Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 30, 2012

Kenyataan Media PEMBELA


KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN MUAFAKAT SEJAHTERA MASYARAKAT MALAYSIA BERSAMA
PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM (PEMBELA)
29 Ogos 2012 bersamaan 11 Syawal 1433

  • PEMBELA mengulangi penegasan bahawa pertubuhan-pertubuhan Islam yang diwakilinya tidak berminat dengan persaingan mendapatkan sokongan melalui politik kepartian. PEMBELA juga tidak terpengaruh dengan sebarang sikap dan tindakan partisan para pemimpin Negara, sama ada di pihak kerajaan ataupun di pihak pembangkang yang ghairah memperjuangkan dasar dan manifesto masing-masing, khususnya di dalam mengemudi kehangatan bahang Pilihanraya Umum ke-13.
  • Tetapi, PEMBELA tidak akan berdiam diri mahupun berkompromi apabila persoalan kedaulatan Islam disentuh dan dijadikan modal percakaran di kalangan parti-parti politik.
  • Umat Islam menjadi semakin gusar, khususnya apabila saban hari menyaksikan kebiadaban para pemimpin politik yang secara terang-terangan menghina Islam bukan sahaja disebabkan kejahilan mereka, tetapi provokasi yang disengajakan untuk mendapat publisiti murahan dan meraih keuntungan politik yang bersifat sementara.
  • PEMBELA bertegas bahawa sikap dan tindakan sebegini adalah sangat tidak bertanggungjawab, kerana melanggar keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Negara melalui Perkara 3 (1). Kenyataan-kenyataan yang biadab sebegini harus segera dihentikan dan ditarik semula.
  • Kedua-dua Yang Berhormat Karpal Singh a/l Ram Singh, selaku Pengerusi DAP dan Yang Berhormat Donald Lim Siang Chai, selaku Pengerusi MCA Negeri Selangor merangkap Timbalan Menteri Kewangan I, serta lain-lain pemimpin politik di setiap lapisan, wajib menghentikan kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab mengenai Islam di Negara ini.
  • YB Karpal Singh bersungguh-sungguh memperjuangkan konsep Negara sekular dan ini menggambarkan kejahilan beliau yang melampau tentang peranan Islam yang telah membina masyarakat Islam yang baik di Negara ini hatta sejak sebelum Perlembagaan Persekutuan hadir di dalam sejarah penubuhan Negara. Prinsip-prinsip ideal dan sumbangan Islam dalam membina individu Muslim yang baik telah menyumbang kearah pembinaan masyarakat Malaysia yang mantap, sejahtera dan harmoni. Mengapa YB Karpal Singh beria-ia memperjuangkan konsep Negara sekular, yang jelas rapuh, bermasalah dan telah terbukti menghancurkan tamadun lain di dunia, khususnya Negara-negara barat?
  • Kenyataan YB Donald Lim yang ingin menghalang sebuah Negara Islam pula bersifat pramatang, menghasut serta mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab di dalam menjaga sensitiviti terhadap umat Islam yang menjalankan kehidupan beragama mengikut lunas dan ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan. Khususnya bagi seseorang yang berstatus menteri kabinet Kerajaan Persekutuan, kenyataan tersebut menggambarkan kejahilan beliau tentang kedudukan Islam sebagai agama Negara, hakikat perlindungan terhadap agama-agama lain dan sumpah Yang DiPertuan Agong bagi memelihara dan mempertahankan kemuliaan Islam yang jelas termaktub pada perkara 37(1), Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.
  • Adalah sangat malang bahawa YB Karpal Singh dan YB Donald Lim, mahupun mana-mana pihak yang sealiran dengan mereka membiarkan pemikiran dipengaruhi unsur-unsur stereotaip dan label media-massa musuh-musuh Islam di dalam membuat kenyataan-kenyataan mengenai Islam, yang jelas tidak berwibawa dan berprasangka jahat terhadap Islam. Malah, ramai di kalangan pemimpin Muslim sendiri tidak membantu menjernihkan kekeliruan ini, tetapi sebaliknya menambah-kusut kecelaruan mereka disebabkan sikap prasangka buruk, hasad dengki dan taasub kepartian mahupun individu, lantas membuat kenyataan-kenyataan yang mengesahkan kejahilan mereka tentang kedudukan Islam di Malaysia.
  • PEMBELA menegaskan kepada para pemimpin politik khususnya, bahawa sebarang pendekatan yang boleh memprejudis kedaulatan agama Islam sebagai agama Negara boleh menghakis prinsip “Kesetiaan kepada Raja Negara” dan prinsip “Keluhuran Perlembagaan” yang menghilangkan kelayakan untuk menyertai proses pemerintahan Negara.
Justeru dalam menangani masalah yang timbul dari sikap sebegini, PEMBELA dengan ini:
  • Bersepakat dengan pertubuhan-pertubuhan Islam untuk membuat aduan polis terhadap kedua-dua YB Karpal Singh dan YB Donald Lim, serta mendesak pihak berkuasa melakukan penyiasatan kenyataan-kenyataan mereka di bawah Akta Hasutan 1948 dan peruntukan undang-undang yang relevan, serta mengambil tindakan-tindakan yang perlu mengikut saluran sedia wujud;
  • Menyeru agar semua pertubuhan-pertubuhan Islam di Negara ini menyertai PEMBELA dan rakan-rakan pertubuhan Islam lain di dalam menzahirkan kegusaran dan bantahan terhadap sikap tidak bertanggungjawab para pemimpin politik Muslim dan non-Muslim, tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang, yang membuat kenyataan-kenyataan jahat dan tidak adil mengenai Islam di Malaysia;
  • Memohon persefahaman dan kerjasama utuh dengan Majlis-majlis Agama Islam Negeri dalam usaha melaksanakan hasil percambahan fikiran strategik dari masa ke semasa, demi mengurangkan pergeseran di kalangan umat Islam dan mendepani salah faham tanggapan terhadap kedudukan Islam di Negara ini di kalangan Muslim dan non-Muslim;
  • Menyeru umat Islam terus mengekalkan iktibar dan didikan bulan Ramadhan yang baru sahaja berlalu, di dalam bermunajat kepada Allah SWT supaya diberikan taufiq dan hidayahNya untuk mengukuhkan kesatuan hati dan menghadapi mehnah kecelaruan pemikiran di kalangan masyarakat yang menyebabkan Islam terus-menerus diserang dan diganggu-gugat anasir-anasir daripada kalangan non-Muslim dan Muslim sendiri.
PEMBELA ingin menegaskan bahawa seruan dan tindakan kami hendaklah dilihat sebagai usaha mengekalkan keharmonian beragama di kalangan masyarakat Malaysia. Dengan menyanggah kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab para pemimpin politik, PEMBELA sebenarnya mengembalikan citra dan keizzahan jati diri Islam sebagai agama Negara, yang telah dimomokkan dan diganggu-gugat persaingan politik partisan yang tidak bertanggungjawab.

Sambutan dan iktibar ulang tahun kemerdekaan ke 55 tanahair ini tidak akan bermakna sekiranya kekuatan Islam yang diibaratkan Mahkamah Tinggi sebagai “pohon jati”, dan tidak dipersoalkan sehingga ke Mahkamah Persekutuan, tetapi diremehkan dan diberikan kedudukan yang tidak adil di sisi Perlembagaan Persekutuan yang disanjung seluruh warganegara Malaysia.


A. Karim Omar
Setiausaha Agung MUAFAKAT
Dan

Hj. Aminuddin Yahya
Pengerusi PEMBELA

Pertubuhan-pertubuhan yang bernaung di bawah PEMBELA – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Pertubuhan Jalur Tiga (JATI), Pertubuhan Profesional Muslim dan Ukuwwah Ummah (PROMUSLIM), Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Institut Kajian Islam dan Strategik (ISSI), Persatuan Ulama Malaysia -Pulau Pinang, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Institut Pemikiran Tradisional Islam (IPTI)

Sekretariat PEMBELA
d/a Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)
25 Jalan Bandar 3
Taman Melawati
53100 Kuala Lumpur

Read more »

Wednesday, August 29, 2012

PAS Hancur Berkat Doa Nik Aziz


Perang mulut antara PAS, DAP dan PKR berhubung isu hukum hudud masih belum reda malah terus membara.

Keadaan semakin genting bagi pakatan politik tiga parti tersebut yang sudah tentunya akan mengugat keutuhan Pakatan Rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Walaupun isu pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan oleh PAS bukanlah sesuatu yang baru namun ia kembali menjadi panas dan bahan polemik sejak kebelakangan ini akibat sikap parti Islam itu yang kini dilihat berdolak dalik dan tidak teguh dalam pendiriannya.

Pada satu pihak, DAP dilihat konsisten dengan penentangan tegasnya terhadap sebarang usaha oleh PAS untuk melaksanakan undang-undang syariah jika Pakatan Rakyat berkuasa.

Ini berlainan pula dengan pihak PAS yang terpaksa menukar warna politik dan mengorbankan prinsip perjuangannya daripada 'Negara Islam' kepada 'Negara Kebajikan' semata-mata kerana hendak menyesuaikan dengan kehendak dan agenda politik DAP, sebuah parti politik perkauman Cina yang amat rasis dan secara terangan menonjolkan sikap anti-Melayu.

PAS sanggup mengorbankan pemimpinnya seperti Hasan Ali yang menyuarakan ketidak puasan hatinya terhadap sikap angkuh dan pro-Kristian DAP dalam kerajaan negeri Selangor namun untuk menyanggah parti rasis itu jauh panggang dari api.

Kini nasib yang sama menimpa Hasan akan bakal diterima oleh Nasharudin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden PAS yang mengkritik sikap Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh yang katanya bukan setakat menolak hukum hudud malah secara langsung menentang Islam sekali gus.

Dua kali malang bagi Nasharudin kerana bukan sahaja Karpal menyatakan akan menyaman beliau, malah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang menjadi sekutu kuat dan pelindungnya satu ketika dahulu pun sudah memisahkan diri daripadanya dan memihak kepada DAP.

Abdul Hadi membayangkan Nasharudin sebagai individu yang sudah tidak penting dalam parti dan boleh dinyahkan dari parti bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Begitulah nasib yang terpaksa ditanggung oleh tokoh-tokoh PAS yang hanya bercakap selari dengan prinsip perjuangan parti tetapi tidak secocok dengan selera DAP.

PAS yang pernah mendabik dada sebagai parti terkuat dalam Pakatan Rakyat dan mahu bertanding kerusi terbanyak dalam PRU kelak, juga semakin tertekan kerana PKR mengambil pendirian menyokong DAP dalam isu hukum hudud.

Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim menyatakan bahawa pelaksanaan hukum hudud masih belum sesuai dan ia bukanlah merupakan dasar yang telah dipersetujui bersama oleh ketiga-ketiga pemimpin pembangkang tersebut pada tahun 2009.

PAS kini benar-benar tersepit dan tidak dapat membersihkan imejnya yang kian kotor dan merosot di mata rakyat akibat dilabel sebagai keldai tunggangan DAP dan tukang angguk PKR.

Tidak cukup kemelut yang membelit PAS dan DAP, kini tercetus pula pertelingkahan antara PKR dan DAP di Pulau Pinang apabila Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman menganggap Ketua Menteri, Kim Guan Eng sebagai angkuh, bongkak dan sombong.

