridzuan Basri, Ammar Gazali, Farhan Kamal, Lee Lian Jeng, Halimah Nasoha, Kumaresan Aramugam, Firdaus Yusoff, Sukirman Mustafa, Tangah Jansa, K Nagarajan, Afzainizam Rahman, Ramly Ahmad dan Murnie Hidayah Anuar.

Sementara itu, dalam ucapan pertamanya menjadi Ketua AMK, Nik Nazmi meminta perwakilan memberikan kepercayaan kepadanya untuk melaksanakan dasar dalam masa 100 hari.

"Saya mahu 100 hari untuk perwakilan lihat dasar-dasar yang akan saya laksanakan. Kita akan beri tumpuan kepada mana-mana kawasan yang dilihat lemah.

"Saf kepimpinan baharu ini juga akan digerakkan dan bekerja sebagai satu keluarga yang rapat," ujarnya.

Amiruddin dan Shamsul sebelum ini dilaporkan bakal berdepan tindakan disiplin gara-gara mengkritik Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mereka turut dikaitkan dengan kem Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, kini sedang disiasat Lembaga Disiplin PKR kerana mendesak Abdul Khalid melepaskan jawatan yang disandangnya.

0 comments:

share2