Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 29, 2012

Pengurusan Sampah Tidak Teratur


BAU busuk sering kali menusuk deria bau ketika melalui kawasan perumahan yang padat dengan penghuni, tetapi tidak mempunyai sistem pengurusan yang baik.

Itu belum dikira saat melalui medan selera yang tidak diselenggara dengan teratur. Bila dicari di sekeliling punca bau kurang menyenangkan itu, timbunan sampah domestik kebiasaannya berada tidak jauh dari situ.

Selain timbunan sampah, ia juga berpunca daripada longkang yang tersumbat akibat sampah yang dibuang ke dalamnya.

Masalah di taman perumahan itu sebenarnya membayangkan masalah yang lebih besar di seluruh negara berhubung pengurusan sisa buangan domestik. Sampah terhasil apabila isi rumah membuang apa yang mereka tidak perlukan.

Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana dalam sehari sekitar 30,000 tan sampah dibuang oleh isi rumah di negara ini. Malah, kajian mendapati 45 peratus sampah yang dibuang orang Malaysia terdiri daripada sisa makanan. Apabila orang ramai gagal menguruskan sampah mereka dengan betul dan apabila sistem kutipan sampah pula tidak sempurna akhirnya sampah mula bertimbun di tempat sendiri.

Memburukkan keadaan sampah sarap yang dibuang penghuni rumah kediaman dan perniagaan di Malaysia tidak semuanya diasingkan dari segi jenis, mahupun keadaan fizikalnya.

“Semasa saya bermastautin di Cape Town di Afrika Selatan selama beberapa tahun, sistem kutipan sampahnya berbeza daripada di Malaysia. Setiap penghuni kediaman mempunyai tong sampah beroda atau troli yang akan ditolak ke kawasan kutipan setiap seminggu sekali untuk dikutip.

“Sampahnya akan dibuang ke dalam beg sampah secara teliti, tidak ada yang tumpah dan baunya turut tidak menyesakkan udara sehinggakan mengganggu jiran tetangga,” jelas Aminah Hitam yang kini bermastautin di negeri Selangor.

Sistem pengurusan sampah

Sistem di Cape Town dikatakan sangat teratur dan baik untuk penghuni setempat.

“Penghuni sekitar pun sangat peka dan berdisiplin. Sampah dikutip pada hari yang sama setiap minggu dan ia tetap dikutip walaupun pada hari cuti umum. Troli sampah itu ditolak sendiri oleh penghuni dan mereka perlu mengambilnya semula pada sebelah petang hari yang sama setelah ia dikosongkan.

“Untuk mereka yang tinggal di pangsapuri, mereka tidak memerlukan troli sampah sendiri, tetapi perlu membuang sampah mereka di tempat yang telah ditentukan pihak pengurusan,” jelas Aminah lagi.

Sikap sambil lewa

Dengan sistem kutipan sampah yang semakin dipertingkatkan hari ini, kita juga tidak seharusnya menuding jari kepada pihak berkuasa sahaja. Hal ini kerana masih ramai penghuni yang bersikap tidak acuh dengan sampah yang mereka buang.


Sebagai contoh sesetengah penghuni di kawasan perumahan di negara ini masih belum mempunyai tong sampah. Senario sebegini masih dapat diperhatikan di sesetengah kawasan. Mereka hanya mengikat sampah dalam beg plastik dan meletakkannya di luar kawasan rumah mereka.

Keesokan harinya, beg plastik itu sudah terburai dan kandungannya bertaburan di jalan raya kerana dikerjakan haiwan seperti anjing dan kucing. Dan inilah yang mendatangkan bau busuk dan rasa tidak selesa serta kemarahan penghuni lain.

“Ada juga beg berisi sampah domestik ini dibawa oleh anjing-anjing liar ke merata tempat sekitar taman perumahan pada waktu malam,” luah S. Chandravathani yang tinggal di Kajang dan pernah melihat sampahnya dilarikan haiwan jalanan.

Apabila sampah bertaburan di tengah jalan akibat perbuatan haiwan ini, ia mendatangkan masalah kepada pengguna dan penghuni kawasan perumahan.

Buang sampah depan rumah

Dalam pada itu, penulis telah membuat tinjauan di beberapa buah kedai dan mendapati jenis-jenis tong sampah untuk kegunaan di luar rumah dijual pada harga dari RM16 sehingga RM84.