Tindakan nafi menafi dari pihak PKR sudah tentu menjadi perkara biasa dalam blok pembangkang tetapi kata-kata Mansor sebenarnya telah membuka satu lagi jurang antara kedua-dua parti yang pasti akan menjadi semakin lebar dalam hari-hari mendatang.

Masalah sebenar dalam Pakatan Rakyat bukanlah Barisan Nasional sebagai musuh utamanya tetapi PAS, DAP dan PKR yang menjadi musuh paling besar mereka sendiri.

Setiap parti bersikap angkuh kerana memikirkan merekalah yang paling berpengaruh dan menyumbang paling banyak dalam PRU pada 2008.

Dengan kedudukan kerusi dalam Dewan Rakyat pasca PRU ke-12 yang hampir sama, ketiga-tiga parti berfikir merekalah yang paling hebat serta kuat dan justeru tidak mahu mengalah.

PAS setakat ini kekal dengan 31 kerusi, diikuti 28 dalam genggaman DAP sementara PKR menjadi paling corot daripada 31 kepada 26 apabila lima wakilnya melompat menjadi ahli bebas.

Anwar pula terpaksa menyokong DAP kerana peranan licik parti perkauman Cina itu yang terus mempertahankan kedudukan beliau sebagai Ketua Pembangkang walaupun PKR yang menjadi parti minoriti tidak layak lagi mengetuai barisan pembangkang dalam Parlimen.

Apatah lagi DAP seringkali menyatakan sokongannya kepada Anwar sebagai bakal Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa kelak, sesuatu yang sehingga kini tidak pernah disuarakan oleh PAS.

Persekongkolan PKR-DAP dalam isu-isu penting seperti calon Perdana Menteri serta hukum hudud sepatutnya sudah cukup memberi kesedaran kepada pemimpin PAS bahawa mereka sudah ditipu hidup-hidup.

Namun untuk menutup malu atas kegagalan PAS menerajui Pakatan Rakyat, parti itu sanggup menjadi hamba kepada PKR dan DAP demi tamakkan kuasa, pangkat dan kedudukan.

Jika Karpal terus dengan niatnya untuk menyaman Nasharudin maka terbuktilah PAS telah menjadi parti paling bacul di negara ini kerana tidak mampu mempertahankan dasarnya mengenai Islam.

Jika PAS sudah hilang naluri kejantanannya mempertahankan Islam, elok sangatlah parti itu tutup kedai, gugurkan nama suci Islam dan serahkan semua kerusinya kepada PKR dan DAP

Barulah itu dilihat sebagai tanda hamba yang taat dan setia.

Read more »

Maut Akibat Kecuaian Pemandu


BERA – Seorang wanita maut dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 49, Jalan Temerloh - Kemasul – Bukit Mendi kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Mangsa, Sariah Tajul Mulop, 47, yang juga penumpang hadapan kereta jenis Perodua Kembara yang terbabas berikutan bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Waja yang gagal untuk memotong.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zakaria Yusof berkata, dalam kejadian itu, Proton Waja terbabit dipercayai cuba memotong dua kereta di hadapannya iaitu Proton Persona dan Kembara, namun terlalu cepat memasuki laluan kiri sehingga bergesel dengan bahagian depan Kembara.

Menurutnya, kereta Kembara dipandu suami mangsa, Shabudin Ibrahim, 65, hilang kawalan lalu terbabas ke tebing sebelah kiri jalan dan merempuh pokok kelapa sawit sebelum terbalik.

“Rempuhan kuat di bahagian kiri kereta itu menyebabkan mangsa cedera parah di bahagian kepala dan patah kaki serta tangan kanan.

“Mangsa menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian, manakala suaminya pula mengalami cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Haji Sultan Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh,” katanya.

Katanya, mangsa turut dibawa ke Hoshas untuk dibedah siasat.

Zakaria berkata, ketiga-tiga kenderaan terbabit dipercayai dari arah Felda Kemasul menghala ke Triang.

Menurutnya, kereta Waja itu cuba memotong kereta jenis Proton Persona dan Perodua Kembara, namun dipercayai tersilap pengiraan untuk memasuki semula laluan kiri hingga terlanggar bahagian depan Kembara terbabit.

“Kereta Waja itu turut terlajak ke hadapan dan terbabas, namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan. Begitu juga pemandu kereta Persona. Jalan di lokasi kejadian adalah lurus dan mempunyai garisan putus yang membolehkan pengguna memotong. Namun pemandu Waja dipercayai tidak lepas untuk memotong dengan betul,” katanya.

Beliau berkata, siasat lanjut berhubung kes itu masih diteruskan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

Read more »

Tun Mahathir Hanya Tolak Hukum PAS, Bukan Hukum Allah


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) menegaskan beliau selama ini hanya menolak hukum hudud yang diperjuangkan Pas dan tidak pernah sesekali menolak hukum syariah itu seperti terkandung dalam ajaran Islam.

Menurutnya, ini kerana hukum hudud yang diperjuangkan parti pembangkang itu cenderung untuk berlaku tidak adil kepada masyarakat Islam di negara ini.

Sebagai contoh katanya, di bawah 'hudud Pas', seseorang beragama Islam yang didapati bersalah mencuri akan dipotong tangan sementara bagi bukan Islam akan hanya dihukum penjara sekiranya didapati bersalah.

"Saya tak boleh sokong itu kerana tak kena dengan Islam. Kalau sesuatu itu tidak adil, ia tidak Islam. Islam tuntut supaya apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil.

"Ini tidak adil, adakah orang Islam potong tangan, orang bukan Islam tak potong, masuk dua bulan penjara, itu tidak adil," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2011 di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.

Isu hudud kembali hangat diperkatakan kebelakangan ini apabila Pas mendakwa akan terus memperjuangkan hukum syariah itu jika pembangkang berjaya membentuk kerajaan kelak sementara rakan sekutunya, DAP dengan keras berulang kali menolak idea tersebut.

Pas juga mendakwa hudud tidak boleh dilaksana sekalipun Kelantan dan Terengganu telah mempunyai Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 kerana tidak dipersetujui Dr. Mahathir sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.

Selain itu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti dipetik daripada lidah rasmi parti itu, HarakahDaily pada 1 Oktober 2011 berkata, Pas tidak memaksa orang bukan Islam untuk menerima hudud sama seperti mereka tidak dipaksa memeluk Islam.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada tahun lalu juga dipetik memberi jaminan bahawa hudud jika dilaksanakan tidak akan dikuatkuasakan ke atas bukan Islam.

Dalam pada itu Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot ketika dihubungi menjelaskan, hukum syariah termasuk hudud menekankan keadilan ke atas semua pihak dan ia seharusnya terpakai ke atas umat Islam dan bukan Islam dalam sesebuah negara.

"Kafir pun termasuk, kalau hanya untuk Islam, ia sudah lari daripada kehendak hukum ajaran Islam. Maka hudud Islam kalau hendak dilaksanakan perlu ke atas semua pihak," katanya.

Read more »

Karpal Singh Bukti DAP Tolak Agama Islam


Mungkinkah Karpal Singh belum pulih sepenuhnya setelah jatuh sakit tempoh hari sehingga meracau-racau? Mungkinkah beliau masih berhalunisasi apabila berkata bahawa Tun Salleh Abbas pernah memutuskan bahawa Malaysia adalah negara sekular dalam kes Che’ Omar Che Soh.

Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara hanya menyatakan bahawa terdapat undang-undang di negara ini yang berunsur sekular dan beliau tidak pernah sekali-kali memutuskan negara ini sebagai negara sekular.

Tun Dr. Mahathir, bekas Perdana Menteri Malaysia telah pun menegaskan bahawa negara ini adalah negara Islam kerana ia diperintah oleh orang Islam, meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan di masa yang sama tidak pernah menyekat amalan agama-agama lain.

Untuk itu, Perlembagaan Perseketuan mewajibkan Pemerintah dan rakyat keseluruhannya memelihara kesucian dan kedaulatan Agama Islam melalui Perkara 37 dengan mewajibkan Ketua Utama Negara Yang di-Pertuan Agong untuk bersumpah atas nama suci Allah bagi memlihara agama Islam pada semua masa. Selain itu, semua cabang pemerintahan negara sama ada Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman terikat dengan sumpah Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan kesucian dan kedaulatan Agama Islam setiap masa.

Tindakan Karpal Singh membangkitkan hal ini dalam pertelagahannya dengan PAS tentang hudud menyerlahkan lagi agenda jahat DAP yang menentang kedaulatan Islam sebagai agama rasmi. Tindakan Karpal Singh juga dilihat sebagai menentang prinsip Rukun Negara.

Nampaknya, pertelagahan mengenai hudud antara DAP dan PAS semakin mengganggu dan mengelirukan rakyat, malah mampu mencetus ketegangan.

Rakyat perlu faham bahawa sesebuah negara Islam tidak semestinya melaksanakan hudud. Sedangkan Mesir negara yang memusatkan semua Ulama-ulama tersohor juga tidak melaksanakan hudud.

Perlaksanaan hudud dalam negara juga tidak menjamin syurga kepada umat Islam di dalamnya. Ini kerana, syurga-neraka adalah tertakluk kepada amalan peribadi iaitu antara hubungan seorang hamba dengan Allah S.W.T dan juga antara sesama manusia. Kerajaan dan undang-undang tidak akan mempengaruhi kedudukan seseorang Islam di sisi Allah S.W.T.

Hudud adalah undang-undang yang terlalu tinggi yang memerlukan keikhlasan dan ketakwaan yang mantap di kalangan para pelaksananya. Ia juga memerlukan kedudukan negara dan umah dalam keadaan sempurna dari segi ekonomi, pendidikan dan sosial sebelum hudud boleh dilaksanakan.

Hudud yang dilaksanakan tanpa memenuhi syarat di atas akan berakhir dengan ketidakadilan. Lihat saja antara negara yang mengamalkan hudud seperti Pakistan, Afghanistan, Sudan, Somalia, dan Nigeria. Keadaan rakyat mereka menyedihkan, kekejaman terhadap wanita berleluasa, manakala kaum lelaki bermaharajalela menjamu nafsu. Negara mereka juga semakin mundur dan tidak pernah aman.

Keadaan ini berlaku apabila undang-undang diletakkan lebih tinggi dari keadilan itu sendiri. Atau dalam beberapa kes, mungkin juga lebih tinggi dari keperluan asas seperti makanan, pakaian, pendidikan dan keselesaan. Sedangkan, hudud adalah berkenaan keadilan dan kesempurnaan, bukan undang-undang semata-mata.

Lebih dari itu, adalah bahaya untuk melaksanakan hudud di kala keadaaan hampir mustahil untuk mencari pelaksana atau hakim yang benar-benar mantap takwanya dan keikhlasannya serta mampu pula mengambilkira semua aspek teknologi canggih di zaman ini dan mempunyai pengetahuan yang luas dalam berbagai bidang termasuk psikologi malah mungkin juga sains, sebelum menjatuhkan hukuman.

