Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 28, 2014

JANGAN INGKAR TITAH SULTAN


Sultan Sharafuddin menitahkan Pas memberikan dua atau lebih nama calon Menteri Besar Selangor. (Gambar fail)

Shah Alam - Pas perlu memberikan dua atau lebih nama dalam kalangan Adun mereka sebagai calon Menteri Besar Selangor kerana perkara itu adalah titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pakar Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Azmi Hassan berpendapat, jika Pas tidak mengemukakan nama calon, mereka dilihat telah mengingkari arahan yang dikeluarkan Sultan Selangor.

“Pas sekurang-kurangnya perlu mengemukakan dua nama calon daripada parti mereka. Saya tidak lihat Pas akan mengkhianati PKR dan DAP sebaliknya mentaati perintah sultan,” katanya.

Beliau berkata, Pas dilihat layak berdasarkan kelebihan kerusi dimenangi pada PRU13 iaitu sebanyak 15 kerusi, manakala PKR memperoleh 14 dan DAP, 15.

"Pas perlu mengambil peluang mengetengahkan pemimpin mereka yang berwibawa sebagai calon.

“Jika Pas tidak mengambil peluang ini, sememangnya mereka tidak bijak berpolitik. Mereka perlu mempunyai pendirian tetap walaupun mempunyai kerjasama politik bersama PKR dan DAP dalam PR," katanya.

Beliau berkata, dengan kenyataan yang dikeluarkan PKR dan DAP kelmarin yang tetap memberikan satu nama walaupun diarah lebih daripada itu, Pas perlu menghormati institusi beraja di Selangor.

"PKR dan DAP tetap mencadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon. Sungguhpun sebelum ini Pas mempunyai konsensus bersama PR iaitu tidak akan mengambil kerusi menteri besar, namun dengan kemelut ini, ia perlu diketepikan," katanya.

Jelasnya, perjanjian mulut itu dilihat tidak akan terjejas kerana Sultan Selangor sudah menitahkan setiap parti memberi lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Sains Politik Pusat Pengajian Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr Samsul Adabi Mamat yakin hubungan Pas dengan PKR tidak akan terjejas jika mereka mengemukakan nama calon Menteri Besar Selangor.

Katanya, kemelut politik Selangor memberi kesan terhadap kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan PR.

“Pas perlu mengubah perspektif rakyat yang mereka mengikut telunjuk PKR dan DAP dalam sebarang keputusan yang dilakukan,” katanya.

0 comments:

share2