Ia bergantung kepada saiz bahan buatannya sama ada daripada plastik, getah atau sebatian yang tidak mudah pecah. Tong sampah plastik dan bertutup yang memuatkan sampah 38 liter boleh didapati pada harga RM24.90, manakala yang lebih baik dan besar saiznya pula sekitar RM60.

“Tong sampah beroda yang besar untuk sampah sehingga 120 liter harganya hampir RM380 setiap satu. Ini yang lebih praktikal digunakan,” jelas seorang penjual sebuah kedai perkakasan di Taipan Business Center, USJ10.


Tinjauan rambang merentasi lebih 120 buah rumah di kawasan sekitar USJ9, USJ11, USJ6 dan USJ2 pula menunjukkan hampir 25 peratus daripada rumah di situ tidak mempunyai ruang tetap untuk membuang sampah.

Hampir 30 buah rumah meletakkan beg plastik sampah di luar rumah, di atas lantai saja atau di ruang yang mudah dicerobohi haiwan liar jalanan.

“Saya geram betul melihat timbunan sampah yang ditinggalkan di kawasan lapang di tepi pagar saya oleh jiran yang tidak tahu siapa,” cerita Siti Hawa Ismail, seorang penghuni rumah tepi di kawasan SS19, Subang Jaya, Selangor.

“Persoalannya mengapakah ada penghuni kawasan perumahan yang mengambil jalan mudah dengan membuang sampah di tepi rumah orang lain?

“Kalau tidak mahu kotorkan rumah sendiri, jangan pula letakkan sampah di rumah orang lain.

“Lupuskanlah sampah sebaik yang mungkin supaya ia tidak menyakitkan mata dan mengganggu emosi orang lain,” ujar Siti Hawa lagi.

Read more »

Pilih pemulihan, bukannya reformasi


Akhbar Australia, The Age (9 September) menyiarkan apa yang Datuk Seri Anwar Ibrahim katakan padanya:

Anwar berkata, hubungan beliau dengan Dr. Mahathir semakin buruk sejak berlaku perkara buruk di Indonesia.

"Selepas Suharto tumbang. Saya rasa dia amat takut selepas kejadian itu. Secara objektif, saya menyatakan, situasi rasuah di Indonesia adalah lebih buruk berbanding di Malaysia, tetapi kita mempunyai penyakit yang sama.'' Maka jelaslah Anwar percaya kepada apa yang berlaku di Indonesia akan berlaku juga di Malaysia. Ia juga menggambarkan akan mengambil langkah yang sama.

Kepercayaan bahawa masalah di Indonesia adalah serupa dengan masalah di Malaysia adalah suatu penyakit intelektual yang sering merundung sesetengah pejuang politik Melayu sejak sebelum zaman kemerdekaan lagi. Inilah juga penyakit yang ditanggung oleh nasionalis kiri Melayu dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) seperti Dr. Burhanuddin Al-Hilmi, Pak Sako dan Ahmad Boestamam.

Mereka menyangka Tanah Melayu perlu mengikut jejak Indonesia. Dengan kekaguman terhadap Sukarno mereka mahu melancarkan revolusi kemerdekaan di Tanah Melayu dan melaksanakan program politik (republikan anti-Barat) dan ekonomi (sosialis) cara Sukarno. Malah mereka mahu menggabungkan Tanah Melayu ke dalam Indonesia.

Perjuangan kiri tidak diterima dan tidak sesuai dengan orang-orang Melayu. Lebih membahayakan apabila ia terdedah dengan penaklukan oleh China komunis ke atas rantau ini.

UMNO dan Datuk Onn adalah pihak yang berjaya menyelamatkan Tanah Melayu daripada terjerumus ke dalam kesengsaraan. Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak faham bahawa Tanah Melayu berbeza daripada Indonesia. Orang-orang Melayu tidak seperti Indonesia. Kita mahu mengekalkan sistem beraja dan sistem ekonomi pasaran bebas. Ternyata cara ini telah mendatangkan kemakmuran kepada Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia.

Anwar dan ABIM terpukau dengan cara Indonesia
Kini dalam zaman yang lain, ada golongan Melayu yang masih terpukau dengan cara-cara di Indonesia. Mereka seolah-olah menyamakan masalah Indonesia dengan masalah di Malaysia. Mereka tidak nampak perbezaan ketara antara kedua-dua negara ini.