Lebih buruk lagi jika si penggubal, pelaksana dan hakim mempunyai kecenderungan bersifat ‘chauvinis’ dan masih berpegang kepada fahaman jahiliah iaitu memandang rendah pada wanita atau suka membiarkan diri terpengaruh dengan sesuatu golongan atau pandangan tertentu. Jika ini berlaku, bagaimana kita boleh memastikan yang beliau benar-benar menjatuhkan hukuman dengan hukum Allah S.W.T atau hanya dengan pendapat, pandangan dan kecenderungan peribadinya?

Menghakimi hitam atau putih sesuatu perkara mungkin mudah tetapi malangnya keadilan itu tidak semudah hitam atau putih. Kadangkala, hitam yang dilihat adalah tumpahan warna dari beberapa punca. Maka, sang hakim perlu menilai perkara dari puncanya agar tidak berlaku kejam terhadap sesiapa.

Karpal jelas tidak memahami perkara ini tetapi begitu juga sebahagian umat Islam yang kononnya hidup demi hudud.

Namun, sama ada Karpal faham atau tidak, adalah amat tidak bertanggungjawab bagi beliau, untuk membangkitkan perkara ini dengan menolak prinsip Rukunegara dan perlembagaan negara yang meletakkan negara ini sebagai Negara Islam.

Mungkinkah, Karpal sanggup memperbodohkan dirinya dengan menidakkan pengetahuan mengenai perlembagaan negara semata-mata kerana menentang hudud dan segala-galanya yang berkaitan dengan Islam?

Walau apapun tindakan dan kenyataan Karpal, yang pasti PAS telah berikrar akan sehidup semati dengan Karpal dan DAP sementara ‘hudud’ akan terus menjadi nyanyian rasmi PAS sekadar untuk memancing undi.

Read more »

Jangan Gadaikan Hak Sendiri


KUANTAN - Penduduk di Sungai Lembing diminta supaya tidak menjual tanah mereka sebaliknya bersama-sama untuk membangunkan bandar warisan itu sebagai destinasi pelancongan utama di negeri ini.

Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, pekan yang terletak kira-kira 42 kilometer dari bandar Kuantan itu mempunyai pelbagai lokasi menarik untuk dikunjungi pelancong tempatan mahupun antarabangsa.

Beliau berkata, antara tempat menarik yang terdapat di situ adalah Bukit Panorama, Lubuk Beruk, Air Terjun Pelangi, Kawasan Rekreasi Pasir Kubur dan Ladang Rusa.

“Saya percaya apabila terowong dan Jalan Sungai Lembing-Jerantut siap kelak, lebih ramai pelancong akan datang ke sini.

“Pembangunan Sungai Lembing sebagai destinasi pelancongan bukan sahaja akan menambah jumlah pelancong ke negeri ini malah dapat membuka mata pencarian penduduk di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan rumah rehat Persatuan Kwong Siew Sungai Lembing.

Abdul Manan berkata, masyarakat di Sungai Lembing juga perlu bersiap sedia dengan kemajuan di pekan itu ekoran pembangunan pesat yang kini sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Apabila kerajaan telah menarik balik status bandar bebas cukai di kawasan sini, maka kita cuba bangunkan Sungai Lembing ini sebagai bandar pelancongan.

“Kalau kita boleh majukan Kuantan, Kuala Lumpur, tidak ada sebab kita tidak boleh majukan Sungai Lembing yang kini merupakan sebuah Bandar Warisan,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pembangunan di Sungai Lembing membuktikan kerajaan tidak memilih kawasan dalam memastikan rakyat menikmati kehidupan selesa tanpa mengira kaum dan agama.

Read more »

Tuesday, August 28, 2012

Sukan Tomoi Menjadi Tarikan


BANDAR TUN RAZAK - Sukan tomoi sudah tidak asing lagi di bandar ini, namun pembabitan peserta luar negara dalam sukan itu dapat memperkenalkan lagi Bandar Jengka sebagai lokasi berpotensi menjadi pusat pelancongan antarabangsa.

Penganjur, Muhammad Shafie Awang berkata, penyertaan peserta dari luar negara secara tidak langsung dapat memperkenalkan bandar ini di peringkat antarabangsa.

“Hasrat menjadikan tomoi sebagai antara daya tarikan pelancongan di Bandar Jengka pernah dinyatakan sendiri Pegawai Daerah, Datuk Fadzilla Salleh.

“Bagi menyahut cabaran beliau, saya bekerjasama dengan persatuan tomoi kebangsaan untuk membawa peserta antarabangsa menyertai Kejohanan Tomoi Tempatan dan Antarabangsa di sini pada tahun ini,” katanya.

Dia berkata, kejohanan yang akan berlangsung pada 31 Ogos dan 1 September itu akan disertai peserta dari pelbagai negara antaranya Algeria, Thailand, Iraq, United Kingdom dan Iran.

“Peserta tempatan juga akan menyertai pertandingan itu antaranya dari Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur dan sebagainya. Ia secara tidak langsung dapat membuka minda masyarakat setempat untuk mengenali lokasi di Maran khususnya di Bandar Jengka dengan lebih dekat lagi,” katanya.

Selain itu katanya, antara daya penarik pertandingan tomoi pada kali ini apabila pesertanya terdiri daripada pemain bergred A.

“Saya yakin sambutan kali ini lebih menggalakkan berbanding sebelum ini di mana peminat sukan tomoi tidak akan kecewa apabila menontonnya nanti,” katanya.

Pertandingan tomoi itu akan diadakan di Balora Mastika, Bandar Jengka dan dijangka bermula sekitar jam 8 malam. Dalam pada itu, beliau mengharapkan jasa baik Majlis Daerah Maran untuk menyumbangkan tempat bagi menjadikan tomoi sebagai platform pelancongan ke bandar ini.

Read more »

Sindiket Curi Kereta Tumpas


TEMERLOH - Polis Temerloh percaya mereka menumpaskan satu sindiket mencuri kenderaan yang dipercayai aktif di Pahang dan kawasan Lembah Klang sejak tiga bulan lepas berikutan penangkapan lima anggotanya.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood, anggota-anggota sindiket yang berumur antara 24 hingga 36 tahun ditangkap dalam dua serbuan di Mentakab dan Kuala Lumpur pada 28 Julai lepas.

"Pihak polis masih memburu ketua sindiket itu yang dikenali sebagai "Odi" atau nama sebenarnya Norin Azlan Deraman, 36, beralamat terakhir di A-6-10 Cheras Ria Apartment Kampung Baru Cheras," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

"Pada 28 Julai lepas, Polis Temerloh telah menahan lima anggota kumpulan itu dan hasil tangkapan itu dan siasatan yang dilakukan, polis berjaya menemui sembilan kenderaan curi, dua pada hari tangkapan suspek terbabit dan tujuh lagi pada dua hari lepas yang ditemui disimpan di sebuah rumah di Mentakab," katanya.

Antara kenderaan yang ditemui ialah pacuan empat roda, lori dan kereta.

"Selain sembilan buah kereta tersebut, polis turut menemui pelbagai alat kenderaan yang telah dileraikan di rumah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM50,000," katanya.

Beliau berkata modus operandi kumpulan itu ialah mencuri kenderaan dan meleraikan bahagian-bahagian kenderaan untuk dijual dengan harga murah.

Katanya kejayaan tersebut adalah hasil intipan polis Temerloh menerusi Ops Lejang terhadap kumpulan berkenaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung suspek yang dikenali sebagi "Odi" diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. - Bernama

Read more »

Taat Kepada Ulama Dan Umara'


ALHAMDULILLAH telah berlalu Ramadan 1433 Hijrah. Suara para imam di Masjid Al-Haram Mekah sebagai masjid paling suci di ibu kota umat Islam sedunia. Pada penghujung setiap Solat Witir selepas Solat Tarawih dan Solat Tahajud iaitu sewaktu doa qunut - masih terbayang dan dihayati dengan memohon pengampunan Allah Yang Maha Kuasa, meningkatkan keimanan umat dan yang paling utama - merapatkan perpaduan umat demi menghadapi cabaran sosio-politik semasa yang pada ketika ini paling mencabar di Syria, Palestin dan Myanmar.

Hanya dengan perpaduan dapat memelihara dan menjana kekuatan umat. Teras Manhaj (skima) kekuatan umat akan tercapai apabila umat menghayati Firman yang Maha Pencipta (Surah Ali Imran, ayat 103) yang bermaksud: "Berpegang teguhlah dengan tali agama Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah".

Juga sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud): "Sesungguhnya Allah tidaklah menghimpun umat Muhammad di atas kesesatan. Dan Tangan Allah bersama jemaah. Dan sesiapa yang menyimpang maka penyimpangannya adalah ke dalam neraka" (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Tirmizi).

Peranan ketua-ketua negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada mesyuarat luar biasa atas inisiatif Raja Abdullah Arab Saudi untuk julung kali bermesyuarat bersebelahan Masjid Al-Haram di ibu kota Tanah Suci Mekah dan di penghujung bulan suci Ramadan iaitu pada kemuncak 27 Ramadan amat signifikan kepada perpaduan umat. Kita doakan agar ketua negara-negara Islam akan lebih berani serta proaktif dalam menangani urusan umat.

Harus juga diberi kepujian kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sanggup mengharungi lautan ribuan umat Islam sejurus selepas solat tarawih untuk berjalan kaki (dengan mengambil risiko keamanan) dari Istana Tetamu ke lokasi lain bersebelahan Masjid Al-Haram bertemu dengan para ulama Mekah, Qaseem dan Riyadh.

Sifat tawaduk Perdana Menteri amat dipuji oleh para ulama yang hadir atas kesanggupan seorang ketua negara mendengar dan meneliti pandangan para ulama. Ini adalah satu acara yang jarang terjadi dan ia harus dijadikan satu contoh terbaik atau precedent kepada umat.

Selepas perjumpaan dengan para ulama yang diketuai oleh Sheikh Dr. Hamad Al-Jalali, seorang ulama veteran yang terkemuka di Arab Saudi, bersama Sheikh Dr. Sulaiman Al-Salumi, seorang Mufti di Masjid Al-Haram dan Pengerusi Badan Dakwah dan Bimbingan di Mekah; Sheikh Saleh Ad-Duwaish, Ketua Mahkamah Syariah Makkah; Sheikh Dr. Hamad Al-Ghammas, Pengerusi Lembaga Pengarah Al-Madj TV (13 saluran) yang popular di Asia Barat dan Al-Huda TV (saluran bahasa Inggeris) yang popular di benua Amerika dan Eropah; serta beberapa ulama yang lain, maka tersebar pujian di kalangan para ulama Asia Barat serta keinginan mereka untuk turut sama hadir pada majlis yang terpuji ini.

Masing-masing mengimbas perintah Allah (Surah AnNisa' ayat 59) yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada ArRasul dan Ulil-Amri dari kamu".

Imam An-Nawawi di dalam Syarahnya Sahih Muslim menerangkan : "Berkata ulama: …ucapan ini adalah daripada jumhur para Salaf dan Khalaf, daripada para mufassirin dan fuqahaa dan selain mereka, dan mereka berkata, mereka (Ulil-Amri) itu adalah Ulama dan Umara'." Ketaatan kepada kedua-dua ini pastilah dalam perkara yang makruf.

