Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 21, 2014

4 LELAKI DIDAKWA ROMPAK, ROGOL, CABUL WARGA CHINA

Butterworth - Seorang penghantar surat dan tiga rakan lelakinya dihadapkan ke mahkamah berasingan di sini hari ini atas pertuduhan merompak, merogol dan mencabul kehormatan seorang wanita warga China pada 3 Ogos lepas.

Bagi pertuduhan merompak, Wan Noorsaiful Abdullah, 23, Muhammad Fuzairi Azmi, 23, Mohamad Azrul Azlan Mohamad, 19, dan Mohamad Kamal Masiran, 25, didakwa melakukan kesalahan itu di hentian rehat Jambatan Pulau Pinang pada 3.30 pagi 3 Ogos lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Julie Lack membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan bagi kes ini dikendali Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit.

Bagi pertuduhan merogol, Muhammad Fuzairi dan Mohamad Azrul Azlan didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang berusia 21 tahun di kawasan bendang Sungai Lokan antara 3.30 pagi dan 7.07 pagi hari sama.

Hakim Roslan Hamid membenarkan mereka diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Keempat-empat tertuduh turut didakwa merompak seorang ahli perniagaan Tang Chin Meng, 46, yang merupakan rakan wanita itu, sehingga menyebabkan kecederaan di tempat, pada masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan ini, Roslan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan didepan Roslan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud.

Di Mahkamah Majistret, Muhammad Fuzairi didakwa melupuskan harta curi iaitu telefon bimbit milik warga China berkenaan di FA Teleshop No 135 Jalan Sungai Puyu, Sungai Puyu pada 11 Ogos lepas.

Wan Noorsaiful pula didakwa mencabul kehormatan wanita warga China itu di kawasan perindustrian ringan Sungai Lokan antara 3.30 pagi dan 7.07 pagi.

Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan bagi kes ini dikendali Timbalan Pendakwa Raya Khairul Fairuz Rahman.

Muhammad Fuzairi diwakili peguam V.Guha manakala tiga lagi tertuduh tidak mempunyai peguam.

Mahkamah menetapkan 23 September bagi menyebut semula kesemua kes.

0 comments:

share2