Kalau dulu, intelektual kiri Melayu terpengaruh dengan Revolusi Indonesia dan retorik Sukarno, kini Anwar, ABIM dan konco-konconya terpengaruh dengan perjuangan Reformasi Indonesia dan kagum dengan kejayaan tokoh Reformasi, Amien Rais. Akan tetapi yang pasti, Amien tidak menghadapi masalah peribadi.

Memang diketahui tokoh-tokoh ABIM seperti Siddiq Fadil dan Sidek Baba mempunyai kecenderungan terhadap cara Indonesia. Malah mereka berucap menggunakan bahasa seperti Indonesia.

Reformasi mungkin sesuai di Indonesia, tetapi tidak di negara ini. Reformasi di sana mempunyai idealisme tersendiri bagi menyelesaikan masalah masyarakat di sana. Mungkin Amien Rais sesuai dengan Indonesia. Tetapi caranya, dengan menggunakan mahasiswa tidak sesuai di Malaysia. Malaysia tidak mempunyai masalah penglibatan tentera dalam politik. Korupsi, kolusi dan nepotisme yang menjerat rejim Suharto tidak ada di Malaysia. Malaysia ada Dasar Ekonomi Baru yang begitu dikagumi hingga ada saranan di kalangan intelektual Indonesia dan penganalisis Barat supaya Indonesia menirunya.

Akan tetapi masalah Indonesia tetap berbeza. Amien Rais adalah tokoh yang baik dan mungkin beliau sesuai untuk memimpin Indonesia pada satu hari kelak. Akan tetapi Anwar tidak sama dengan Amien. Amien, ketua Muhammadiyah dan kini menjadi ketua Partai Amanat Nasional (PAN) muncul dari perjuangan mahasiswa dan rakyat yang menuntut reformasi di Indonesia.

Akan tetapi Abim bukan Muhammadiyah. Anwar walaupun pada tahun-tahun 70-an telah muncul dari gerakan mahasiswa tetapi telah dinaikkan dan diserapkan ke dalam kerajaan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Anwar, selama 16 tahun adalah sebahagian daripada kerajaan Malaysia.

ABIM pula, walaupun ada idealisme Islamnya sendiri tetapi telah menyokong UMNO dan kerajaan, kerana adanya Anwar selama 16 tahun juga. Anwar dan ABIM tidak layak melancarkan reformasi.

Malah sekiranya mereka teruskan juga, mereka akan mencemarkan idealisme reformasi itu sendiri. Bagi Malaysia, sehingga ini, cara yang sesuai untuk menyelesaikan masalah ialah rancangan pemulihan yang telah digariskan oleh Perdana Menteri.

Malaysia berpeluang untuk berjaya
Sokongan terhadap cara Perdana Menteri menangani kegawatan ekonomi kian bertambah dari kalangan pemerhati antarabangsa. International Herald Tribune (9 September) menyiarkan rencana oleh Marshall Auerback, jururunding strategik global Veneroso Associates.

Katanya: "Dunia tidak begitu menghiraukan Mahathir bin Mohamad pada Disember lalu ketika beliau mengadakan sidang kemuncak pemimpin-pemimpin Asia di Kuala Lumpur. Kebanyakan penganalisis Barat menggambarkan Mahathir sebagai xenofob (antiasing) dan menganggap kata-kata anti-Baratnya sebagai hanya penyedap sidang.

"Mungkin itu adalah antara sebabnya, tetapi perhatian yang lebih seharusnya diberikan kepada sidang kemuncak Kuala Lumpur itu. Orang-orang Asia Tenggara sejak itu hanya mengangguk setuju pada pihak Barat tetapi tidak ada niat serius untuk melaksanakan penyelesaian IMF yang boleh memusnahkan masyarakat.

"Beberapa bank akan tutup dan beberapa badan korporat akan bergabung; pekerjaan akan hilang dan pinjaman akan diatur semula dan dijual. Akan tetapi dari Tokyo ke Jakarta, niat yang jelas adalah untuk menggalakkan suasana supaya rantau itu keluar dari kemelesetan tetapi mengelak perubahan struktur yang dianggap oleh IMF sebagai perlu."

"Saya adalah pendukung Keynes yang ketinggalan zaman,'' kata Kiichi Miyazawa pada hari dia dilantik sebagai Menteri Kewangan Jepun pada Julai lalu. Beliau kemudian menegaskan bahawa dia menyokong "pemulihan ekonomi, dan bukan reformasi.''