Tiada syak lagi kepentingan peranan dan tanggungjawab kedua-dua golongan ini. Maka kedua-duanya wajib berganding tangan menangani urusan umat. Kedua-duanya wajib dengan penuh rasional mengikhlaskan niat dan mengakomodasikan kelemahan yang sedia ada pada sifat basyar atau kemanusiaan demi memelihara keutuhan dan maruah agama, bangsa dan negara.

Benarlah Firman Allah di atas yang memerintah umatnya berpegang teguh kepada tali agama Allah dan tidak berpecah-belah. Firman-Nya juga (yang bermaksud) : "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara; maka perdamaikanlah kedua saudara kamu (yang berselisihan)". (Surah Al-Hujurat ayat 10).

Perpaduan dan kerjasama para ulama dan umara' adalah formula Islamik yang menjamin kesejahteraan umat. Apabila kedua-dua golongan berpadu maka hak asasi memelihara akidah Muslim melalui konsep al-Wala' dan al-Bara' akan terlaksana.

Al-Wala' ialah kesetiaan kepada segala yang memelihara kemaslahatan baik untuk Islam dan muslim. Al-Bara' adalah menolak atau menyucikan diri daripada segala yang berunsur kufur atau kafir. Maka wajib memberi keutamaan kepada Islam dan Muslim berbanding ke atas kufur dan kafir. Wajib mendahului kesefahaman antara saudara Muslim berbanding ke atas mereka yang tidak mengucap dua kalimah syahadah.

Ini jauh berbeza dengan amalan demokrasi ala Barat yang sering melagakan antara pemerintah dan rakyat. Sistem pemerintahan demokrasi ala Barat yang bertujuan untuk mendirikan negara republik/sosialis sering melagakan antara pemerintah dan rakyat/pekerja (i.e. anti-establishment).

Apabila perbezaan memuncak maka diadakan demonstrasi jalanan untuk menyalakan api fitnah kemarahan, melahirkan simpati dan seterusnya mengaut undi rakyat. Maka terjadilah pertelingkahan bertujuan menggulingkan kerajaan sedia ada atas dasar kononnya "hak asasi manusia" tanpa mengira dasar al-Wala' dan al-Bara' dalam Islam.

Islam menganjurkan kesefahaman, perbincangan dan kerjasama antara umatnya. Pertelingkahan yang melampau lebih membawa kepada keburukan kepada kedua-dua pihak yang bermusuh; pada hal kedua-dua pihak mengucap dua kalimah syahadah.

Semoga Allah mengembalikan umat Islam kepada budaya dan peradaban al-Quran dan As-Sunnah dengan memelihara perpaduan umat demi menangkis fitnah luaran Islam yang berusaha memecah-belah umat serta menggadai hak akidah, agama, bangsa, negara dan maqasid/maksud syarak.

Read more »

Bekas Pengerusi DAP Dedah Kezaliman Parti


PETALING JAYA - Bekas Pengerusi DAP Cawangan Taman Sri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat hari ini tampil memberi penjelasan berhubung isu perletakan jawatan beliau pada 16 Ogos lepas.

Tuan Tat mengecam tindakan Naib Pengerusi DAP, Tan Kok Wai yang mengatakan kononnya beliau telah dipecat dan bukan seperti situasi sebenar, letak jawatan.

"Anda (Tan Kok Wai) menfitnah saya di dada akhbar untuk menjatuhkan integriti, kredibiliti dan populariti saya. Anda mendakwa saya mendapatkan 149 keahlian dengan menggunakan kad pengenalan palsu tanpa kebenaran. Dimana dan bila perkara itu berlaku, sila buktikan," jelasnya kepada pemberita pagi tadi.

Beliau yang telah berkecimpung dalam politik bersama DAP selama 18 tahun turut menjelaskan bagaimana bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Aziz yang turut menerima nasib sama atas kepentingan politik peribadi pemimpin DAP.

"Tunku bukanlah penjenayah. Beliau menyokong (usaha) Bersih tetapi tidak bermakna boleh melanggar undang-undang," katanya.

Tambahnya lagi, DAP kini dilihat bersikap berat sebelah dalam beberapa hal dalaman parti. Nama-nama seperti Tunku Aziz, Fan Yew Ting, Lee Ah Kim, Wee Choo Keong, Teoh Teik Ho, SK Soong, Wing Fung Kot, Yap Gim Guan, Chan Teck Chan, Lee Lam Thye, Tan Chew Hwa, Yap Kuan Ming, Tony Tan, Vellasamy A / L Rasu @ Raman, dan banyak lagi antara mangsa politik dalaman parti itu.

Sebelum ini, Tuan Tat menyifatkan keputusannnya keluar dari DAP sebagai membidas parti itu yang telah lari dari matlamat perjuangan asal dalam mempertahankan dan menjunjung demokrasi.

Beliau turut membidas dan mendakwa DAP kini telah diterajui oleh pemimpin yang angkuh, malah tidak mengamalkan sikap profesional.

Read more »

Elak Maksiat - JAIP Beri Amaran Keras


KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) memberi amaran supaya tidak mencemarkan sambutan ambang merdeka dengan melakukan maksiat dan perkara yang ditegah agama.

Jaip juga tidak akan berkompromi dengan golongan itu yang jelas menyalah ertikan sambutan kemerdekaan dengan melakukan perkara tidak senonoh sehingga melanggar hukum syarak.

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Mohd Ghazali Abd Aziz berkata, ada golongan tertentu dan remaja yang mengambil kesempatan menggunakan istilah kemerdekaan sebagai tiket kebebasan dengan sambutan tidak sepatutnya termasuk melakukan maksiat.

Beliau tidak menafikan masih ada remaja yang cetek pendidikan agama dan pemikiran sehingga melakukan perkara mencacatkan sambutan sebenar kemerdekaan negara.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap golongan yang tersasar meraikan kemerdekaan dengan cara melampaui batas dan kita tidak akan bertolak ansur dengan mereka,” katanya semalam.

Bagaimanapun katanya, bukan semua golongan muda bersikap tidak bertamadun tetapi setiap tahun ada yang berani mencemarkan sambutan kemerdekaan dengan berpelesiran dan menghabiskan masa dengan tidak berfaedah.

“Jaip tidak akan berdiam diri dengan perkara itu malah akan mengambil tindakan sepatutnya termasuk melancarkan operasi bagi membanteras maksiat,” katanya.

Justeru, katanya, bagi yang mempunyai niat tidak senonoh, amaran awal diberikan kerana selepas ditangkap mereka tidak akan terlepas dari hukuman yang dikenakan.

Mohd Ghazali berkata, setiap tahun memang Jaip mengeluarkan amaran tetapi bukan bertujuan menyalahkan pihak tertentu sebaliknya mahu mendidik masyarakat supaya menolak gejala tidak sihat.

“Operasi memang akan dijalankan menjelang sambutan kemerdekaan termasuk di sekitar hotel-hotel murah di seluruh daerah dan lokasi paling panas ialah di Kuantan.

“Tiada tolak ansur kepada golongan yang menyambut kemerdekaan bercanggah dengan agama dan erti kemerdekaan.

“Inisiatif kerajaan menganjurkan tahlil adalah langkah terbaik ketika sambutan kemerdekaan kerana ia mampu memberi penghayatan sebenar tentang kemerdekaan,” katanya.

Read more »

Monday, August 27, 2012

Sebalik Isu Lynas - Berjaya Menarik Pelabur Asing Ke Pahang


BENTONG - Pahang terus menerima pelaburan asing meskipun isu kilang Lynas di Gebeng, Kuantan masih dibangkitkan pembangkang, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. Beliau berkata terbaru, pelabur dari negara China bersetuju melabur RM1 bilion bagi membina sebuah kilang dan membesarkan pelabuhan Kuantan demi kepentingan perdagangan.

Selain itu, katanya, negeri itu turut menerima pelaburan asing RM2 bilion setiap tahun yang membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Pahang.

“Jika benar pembinaan kilang Lynas itu bahaya, kenapa ramai pelabur luar terus berminat melabur di Kuantan, malah sebuah sekolah Cina persendirian akan dibina di Kuantan tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di sini, malam tadi.

Adnan berkata, senario itu membuktikan bahawa pembinaan kilang Lynas itu tidak berbahaya dan sengaja dipolitikkan pakatan pembangkang menjelang pilihan raya umum, tidak lama lagi.

Katanya, setakat ini beliau belum menerima laporan mengenai penjualan tanah atau rumah di kawasan Gebeng oleh penduduk setempat kerana bimbangkan operasi syarikat pemprosesan nadir bumi dari Australia itu, didakwa menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan.

Sebaliknya, Adnan berkata semakin ramai yang menemuinya bagi mendapatkan sokongan, peluang pekerjaan dan kontrak di kilang Lynas.

Lynas memilih beroperasi di Malaysia kerana kos pengeluarannya lebih murah berbanding Australia sementara China telah memperketat eksport produk itu.

Lynas juga telah memperoleh lesen untuk membina kilang di kedua-dua Negara itu.

Read more »

PAS Pentingkan Putrajaya Dari Akhirat


APABILA Pas membuat keputusan menjalinkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam pakatan pembangkang ramai tertanya-tanya, apakah Pas membuat tindakan yang betul.

Ia memandangkan Pas yang ditubuhkan oleh sekumpulan ulama mempunyai misi bagi melaksanakan pemerintahan Islam dan memperjuangkan hukum hudud.

Tetapi sejak pilihan raya umum lalu, apabila Pas berjaya menawan Kedah dan mempertahankan kekuasaan di Kelantan serta membantu PKR dan DAP memerintah Pulau Pinang dan Selangor, kita jarang mendengar Pas bercakap soal hukum hudud.

Keadaan itu berlaku kerana atas hasrat menjaga hubungan dengan kedua-dua parti berkenaan, Pas dengan rela hati mengorbankan perjuangan negara Islam dan hukum hududnya.

Apa yang lebih banyak kita dengar sebelum ini ialah keterujaan Pas untuk bersama-sama PKR dan DAP menumbangkan Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan mereka menguasai Putrajaya.

Sebab itulah dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, Pas menghasilkan manifesto bertemakan ‘Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih - Menuju Negara Berkebajikan’. Ia sekali gus bermakna secara rasmi Pas sudah meninggalkan perjuangan negara Islam dan hukum hudud demi meraih sokongan politik.

Justeru bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat acuh tidak acuh dalam isu penentangan oleh DAP melalui Pengerusinya, Karpal Singh berhubung hukum hudud.

Sebaliknya, Abdul Hadi pada sidang akhbar selepas mesyuarat Lujnah Politik Pas lebih selesa mahu terus menjaga kepentingan politik Pas apabila menganggap penentangan Karpal adalah perkara biasa dan menuding jari mempersalahkan UMNO berikutan kemelut yang berlaku.

Biar pun Abdul Hadi dalam kenyataannya menegaskan bahawa hukum hudud akan dilaksanakan mengikut lunas-lunas demokrasi namun ia boleh dianggap satu jawapan ibarat lepas batuk di tangga sahaja.

Ternyata Pas tidak mahu isu hukum hudud menggugat hubungannya dengan dua parti kesayangan mereka iaitu PKR dan DAP.

