Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 22, 2014

BAPA MAHU TATAP WAJAH ANAK


Jenazah Mohd Ali akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Pagoh.

Muar – Bapa salah seorang mangsa tragedi pesawat MH17, Md Salim Sarmo, 65, mahu menatap wajah dan memeluk jenazah anaknya, Mohd Ali Salim, 30, sebaik sahaja dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Jayor, Pagoh dekat sini sebagai penghormatan terakhir sebelum dikebumikan.

Bapanya, Md Salim berkata kepulangan jenazah sudah lama dinantikan dia dan isteri, Junaidah Basiran, 62, serta tujuh anak lain yang mempunyai kekuatan untuk menatap wajah Mohd Ali buat kali terakhir.

“Saya bersyukur jasad arwah ditemui dalam keadaan sempurna yang diketahui daripada rakan-rakanya dari Belanda menerusi panggilan telefon selepas membuat proses pengecaman mayat.

“Kami sekeluarga akan mematuhi arahan pihak polis yang melarang mengambil atau merakam gambar arwah ketika melihat jenazah,” katanya yang ditemui Sinar Harian di rumahnya, semalam.

Mohd Ali adalah calon pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengikuti pengajian ijazah kedoktoran dalam bidang Development Neuropsychopathology di Erasmus Universiti Rotterdam, Belanda.

Pemandu teksi itu berkata, dia lega apabila dimaklumkan jenazah anaknya dibawa pulang ke negara ini kerana segala teka teki yang bermain di fikirannya sejak tragedi malang itu berlaku sebulan lalu terjawab.

Md Salim dan keluarga sememangnya mahu anak keenam daripada lapan anaknya itu disemadikan di Pagoh sebagai tanda ingatan buat keluarganya.

“Jenazah anak disemadikan bersebelahan pusara datuk saudaranya, Jawat Suradi yang meninggal dunia pada September tahun lalu. Arwah cukup akrab dengan datuknya itu. Dia pastinya akan melawat datuknya setiap kali pulang bercuti di kampung dan Aidilfitri tahun lalu mereka ada bergambar bersama,” katanya.

Md Salim berkata, dia tidak dapat melupakan kata-kata terakhir anaknya yang ingin membawanya dan isteri ke Belanda menyaksikan konvokesyennya sambil bercuti bagi merasai kehidupan yang pernah dilaluinya sepanjang menuntut di negara itu.

“Saya, isteri dan tiga anak bersama seorang rakan karib Mohd Ali sedang mencari tarikh sesuai ke Belanda untuk mengambil kesemua barang milik arwah sambil melawat negara itu bagi memenuhi hasrat arwah,” katanya.

0 comments:

share2