"Ini adalah lebih daripada pernyataan dasar; ia lebih mencerminkan strategi di samping taktik. Isunya bukan saja hasil ekonomi bagi suku tahun berikutnya tetapi pemeliharaan satu model ekonomi yang telah memajukan rantau ini pada kadar dan pada tempoh yang tidak ada bandingannya dalam sejarah.

"Dalam konteks inilah yang perlu diperhatikan betapa Malaysia mengenakan kawalan modal. Wall Street dan Jabatan Negara Amerika Syarikat dilaporkan terkejut bahawa Mahathir mengambil langkah demikian. Mereka memang patut terkejut. Kini kita mempunyai satu kes kajian terhadap model yang berbeza daripada model ekonomi Inggeris-Amerika. Model Inggeris-Amerika meletakkan ciri-ciri utamanya sebagai pengaliran modal yang tidak terganggu.

"Dasar baru Malaysia ini telah mendorong bantahan yang tidak bersebab dari pusat-pusat kewangan Barat. Kawalan mata wang dikatakan akan menghapuskan keyakinan yang penting dan modal Barat yang berada di Malaysia akan lari.

"Apakah yang berlaku terhadap sejarah? Dengan beberapa pengecualian kecil, kawalan modal telah dilakukan di rantau ini semasa Perang Dingin - era keajaiban ekonomi Asia - tidak pernah menghalang pelaburan. China, Korea Selatan dan Taiwan masih mengekalkan kawalan. Mengenai larinya modal, angka-angka dalam pasaran Kuala Lumpur menunjukkan bahawa syarikat-syarikat yang seharusnya setia dan memiliki pelaburan jangka panjang telah lama meninggalkan negara ini.

"Difahami betul-betul, kawalan modal bertujuan untuk mengehadkan aliran masuk, dan bukannya aliran keluar. Mahathir telah membuat kesimpulan bahawa modal jangka pendek yang banyak daripada luar adalah suatu yang merosakkan pada sistemnya yang berasaskan pada kadar simpanan tinggi dan pinjaman korporat yang tinggi.

"Dikecam di Barat, tindakan Malaysia tidak dibantah di Asia Timur. Jika Malaysia berjaya mencetuskan pertumbuhan, sememangnya peluang untuk berjaya ada, ia menjadi satu petanda bagi kapitalisme Inggeris-Amerika menjadi hanya salah satu model di kalangan yang lain. Kita akhirnya akan mendapati dunia terbahagi kepada beberapa blok ekonomi sebagai hasil berpanjangan globalisasi,'' kata Auerbeck.

Malaysia munculkan model baru ekonomi
Maksud Auerbeck dalam tulisannya itu ialah jika Mahathir berjaya mengatasi kegawatan ekonomi Malaysia dengan cara kawalan modal itu, ia akan memunculkan satu model ekonomi kapitalis ala Malaysia, berbeza daripada model Inggeris-Amerika.

Jika kemudian negara-negara lain, khususnya di Asia mengambil contoh, maka ia menjadi model Asia Timur yang harus diterima oleh Barat sebagai sesuatu yang boleh berfungsi.

Auerbeck juga menulis:

"Ramai di Barat yang memandang Asia dan rantau-rantau lain hanya sebagai pasaran yang bertindak menurut logik pasaran dan bukan sebagai suatu masyarakat yang kompleks. Pemimpin-pemimpin Asia dalam kedudukan yang sesuai untuk memperbaiki keadaan ini. Mereka mungkin tidak dapat menjadi pelaksana demokrasi yang berprinsip, tetapi kejayaan ekonomi mereka berkait rapat dengan kekuatan masyarakat nasional yang dicabar oleh globalisasi.

""Memang difahami di seluruh Pasifik bahawa globalisasi yang menyebabkan krisis Asia dan tidak secara logiknya sebagai penawar. Ada kalangan di Barat yang yakin bahawa globalisasi adalah suatu yang tidak dapat dielakkan. Sebenarnya tidak. Dunia tidak bersedia untuk menjadi satu.''

Pengganti Perdana Menteri bukan menjadi masalah
International Herald Tribune menyiarkan berita bertajuk "Malaysia bimbang terhadap penggantian Mahathir'' (7 September).

Media asing memang menjadikan isu ketiadaan pengganti Perdana Menteri sebagai suatu masalah dan akan menghalang keyakinan pelaburan.