Tidak kisahlah kalau Pas terus diperkotak-katikkan atau dilihat dibuli dalam pakatan pembangkang yang pasti Pas sanggup menempuh itu semua semata-mata tidak mahu dipinggirkan oleh kedua-dua parti itu dalam memburu kuasa.

Berdasarkan kepada kenyataan Abdul Hadi dan Pas yang ternyata tiada langsung menunjukkan keseriusan parti itu memperjuangkan hukum hudud maka tidak perlulah pemimpin dan penyokong tegar Pas di peringkat akar umbi bermuram durja kerana terbukti kini Pas bukan lagi memperjuangkan Islam.

Harapan untuk mereka melihat pemimpin atasan bermati-matian mempertahankan perjuangan Islam dan hukum hudud serta berani menyanggah penentangan DAP hanyalah satu mimpi indah yang tidak kesampaian.

Ternyata sekali lagi, hukum hudud hanyalah mainan politik Pas menjelang pilihan raya, kalau benar mereka serius memperjuangkan perkara berkenaan sudah pasti mereka akan senada dengan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Namun malangnya ketegasan Nasharudin mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan Pas serta membela maruah parti itu dianggap suara ‘pemimpin yang sudah ditolak oleh akar umbi’.

Demikianlah hebatnya Pas mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP sehinggakan mana-mana juga pemimpinnya yang dilihat tidak mahu menjaga hubungan berkenaan akan dipinggirkan.

Mungkin atas alasan itulah pimpinan Pas menyerahkan kepada Majlis Syura Ulama menentukan tindakan ke atas Nasharudin, ini sekali gus memberi gambaran bahawa Ahli Parlimen Bachok itu sememangnya bersalah pada kaca mata Pas kerana membuat kenyataan meminta parti itu mengkaji kedudukannya dalam pakatan pembangkang.

Nasharudin adalah pemimpin kedua dalam Pas yang mungkin akan disingkirkan selepas Datuk Dr.Hasan Ali dipecat daripada Pas kerana dilihat tidak senada dengan parti itu dalam memberi sokongan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Soal sama ada mereka mempertahankan maruah atau martabat Pas, Islam mahupun dasar parti bukanlah perhitungan utama sebaliknya semua pemimpin Pas perlu akur untuk terus ‘berpeluk’ dengan pemimpin PKR dan DAP, biar pun Pas diperkotak-katikkan serta menjadi ‘pak turut.

Semua itu tidak penting bagi kepimpinan Pas kerana apa lebih utama memburu kuasa politik, Pas mungkin sudah bosan hanya memerintah satu dua negeri, Pas ingin menjadi pemerintah pusat selepas 66 tahun berjuang dalam arena politik negara.

Justeru yang mana boleh dikorbankan hatta prinsip perjuangan sendiri pun maka ia harus dikorbankan asalkan Pas boleh berada ‘sekapal’ dengan PKR dan DAP menuju ke Putrajaya.

Sikap terbaru Pas ini yang tidak bersungguh-sungguh mempertahankan perjuangan Islam dan hukum hudud perlu menyedarkan penyokong mereka di peringkat akar umbi bahawa suara mereka tidak penting bagi pimpinan atasan.

Tambahan pula, Pas kini sudah kehilangan keyakinan diri sebagai sebuah parti yang hebat dan pemimpin mereka lebih takut dengan desakan pemimpin-pemimpin PKR dan DAP berbanding penyokong sendiri.

Atas sebab itulah Pas dilihat lebih rela menghukum pemimpin sendiri yang berjuang atas prinsip mempertahankan maruah parti daripada melukakan hati pemimpin PKR dan DAP.

Pas memahami biar pun perjuangan Islam dan menegakkan hukum hudud seharusnya menjadi keutamaan namun kegelojohan untuk menumbangkan BN dan UMNO telah menutupi hasrat berkenaan.

Apatah lagi Pas tahu kalau mereka ingin terus kekal dalam pakatan pembangkang, mereka perlu melupakan hukum hudud kerana parti itu tidak akan disokong oleh mana-mana pemimpin-pemimpin PKR atau DAP.

Ia jelas apabila Anwar sendiri konsisten menolak hukum hudud Pas atas alasan ia tidak ada dalam kesepakatan pembangkang melalui penghasilan Buku Jingga.

Semua orang tahu, dalam pakatan PKR dan DAP mempunyai hubungan yang jauh lebih akrab berbanding hubungan mereka dengan Pas. Malahan mereka tidak pernah berasa gentar dengan ancaman politik Pas sebab mereka tahu Pas hanya ‘pak turut’ dan tidak memiliki kekuatan bagi membangkang kehendak mereka.

Berdasarkan kepada keadaan itulah PKR dan DAP tidak perlu bersusah payah mewujudkan forum bagi menyelesaikan perbalahan antara Karpal dan Nasharudin.

Tidak payah DAP hendak meminta Penasihatnya, Lim Kit Siang atau Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng bersuara, cukuplah Karpal seorang berhadapan dengan pemimpin-pemimpin Pas.

Pemimpin-pemimpin PKR dan DAP memahami sikap konsisten Karpal dalam isu hukum hudud sudah cukup ampuh bagi berhadapan dengan mana-mana pemimpin Pas.

Kenyataan Abdul Hadi semalam bahawa Pas tidak perlu mentarbiyahkan Karpal mengenai hukum hudud sudah menampakkan dengan jelas ketidakberanian Pas mempertahankan perjuangan Islamnya.

Mereka tidak ada kekuatan untuk berhadapan dengan pakar undang-undang seperti Karpal sebab pelaksanaan hukum hudud yang dicanangkan oleh Pas bukannya mahu dilakukan secara bersungguh-sungguh tetapi sekadar mencari modal politik menjelang pilihan raya sahaja.

Kalau mereka yakin bahawa pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan adalah betul maka sudah pasti mereka akan mengajak pemimpin-pemimpin DAP terutamanya Karpal berdebat.

Tetapi biasalah pemimpin-pemimpin Pas hanya berani berkokok kuat di hadapan pemimpin-pemimpin UMNO sahaja, namun akan kecut perut apabila perlu berhadapan dengan pemimpin PKR atau DAP bagi mempertahankan prinsip mereka.

Demikianlah nasib Pas sebuah parti yang ditubuhkan 66 tahun lalu atas hasrat memperjuangkan Islam tetapi akhirnya lemas akibat memburu puncak kekuasaan, kesudahannya hukum hudud ditinggalkan, Putrajaya diutamakan.

Read more »

Pos Betau Bakal Mendapat R&R


KUALA LIPIS - Sebuah Hentian Rawat dan Rehat (R&R) akan dibina di Pos Betau, di sini, dalam usaha menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat persinggahan pelancong untuk ke Tanah Tinggi Cameron Highlands.

Yang Dipertua Majlis Daerah Lipis (MDL), Datuk Mohamad Noor Abdul Rani berkata, kos bagi projek pembinaan R&R itu menelan belanja RM1 juta dan telah diluluskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menurutnya, kontraktor yang melaksanakan kerja pembinaan hentian R&R itu ialah Syarikat Gading Emas Sejati Sdn Bhd.

“Tarikh mula kerja pembinaan projek ini adalah pada 20 Julai 2012 dan dijangka siap pada 7 Disember 2012.

“Bangunan R&R Betau ini berkeluasan 524.16 meter persegi dan terdapat pelbagai kemudahan yang dibina di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Projek Hentian R&R Betau, di sini, yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan dan Setiausaha MDL, Mohd Pauzi Abu Hussaini.

Mohamad Noor yang juga Pegawai Daerah Lipis berkata, antara kemudahan yang disediakan di hentian R&R itu ialah kedai runcit, kedai makan, tandas lelaki dan wanita serta untuk orang kurang upaya (OKU).

“Hentian berkenaan turut dilengkapi dengan ruang pejabat, stor, surau lelaki dan wanita yang diasingkan tempat berwuduk. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan empat unit kiosk dan 25 lot tempat letak kereta serta lapan lot untuk kenderaan berat seperti lori dan bas,” katanya.

Beliau berharap, penduduk berdekatan tidak melepaskan anjing peliharaan di sekitar R&R itu bagi memastikan keselamatan pelancong yang datang singgah di situ terjamin.

Read more »

Belanja Venue Sukma Tidak Membazir


KUANTAN - Perbelanjaan sebanyak RM280 juta bagi pembangunan venue pertandingan Sukan Malaysia di Pahang dianggap tidak membazir kerana boleh dimanfaatkan kepda orang ramai.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat berkata, kerajaan negeri bercadang mewujudkan satu kelab yang akan bertanggungjawab dalam hal itu.

Bagaimanapun, katanya, hal itu masih lagi di peringkat perbincangan dan kajian bagi membolehkan dilaksanakan dengan terancang.

“Jika semua berjalan lancar seperti yang dirancang, kita akan melaksanakannya awal tahun depan,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Parlimen Kuantan anjuran Umno Bahagian Kuantan di Padang Sungai Isap, dekat sini, semalam.

Wan Adnan berkata, mereka yang berdaftar melalui kelab itu dengan bayaran yuran yang dikenakan berpeluang menggunakan kesemua venue sepanjang tahun.

Katanya, ahli kelab itu bukan sahaja terbuka kepada penduduk tempatan malah mereka yang berada di luar negeri turut dapat menikmati kemudahan sama.

“Mereka bebas menggunakan semua kemudahan yang disediakan malah kita berharap orang ramai boleh memanfaatkannya beriadah bersama keluarga,” katanya.

Read more »

Sunday, August 26, 2012

Jamuan Hari Raya Aidilfitri DUN Lanchang Disambut Meriah


Dianggarkan lebih 5000 penduduk Lachang pelbagai kaum hadir menyerikan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri DUN Lanchang yang diadakan di Dataran Dato Bahaman Lanchang. Majlis yang bermula pada jam 2.00 petang telah mula didatangi tetamu sejak jam 1 tengahari lagi.



Majlis turut diserikan dengan kehadiran artis Rosyam Noor, Awie dan juga Angah Raja Lawak. Rata rata pengunjung yang ditemui menyatakan perasaan gembira dan berpuas hati dengan majlis yang diadakan.




Selain berpeluang menjamu selera, kanak kanak juga gembira apabila mendapat hadiah duit raya. Setelah selesai majlis, ADUN Lanchang, Datuk Mohd. Syarkar Shamsudin mengucapkan terima kasih kepada penduduk Lanchang yang hadir dan juga kepada petugas dan anggota RELA yang terlibat menjayakan majlis penuh bermakna ini.

Read more »

Saturday, August 25, 2012

Membina Bangsa Dengan Semangat Patriotisme


SETIAP kali menjelang Ogos, rakyat Malaysia diperingatkan supaya sentiasa memperbaharui semangat patriotisme iaitu semangat cintakan negara. Melalui semangat cintakan negara akan dapat membentuk ke arah pembina negara bangsa yang bersatu padu.

Matlamat dan wawasan membina Malaysia sebagai sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020 mestilah berasaskan kepada penyatuan dan perpaduan rakyat yang kukuh dan padu. Apabila transformasi ini berlaku kemerdekaan akan terus dapat didaulatkan.

