Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 20, 2014

ABDUL KHALID MOHON MAAF KEPADA RAKYAT SELANGOR


Abdul Khalid mohon maaf kepada rakyat Selangor akibat isu MB

Kuala Lumpur: Demi mempertahankan integriti, rakyat dan kakitangan awam di Selangor turut terpalit dalam krisis politik yang melanda negeri itu, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

The Malaysian Insider melaporkan, Abdul Khalid memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Selangor kerana mengheret mereka dalam krisis politik.

Minta maaf kerana perhatian yang diberikan kepada anda. Bagi saya, itu tidak mengapa, kerana saya memilih untuk menjadi ahli politik.... Jadi, saya terpaksa menghadapinya.

"Minta maaf kepada anda kerana datang ke sini bukan untuk terlibat dalam keadaan ini. Itulah harga sebuah integriti," katanya ketika merasmikan Persidangan Integriti Tahun Ketiga PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Abdul Khalid dilaporkan turut memetik sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari: "Sekiranya sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran."

Dalam ucapannya, Abdul Khalid dilaporkan berkata PKNS menjadi tulang belakang pembangunan Selangor dengan membina 11 projek bandar dan perumahan untuk rakyat.

Katanya, pembinaan projek mega bukan lagi keutamaan sebaliknya rakyat lebih mementingkan transparensi, integriti dan tanggungjawab yang diamalkan oleh pentadbiran korporat yang baik.

"Desakan supaya mementingkan tanggungjawab sosial semakin kuat setiap hari. Ia penting untuk negeri mendapatkan kepercayaan daripada rakyat," katanya.

PKNS menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) sejak November 2012 dan mengamalkan Sistem Integriti Korporat (CIS) bagi menggalakkan urus tadbir korporat yang baik dan mengelakkan amalan rasuah.

Khalid turut mengumumkan PKNS berjaya menjimatkan RM416.5 juta sejak anak syarikat itu mengamalkan sistem tender terbuka bermula tahun 2009.

Selepas PAS mengumumkan keputusannya Ahad lepas yang menyokong supaya Abdul Khalid perlu diganti, Menteri Besar Selangor ini mengelak dari bertemu media.

Khalid semalam turut membatalkan semua program rasminya termasuk perjumpaan bulanan dengan kakitangan awam dan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Bola Sepak Selangor (FAS).

Abdul Khalid juga telah menulis surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memohon perkenan menghadap baginda di luar negara.

Namun, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani memaklumkan Sultan Sharafuddin menitahkan Khalid supaya bersabar dan menunggu baginda pulang daripada bercuti dalam tempoh beberapa hari lagi.

0 comments:

share2