Patriotisme seharusnya menjadi subjek dan tema penting yang mencorakkan hala tuju perubahan Malaysia selepas negara ini mencapai kemerdekaan hampir 55 tahun yang lalu.

Dalam masa sama Malaysia menghadapi pelbagai cabaran semasa yang kritikal seperti globalisasi, liberalisasi, neokolonialisme, feudalisme baru, anarkisme, keganasan, sekularisme, demokrasi, pembinaan negara bangsa dan sebagainya.

Justeru, patriotisme adalah keyakinan kita bahawa negara ini lebih hebat daripada negara lain, disebabkan kita lahir di negara ini. Selain itu, kita juga harus bertanya kepada diri kita apa sumbangan kita kepada negara yang kita cintai.

Setiap rakyat yang cintakan negaranya pasti berfikir dan merenung perjuangan yang telah kita lalui sepanjang 55 tahun lalu. Untuk mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 negara kita melalui pelbagai pahit getir dengan perjuangan para pejuang yang mencetuskan kemerdekaan negara.

Patriotisme adalah perjuangan yang menjiwai kepada kepentingan bangsa dan negara. Usaha mengekalkan semangat juang yang tinggi, mendaulatkan kedudukan, status serta pengaruh bangsa dan negara seharusnya dimulakan di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Mengibarkan Jalur Gemilang adalah simbol kepada rasa cinta kepada negara. Bendera adalah lambang negara yang seharusnya berkibar megah di perkarangan rumah, sekolah, pejabat dan juga di kenderaan. Melalui semangat ini rasa cintakan negara akan dapat dikekalkan dalam jiwa setiap rakyat. Mengibarkan Jalur Gemilang tidak terbatas kepada pegangan politik. Kemerdekaan adalah lambang kedaulatan sesebuah negara.

Patriotisme juga memerlukan komitmen pemimpin dan semua golongan rakyat dengan mempertahankan asas pembinaan dan kedaulatan negara. Mempertahankan negara daripada musuh dan ancaman luar merupakan tanggungjawab setiap rakyat.

Kesetiaan pada raja dan negara yang ditunjukkan oleh warganegara melalui sumbangan dan pengorbanan merupakan unsur patriotisme yang sangat penting. Unsur ini perlu disemai dan ditanam dalam jiwa generasi muda khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Patriotisme juga adalah perjuangan yang menjiwai kepada kepentingan bangsa dan negara. Setiap rakyat yang cintakan negara ini harus mengakui Malaysia adalah tanah tumpah darah dan tiada negara lain seaman dan semakmur Malaysia.

Nilai patriotisme yang patut diterapkan dalam hati dan jiwa generasi muda seperti kesetiaan, keberanian, rela berkorban, kesukarelaan, cintakan bangsa dan negara perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan rakyat yang patriotik dan bertanggungjawab pada bangsa dan negara.


Semangat patriotisme perlu dibangunkan melalui dasar pembangunan manusia iaitu membabitkan ekonomi, politik, sukan, pendidikan, hubungan diplomatik dan penglibatan Malaysia dalam konteks globalisasi. Usaha haruslah dilakukan dengan menonjolkan imej Malaysia sebagai bangsa dan negara yang berwibawa di arena antarabangsa. Pencapaian dalam sukan Olimpik dengan satu pingat perak dan gangsa di London baru-baru adalah suatu permulaan ke arah itu.

Sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-55 dan Hari Malaysia rasa cinta terhadap negara seharusnya dimantapkan lagi dalam hati setiap rakyat negara ini. Ini mencerminkan jiwa patriotik dan perasaan seseorang itu. Menghayati nikmat merdeka sama ada golongan tua dan muda mestilah dilakukan ke arah membangkitkan semangat cintakan negara. Tema pada tahun ini "Janji Ditepati" tak perlulah dipertikaikan lagi.

Pendidikan adalah bidang yang paling berkesan untuk menerapkan semangat cintakan tanah air. Sejak di bangku sekolah lagi seseorang murid dari Tahun Satu hingga Enam dan pelajar dari Tingkatan Satu hingga Lima diterapkan dengan lagu Negaraku, bacaan ikrar Rukun Negara dan mengibarkan Jalur Gemilang pada setiap kali menjelangnya Ogos bulan kemerdekaan negara.

Golongan muda seharusnya mengambil contoh dan teladan pejuang kemerdekaan dahulu selain Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman Putra yang gigih serta mempunyai semangat cintakan negara terdapat juga tokoh lain yang turut berjuang ke arah kemerdekaan.

Sebagai contoh, Pendeta Za'ba ialah pejuang kemerdekaan yang telah berjuang memimpin orang Melayu pada zamannya. Beliau menyatakan: " Saya telah diminta memimpin orang Melayu yang ketika itu tidak ada pemimpin, saya menerima permintaan itu. Dengan semangat, saya ingin menentang Malayan Union dan tidak ada orang memimpin orang Melayu, tanpa sebarang bantahan saya terus berikhtiar menegakkan politik Melayu."

Membina bangsa dengan semangat patriotisme mestilah bermula dari bangku sekolah. Melalui mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang jelas mendidik dan memberikan ilmu ke arah semangat cintakan negara.

Remaja adalah aset terpenting negara. Penerapan semangat patriotisme iaitu rasa cinta akan negara mestilah dilakukan untuk membina negara bangsa. Memupuk semangat cintakan negara tidak seharusnya bergantung pada wahana sejarah semata-mata. Ini boleh dilakukan melalui mata pelajaran lain melalui penerapan nilai murni dan semangat cintakan negara.

Pemupukan jati diri kepada pelajar mestilah bermula daripada rasa cinta dan sayangkan negara. Negara ini adalah tanah tumpah darah yang mesti dipertahankan kedaulatannya sepanjang masa. Cara memupuk semangat patriotisme kepada pelajar mestilah melalui kesedaran dan ilmu.

Menerapkan kesedaran patriotisme mestilah melalui pendidikan dan kesedaran terhadap tanah air. Patriotisme juga tidak dapat dipisahkan daripada jati diri negara iaitu sifat negara merdeka dan berdaulat itu benar-benar dikotakan. Patriotisme terhadap negara bersangkutan juga dengan identiti bangsa dan identiti ini sewajarnya subur melalui bahasa kebangsaan yang berfungsi penuh, termasuk sebagai pengantar pendidikan di sekolah.

Read more »

Perpaduan Didalam Perayaan


MALAYSIA merupakan sebuah negara yang unik dengan sendirinya. Jika hari ini ramai melakukan penghijrahan ke negara-negara maju, Malaysia sudah melalui proses itu jauh lebih lama ketika Melaka menjadi pusat pertemuan antara pedagang Cina, India dan lain-lain.

Malaysia hari ini turut mendapat perhatian pelbagai warga asing yang melimpah datang untuk mencari peluang meneruskan kehidupan termasuk dari Nepal, Myanmar, Bangladesh, Indonesia, Filipina dan benua Afrika tanpa mengira golongan professional dengan organisasinya beroperasi disini.

Sama ada baik atau buruk, hakikatnya Malaysia sudah menjadi pilihan destinasi warga asing; pilihan yang perlu dilalui dalam proses globalisasi dan pergerakan manusia sejagat. Kepelbagaian yang wujud di negara ini merupakan satu kelebihan yang masih menjadi satu tradisi kesinambungan dalam kalangan rakyatnya. Keyakinan terbina kerana adanya ruang untuk menerokai limpahan sumber terhad dan yang membuka ruang ini adalah kesepaduan kestabilan yang lahir dari perpaduan dalam kepelbagaian.

Kepelbagaian bukan sahaja dari kepercayaan, keturunan, agama, etnik dan warna kulit mahupun sebarang latar belakang tetapi kebudayaan yang bermacam-macam juga menjadikan Malaysia seringkali dicemburui dan diiktiraf sebagai yang kompleks, rencam dan majmuk.

Dalam kebanyakan negara, ia menjadi satu liabiliti dengan permusuhan yang berlarutan sehingga membawa konflik dan peperangan sedangkan di Malaysia kepelbagaian adalah kekuatan dan ia juga dimuatkan dengan usaha berterusan berinteraksi, integrasi memupuk semangat persahabatan dan ukhuwah; ia berlaku di istana, Seri Perdana, rumah pembesar negeri dan rumah sendiri.

Nilai kebudayaan ini termasuk menyambut perayaan yang pelbagai seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Gawai dan pelbagai lagi. Uniknya ia menjadi sambutan semua menandakan semaraknya nilai kemuafakatan, perpaduan dan keharmonian; simbol integrasi.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini banyak memuatkan mesej bertemakan 'perpaduan'. Malahan dalam khutbah raya di Masjid Negara, elemen ini turut diberikan keutamaan. Bukan sekadar perpaduan ummah, tetapi perpaduan yang menjadi teras untuk meraikan kepelbagaian negara ini, yakni perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang etnik negara ini.

Hari Raya Aidilfitri memberi gambaran bagaimana perpaduan dalam perayaan memberi impak kepada semangat hubungan antara etnik negara ini. Di setiap pelosok negara, setiap rumah terbuka dibanjiri dengan masyarakat pelbagai peribadi dan personaliti. Beratur panjang yang barangkali mengambil masa berjam lamanya bukan satu rungutan tetapi kesyukuran bertemu dengan pemimpin dan sahabat serta personaliti profil tinggi memberikan satu kepuasan.

Perayaan dapat terus disambut sebegini kerana adanya kestabilan dan asas sebenar kepada hubungan antara etnik adalah kestabilan dalam negara yang membolehkan masyarakat hidup muhibbah dan rukun walaupun berhadapan dengan beberapa cabaran terutama dalam konteks mempertahankan apa yang sudah kita miliki selama ini. Dalam ada negara yang bergelut mencari keamanan, Malaysia gah dan boleh mengamalkan konsep 'ziarah' dan 'kunjung' serta 'lawat'.

Keamanan datang dari kestabilan. Tanpa ada kepimpinan yang mempertahankan nilai keamanan, maka Malaysia juga akan mempunyai kecenderungan menjadi 'padang jarak, padang tekukur' akibat manipulasi nilai keamanan, perpaduan dan muhibbah yang adakalanya ramai terlepas pandang mengapa ia perlu terus dipertahankan dari sebarang anasir yang mahu melihat Malaysia sebagaimana negara lain yang berhadapan dengan konflik. Musibah ini mesti dielak atas prinsip kebergantungan antara satu sama lain; hubungan resiprokal yang disuburkan dengan nilai hormat, faham dan menerima di antara satu sama lain.

Tatkala beraya, ada juga segelintir tebal sifat 'keangkuhan' dalam sesetengah warga dan pemimpin yang masih mahu berperang di alam maya sekalipun sewaktu Syawal pertama bilamana di alam sebenar wujud gencatan sekurang-kurangnya sebagai isyarat ada waktu perbalahan terutama dengan nilai politik perlu dihentikan dan menampakkan perdamaian.

Perang di alam maya sewaktu perayaan sewajarnya dijadikan pengajaran kepada yang sudah lama berkecimpung dalam politik. Emosi warga adalah ke atas mood perayaan dan ia boleh mengganggu kepercayaan ke atas sesetengah dari mereka yang cuba mengambil kesempatan untuk meneruskan tradisi kebencian sesama ummah dan dalam kalangan masyarakat secara umum.

Perayaan adalah salah satu penampilan simbolik bagaimana kita boleh mengetepikan perbezaan sesama manusia untuk dijadikan landasan perpaduan. Kewajaran menjadikan perayaan sebagai alat integrasi boleh diperkukuhkan secara berterusan untuk memobilisasi sokongan agar perpaduan sebagai rakyat Malaysia yang bangga dengan amalan ini tidak menjadi propaganda politik oleh pemimpin yang tidak tahu hormati nilai-nilai perkongsian bersama.

Sambutan perayaan di Malaysia mewarnai kepelbagaian yang selama ini sememangnya menjadi asas hubungan antara etnik. Menyemai nilai ini secara berterusan dengan aktiviti dan program 'muafakat' yang membawa gambaran peri-pentingnya ia diteruskan walau zaman silih berganti terutama dalam kalangan generasi muda yang berkemungkinan tidak melihat kepentingan ia diteruskan dengan semakin terhakisnya sifat perkampungan dan pulang ke kampung. Walau hadir di persekitaran berbeza, amalan integrasi melalui perayaan mesti dipertahankan oleh keseluruhan rakyat Malaysia.

Perpaduan memerlukan nilai holistik dalam diri setiap warga yang sedar ia memberikan roh kepada negara-bangsa ini. Andainya perayaan ini boleh dikongsi bersama dan merasakan ada tanggungjawab untuk memainkan peranan dan memberikan makna kepadanya, perayaan sebagai kunci perpaduan tidak perlu dipersoalkan kerana ia juga berjiwa patriotisme dan nasionalis dengan sendirinya berpandukan prinsip dalam Rukunegara dan Perlembagaan yang mempertahankan nilai ini dalam dokumen kebal negara.

Read more »

Friday, August 24, 2012

PAS Malu Mengaku Salah


HUKUM berubah mengikut keadaan dan waktu semata-mata rentak politik yang berpusing 360 darjah malahan dakwaan Pas Kelantan bahawa asasnya adalah haram mengundi golongan yang menentang Islam tetapi dibenarkan dalam usaha menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum kelak merupakan politik malang yang dihadapi pemimpin dan pengikut parti umat Islam - Melayu dewasa ini.

Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Mohamad Daud menegaskan bahawa situasi dalam negara dengan dasar kerajaan Persekutuan yang bercanggah dengan tuntutan ajaran agama terutama UMNO dan BN menolak perjuangan Islam terutama hukum hudud, rasuah, salah guna kuasa selain banyak kemungkaran dan segala macam kepincangan pemerintahan mewajarkan menolak dengan apa-apa cara terutama melalui undi pilihan raya.

Bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat itu menambah bahawa pakatan pembangkang menjadi ejen dan badan pakatan kukuh untuk menjatuhkan kerajaan BN yang mempunyai banyak komponen yang menolak perjuangan Islam yang didokong oleh Pas.

Pas hanya badan politik yang kapasiti kecil dan memerlukan sokongan pakatan pembangkang. Oleh sebab DAP anggota dalam pakatan itu maka mengundi DAP cara mendapat undi bagi menjatuhkan kerajaan UMNO dan BN.

Pandangan beliau adalah rentetan fahaman pemimpin tertinggi Pas , iaitu Mursyidul Amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang meminta pengundi tidak gentar mengundi DAP kelak.

Meskipun Karpal Singh, iaitu tokoh tertinggi parti DAP menegaskan langkah mayatnya dan selagi hayat akan menentang rencana penubuhan dan pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.

Namun pengasas Pondok Genting Tumpat Abdullah Sa'amah menyeru umat Islam-Melayu agar tidak mengikut rentak politik malang semata-mata kemaruk dan mabuk kuasa menuju ke Putrajaya. Beliau menegaskan bahawa haram dan berdosa untuk masyarakat Islam menyokong DAP yang secara nyata dan terang lagi bersuluh menentang negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.

Tambahan parti-parti yang menjalin kerjasama dengan DAP juga berdosa kerana sokongan atas strategi politik dalam pakatan pembangkang hanya memberi laluan kepada mereka menguasai negara melalui undi dalam pilihan raya kelak.

Tuntutan DAP memaksa Pas menukar slogan negara kebajikan menjadi titik tolak ansur politik malang ketika perjuangan MCA dan MIC dalam BN berbeza dengan DAP sinonim kafir harbi, yakni membahayakan umat dan mengundang malapetaka kepada status umat Islam-Melayu.

Ini kerana UMNO tonggak pemerintahan disertai anggota komponen yang dapat menjalin kerjasama dan tidak bermusuhan dengan falsafah dan ajaran Islam sebaliknya menerima cara pemerintahan Islam yang sederhana dan maju.

Kerjasama dan sokongan kepada puak kafir harbi hanya akan memenangkan mereka yang wajib ditolak terutama ideologi dan falsafah parti mereka yang tidak menerima Perlembagaan negara, menuntut sama taraf antara agama serta persamaan kos dan status pusat ibadat.

Harapan Pas bergantung kepada pemimpin UMNO lompat parti menjadi dominan dalam pakatan pembangkang apabila menang dalam pilihan raya sebagai mimpi Mat Jenin yang jatuh dari pangkal berpaut lalu terkubur kerana paksi perjuangan Pas adalah Islam dan hudud.

Tetapi bukan itu agenda pakatan pembangkang malah DAP dan PKR tidak berminat langsung malah menentang habis-habisan dan tiada dalam Buku Jingga yang menjadi manifesto mereka.

Meskipun sukar Pas menang dan membentuk kerajaan secara persendirian tanpa gabungan parti lain dalam masyarakat majmuk di negara kita tetapi kebencian meluat-luat terhadap UMNO kononnya Pas dikhianati UMNO ketika dalam kerajaan campuran dulu dapat dipersoalkan kerana perangai kebanyakan para pemimpinnya yang suka mengkritik tajam dan membabi buta seperti UMNO kafir, jahiliyah, asabiyah, nasionalis dan segala macam sifat buruk dan tiada keikhlasan dalam kepemimpinan.

Mereka akur UMNO banyak membuat kerja kebajikan dalam pendidikan, ekonomi, pembangunan prasarana, undang-undang syariat, melahirkan modal insan dan teknokrat tetapi nafsu amarah menghalang cita-cita murni segelintir pemimpin untuk bermuzakarah mencari perdamaian sesama umat sebaliknya berkerjasama dengan parti DAP yang jelas menolak Islam bukan politik matang dalam konteks Melayu global.

Sebenarnya Pas takut dituduh menjilat ludah sendiri dalam soal perpaduan kerana kepentingan politik mereka sanggup diperkuda dalam pakatan pembangkang biarpun terpaksa menukar slogan negara kebajikan dan menendang keluar parti sesiapa yang ingkar arahan parti termasuk bekas Pesuruhjaya Pas Selangor , Datuk Dr. Hassan Ali yang dipecat secara mengaibkan dan di luar tatacara sebuah parti yang kononnya menjaga adab dan tertib kemasyarakatan.

Inilah realiti politik Pas yang amat malang bagi pengikut membabi buta sedangkan UMNO dalam konteks Barisan nasional adalah suatu entiti yang memerintah sejak 1957 tanpa mengabaikan nilai dan kemajuan umat Melayu Islam.

Ambilan panduan dari peristiwa malang negara Islam seperti Syria, Mesir, Iraq, Libya, Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Selatan Thailand dan Filipina, dan lain-lain yang mengalami krisis dalam pentadbiran negara, perebutan kuasa, perang saudara, kemiskinan, kebuluran, ditindas, dibunuh dan dirogol malah negara Arab juga terdapat anasir luar terserap melalui program dan acara ibadat seperti demonstrasi dan karikatur yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Oleh itu, umat Melayu-Islam perlu bersatu dan kembali mendalami ajaran Quran dan tafsiran dari hadis dan ulama silam yang tetap menjaga adab dan tertib kemasyarakatan demi memelihara kemuliaan agama dan kesejahteraan hidup.

Read more »

Cabaran Mengurus Pengajian Tinggi


Mengurus pengajian tinggi pada abad kedua puluh satu memerlukan kesepaduan tindakan dalam kalangan pengurus dan pentadbir akademik, para akademia dan siswa-siswi sebagai satu komponen utama yang ada di universiti, di samping mengiktiraf bakat di universiti sebagai tonggak kritikal institusi. Universiti perlu terus hidup dalam dunia ilmu yang berkembang tanpa melupakan acuan tersendiri sebuah negara bangsa dan memastikan kampus universiti terus bersemarak dengan aktiviti keilmuan dan wacana-wacana yang berupaya memajukan pemikiran dan perdebatan ilmu.

Kepelbagaian dalam pemikiran dan disiplin ilmu sejak dahulu, menjadikan universiti begitu rencam, bukan hanya kerana manusia dan bakat yang ada adalah pelbagai, tetapi juga pemegang-pemegang taruh yang memberikan harapan besar dalam membentuk masa depan negara dan sumber manusianya, memperkasakan siswa-siswi dengan ilmu dan sahsiah diri serta pada masa yang sama menjadikan universiti sebagai institusi ilmu yang berupaya melakukan perubahan terhadap masa hadapan negara dan bangsa sebagai sebahagian daripada komuniti dunia.

Selain daripada itu, universiti perlu seimbangkan antara idealisme ilmu yang sering menjadi pegangan para akademia serta penting kepada pemajuan kritikal minda dengan realiti kehidupan masyarakat, bersikap realistik dan mampu memindahkan ilmu kepada masyarakat yang memerlukan pemboleh ubah perubahan.

Malah terminologi libatsama masyarakat atau community engagement menjadi satu perkara utama pada masa ini bagi memastikan universiti sentiasa relevan dengan kehendak dan keperluan negara. Bukan sahaja masyarakat, malah industri yang menjadi pemain besar dalam ekonomi negara dan dunia perlu dilibat sama sebagai sebahagian daripada proses keilmuan universiti.

Di samping modaliti libat sama masyarakat dianggap penting untuk pemindahan ilmu kepada masyarakat, penerokaan modaliti baru untuk perpindahan juga perlu di terokai. Contohnya memindahkan kepada masyarakat melalui industri atau institusi dalam komuniti seperti koperasi dan pertubuhan sukarela lain yang bergerak sama untuk perubahan masyarakat.

Selain melihat kepada kaedah dan metodologi perpindahan ilmu, isu asal tujuan universiti pula timbul. Timbul persoalan dan keraguan, adakah universiti makin lari daripada prinsip asas keilmuannya dalam proses penjanaan dan pemerkasaan ilmu sesuai dengan universaliti atau kesejagatan yang perlu dipertahankannya, usaha mentransformasikan kehidupan masyarakat melalui ilmu dan sebagainya sedangkan pada masa yang sama perlu pula melihat sisi lain ilmu untuk aplikasi secara langsung, apatah lagi berdikari dalam mencari dana untuk menampung kos yang makin meningkat naik.

Hakikatnya ialah universiti bukan lagi menara gading yang terpisah dan terasing yang begitu sukar untuk didekati, sebaliknya perlu diubah menjadi menara ilmu yang mencambah mekarkan proses mencari kebenaran dalam pelbagai disiplin ilmu dan mengembang serta memajukannya dalam konteks keilmuan.

Universiti dan pengajian tinggi perlu dipertahankan prinsip asas peranannya dalam mempertahankan kekuatan ilmunya, namun pada masa yang sama komuniti pengajian tinggi perlu sedar dan memahami bahawa kedua-dua proses keilmuan dalam konteks pembangunan ilmu dan libat sama masyarakat mahu pun industri perlu berjalan seiring kerana sifatnya bukanlah statik tetapi dinamik seiring dengan perubahan masa. Asasnya ilmu perlu dipindahkan kepada masyarakat walau apa pun modalitinya.

Di sini jugalah timbul cabaran untuk pengurus dan pentadbir universiti agar lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tanggungjawabnya dan berdaya saing dalam konteks global. Malah bagaimana universiti dan pengajian tinggi perlu meneruskan tradisi memimpin bukan sekadar dipimpin dan memastikannya terus relevan dalam menangani dan menghadapi arus perubahan global.

Universiti-universiti kita juga bergerak bersama sebagai satu pasukan yang berwibawa dan dihormati, berintegriti tinggi dan disegani, bersedia dengan idea dan pemikiran baru yang segar malah juga meneroka penemuan-penemuan baru bagi menghadapi kecanggihan teknologi yang ada secara bersama atas nama negara, walau pun boleh bersaing dalam konteks tempatan dalam hal-hal yang tertentu. Ini bermakna kita bergerak sama ke puncak, saling membantu dalam pelbagai bidang kekuatan dan kepakaran atas nama satu negara.

Sama seperti satu pasukan yang melakukan kayuhan ke puncak, ia perlu persediaan rapi. Orang yang mengayuh perlukan persediaan minda, fizikal dan mental, manakala basikal yang dikayuh harus dalam keadaan yang sempurna dengan mereka yang mempunyai kepakaran bersedia membantu jika ada masalah ketika kayuhan dan dalam perjalanan.

Pasukan sokongan sangat penting untuk pastikan tidak ada yang tertinggal atau ditinggalkan. Malah, apabila berada di puncak pula, perlu bersyukur dan jangan cuba menjadi wira tunggal dan berlagak hebat kerana dalam masa sedetik, kita boleh terhumban seorang.

Sama ada pengajian tinggi dalam konteks sebuah universiti mahu pun sebuah negara pengalaman berkayuh ke puncak dalam satu pasukan ini penting untuk dihayati. Pengajian tinggi negara dan universiti kita tidak boleh lagi bergerak berseorangan secara solo tetapi berkongsi kepakaran antara disiplin yang ada untuk saling mengukuhkan antara satu sama lain.

Kepimpinan universiti perlu bersatu hati dalam menentukan arah tujunya pada masa hadapan. Pertanyaan seorang profesor dalam satu bengkel yang diadakan baru-baru ini, adakah kita syok sendiri dengan ilmu kita atau benar-benar memenuhi keperluan masyarakat, pemegang taruh dan juga siswa-siswi yang ada, adalah pernyataan jujur dalam memastikan universiti dan pengajian tinggi negara berada pada landasan yang sewajarnya.

Ini bukan bemakna kita menidakkan sumbangan besar universiti selama ini, namun kita perlu menilai dan menetapkan arah sebenarnya pada masa hadapan. Universiti dan pengajian tinggi tidak terkecuali dari akauntabiliti, sama seperti kedudukannya apabila autonomi yang menjadi kata magis pengajian tinggi diberi kepada universiti oleh kerajaan. Autonomi adalah satu keperluan dan kemestian dalam mempertahanan kebebasan akademia yang menjadi perjuangan pelbagai pihak apabila menyentuh tentang kredibiliti universiti.

Namun kita perlu sedar, kebergantungan kepada dana awam menyebabkan agak sukar autonomi sebenar dinikmati sepenuhnya walau pun kebebasan membuat keputusan terhadap beberapa perkara asas sudah banyak diberi. Begitu juga dengan ekosistem lain dalam penyelidikan dan inovasi mahu pun akademik yang telah sedia ada untuk dilakukan penambahbaikan dan keberhasilan yang dapat memperkasakan proses keilmuan dan penyampaian.

Perkara utama sekarang ialah bagaimana untuk pengurus dan pentadbir universiti dan pengajian tinggi dapat menggunakan segala sumber yang ada dengan kreatif dan inovatif untuk terus melakukan perubahan, menjadi pemimpin ilmu dan pemimpin perubahan, berdaya saing, berupaya mempertahan dan menjadikan universiti benar-benar menara ilmu, berintegriti tinggi, siswa-siswi yang passionate kepada ilmu dan pada masa yang sama mengeluarkan siswazah yang mampu berfikir dan melakukan perubahan dengan menggunakan ilmunya sekaligus mendorong libat sama semua pihak termasuk industri dan masyarakat bagi menggalas hasrat yang sama.

Pengajian tinggi juga memerlukan perubahan terhadap sistem dan proses pengajaran dan pembelajaran, arah tuju penyelidikan dan inovasi serta bagaimana universiti meletak kedudukannya agar terus relevan dalam agenda pembangunan nasional, masyarakat, industri dan penerokaan di peringkat dunia dan antarabangsa.

Juga bagaimana untuk kita melihat sumber sedia ada yang boleh digemblengkan seramai mungkin di dalam insitusi dan di luar institusi serta dalam kalangan pemegang taruh. Sinergi kesemua elemen yang ada amat penting dalam menghadapi cabaran yang ada pada masa hadapan.

PROF DATUK DR. OMAR OSMAN

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Read more »

TEMA PEMBANGKANG ' JANJI UNTUK MENIPU RAKYAT'



SLOGAN di atas adalah tema yang dikemukakan oleh pakatan pembangkang untuk menolak tema kerajaan "Janji Ditepati". Bunyinya yang puitis terkandung maksud yang boleh dipersoal.

Apa maksud 'Sebangsa' di situ. Kalau ia bermaksud gabungan bangsa-bangsa yang ada di Malaysia apakah ikatan atas nama bangsa boleh disetujui oleh Pas. Nik Abdul Aziz Nik Mat umpamanya sering mengkritik perjuangan ke arah memartabatkan bangsa adalah asabiyyah kaumiyyah.

Pas tentunya lebih cenderung kepada konsep umat bukannya bangsa. Menyetujui tema itu tidak menjadikan Pas dominan dalam menentukan tema. DAP dan PKR lebih dominan menentukan hala tuju pakatan. Pendirian Pas mengenai isu bangsa ini tidak dihormati oleh warga pakatan yang lain.

'Senegara' juga menimbulkan persoalan. Negara apa yang sebenarnya hendak ditegakkan oleh pakatan. Negara Islam tentu sekali tidak. Pas berpendirian akan tetap teguh dengan tema negara Islam dan hukuman hududnya.

Sekali lagi Pas terpinggir. Takkan Mustafa Ali, Setiausaha Agung Pas tidak faham apa yang tersirat di sebalik tema itu. DAP pasti mahukan Malaysia sebagai sebuah negara sekular dan sosialis demokratik. PKR tentu mahukan Malaysia menjadi sebuah negara liberal dan pluralis. Elemen Islam di mana?

Di mana salahnya konsep negara Islam yang mendukung faham universal dan ketamadunan. Pendirian Karpal Singh lebih banyak bersifat persepsi dan salah faham terhadap maksud negara Islam sebenarnya. Semakin ramai orang Barat masa kini sudah mula menerima Islam sebagai suatu agama dan cara hidup. Inilah faktor Islamophobia Barat dan Karpal Singh sama juga.

Yang peliknya, Anwar Ibrahim ada di situ. Sebagai bekas pemimpin Angkatan Belia Malaysia (ABIM) takkan tema kemerdekaan nampaknya macam sekular dan liberal. Kalau ia datang dari Pak Samad Said boleh dimengerti. Pak Samad bukan datang dan dewasa daripada kelompok gerakan Islam seperti yang dialami oleh Anwar.

'Sejiwa' memberi makna memiliki roh yang sama dalam perjuangan. Pas memperjuangkan roh Islami seperti yang terkanun dalam perlembagaannya. Mampukah DAP dan PKR menjiwai apa yang ingin diperjuangkan oleh Pas?

Kerajaan pakatan yang sedia ada umpamanya di Selangor adalah gabungan PKR, DAP dan juga Pas. Apakah wujud rasa kesejiwaan antara perjuangan Pas dengan dasar-dasar yang dijalankan oleh PKR dan yang didukung oleh DAP. Rumah urut dan pusat pelacuran berkembang ibarat cendawan tumbuh. Pak Samad Said sebagai penyair tentu tahu hakikat ini.

Manifesto Pakatan Rakyat di Selangor masih banyak yang belum ditepati lagi. Pembangkang memang suka berjanji sebelum dapat kuasa. Hal di Pulau Pinang pun sama. Rumah Rakyat tidak dibina tetapi yang diluluskan adalah rumah untuk orang kaya dan rumah di lereng bukit.

Di Kelantan juga serupa. Isu bekalan air bersih tidak selesai sehingga kini. Kalau pun Kelantan dikuasai oleh Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini isu air bersih tidak akan dapat diselesaikan juga. Apakah tugas pembangkang hanya berjanji saja tetapi "Janji tidak ditepati".

Sebab itu tema Hari Kebangsaan bagi kerajaan dipilih iaitu "Janji Ditepati". Tema ini dari segi moral adalah baik dan bersesuaian. Bagi penulis tema ini Islamik. Salah satu amanah bagi orang yang beriman ialah menepati janji. Orang yang berjanji tetapi tidak menepati janjinya selalunya termasuk di kalangan orang yang munafik.

Orang Pas tentu tahu hal ini. Pentingnya "Janji Ditepati" adalah kerana pada masa lalu terlalu banyak pembohongan yang dilakukan oleh parti politik untuk memenangi hati rakyat supaya menyokong mereka. Apabila menang mereka lupa kepada janji atau melanggar janji.

Tradisi ini adalah tidak baik bagi orang yang ada jiwa agama dan bertamadun. Bila penegasan tema "Janji Ditepati" bagi sambutan Hari Kemerdekaan Ke -55 ini ia membawa gambaran bahawa menjelang pilihan raya akan datang jangan terlalu banyak janji dibuat untuk memikat pengundi walaupun parti yang berkaitan menjadikan Islam sebagai dukungannya.

Belum pilihan raya terjadi Anwar sudah berjanji PTPTN akan dihapuskan dan pendidikan percuma akan diberi. Kalau isu hutang UNISEL dan KUIS di Selangor di mana Anwar menjadi Penasihat Ekonomi tidak boleh diatasi, janji Anwar itu tentu menjadi bahan ketawa. Anwar juga berjanji harga minyak akan diturunkan, harga barang akan diturunkan dan banyak lagi janji yang diberi.

Membuat janji memang mudah. Melaksanakan janji akan timbul dalih. Inilah kerja pembangkang sekian lama. Oleh itu, tema "Menepati Janji" amat ditakuti oleh pakatan kerana bimbang ia mengenai batang hidung pakatan sendiri. Pakatan memilih tema lain ibarat 'tidur sebantal'.

Read more »

share2