Sedangkan perkara itu bukan suatu masalah besar. Perdana Menteri sendiri berkata, kalau apa-apa yang berlaku pada dirinya, UMNO akan bertindak dengan cepat untuk memilih antara dua Naib Presiden yang ada iaitu Datuk Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Abdul Razak. Prosedur sudah ada, dan itu tidak menjadi isu.

Akan tetapi media asing memang cuba memperbesarkan suatu masalah yang bukan masalah utama. Dahulu, ketika Suharto memerintah Indonesia, isu itu juga ditimbulkan. Mereka menggambarkan bahawa Indonesia akan menjadi masalah kerana Suharto tidak menyediakan penggantinya.

Sedangkan menurut perlembagaan Indonesia, perkara itu sudah jelas. Naib Presiden sudah ada iaitu B.J. Habibie. Ternyata apabila Suharto mengundurkan diri, Habibie dengan mudah diterima sebagai Presiden Indonesia. Walaupun ada bantahan dan gerakan reformasi, tetapi kekacauan bukan kerana soal penggantian Habibie.

Sebenarnya yang menjadi persoalan bagi mereka bukanlah sama ada pengganti atau tidak, tetapi soalnya sama ada pengganti mereka itu orang mereka atau tidak.

Jadi andai kata mereka tidak berpuas hati dengan Habibie, media asing akan mengacaunya lagi dan menyeru supaya digantikan dengan orang lain, mungkin atas nama reformasi. Begitulah hasrat mereka.

Selain yang mereka mahu adalah orang mereka, mereka juga mahu dasar-dasar kewangan yang menguntungkan mereka diterapkan di negara ini. Dasar-dasar yang menguntungkan mereka dan tidak mestinya menguntungkan rakyat negara ini.

Jadi dalam dasar kewangan Mahathir, mereka akan mengecamnya, dan malah mungkin cuba menggagalkannya kerana ia tidak menepati kepentingan spekulator Barat. Kebebasan media bagi mereka adalah apa yang berkhidmat untuk kepentingan kewangan Barat.

Sumber: utusan malaysia, 13 September 1998




Read more »

Rahsia Kembali Langsing


TIDAK semua wanita akan kembali langsing selepas bersalin apatah lagi jika mereka bersalin untuk anak kedua mahupun yang ketiga. Pastinya bentuk badan akan berubah dan tidak kekal seperti anak dara. Namun, merujuk kepada selebriti seperti Ziana Zain, Lisdawati dan Sari Yanti yang kini dikurniakan dua hingga empat cahaya mata, mereka kembali langsing dan jelita seperti anak dara! Apakah rahsia mereka?

Usah menilai para artis kembali kurus semuanya berkat pertolongan pusat rawatan pelangsingan badan. Bagi pelakon jelita Sari Yanti Mohamad Nazari atau Sari Yanti, 28, ibu kepada dua cahaya mata lelaki iaitu Barr Al Aliy,2, dan Basit Al Haq, tujuh bulan, menegaskan dia tidak menaruh kepercayaan terhadap pusat pelangsingan badan.

Sari gemar buah-buahan

Katanya: "Sari tidak percaya dengan pusat rawatan pelangsingan badan. Maksud Sari, tempat berbayar seperti itu sememangnya boleh menguruskan badan kita dengan cepat.

"Namun dalam masa yang sama, mereka tetap akan suruh pelanggan mengamalkan diet. Kalau tidak macam mana boleh berkesan. Jadi, baik Sari menjalani proses melangsingkan badan dengan sendiri," ujarnya yang juga tidak mengambil jamu dan menjalani proses pantang secara ketat dan serius."

Sebaliknya, kongsi pelakon drama Paan dan Faiz itu, ketika berpantang dia hanya mengambil buah-buahan. Walaupun ada yang mengatakan ketika berpantang tidak boleh ambil sebarangan buah-buahan tetapi bagi Sari, dia tetap makan semua jenis buah-buahan.

"Ia elok untuk mengelakkan wanita selepas bersalin terkena sembelit. Ketika bersalinkan anak sulung iaitu Barr, Sari mengakui tidak sukar untuk menurunkan berat badan tetapi ketika mengandungkan anak kedua iaitu Basit, memang susah sikit nak kuruskan badan.

"Sari terpaksa mengambil masa selama tujuh bulan untuk kembali ke bentuk asal selepas bersalinkan Basit. Sari juga terpaksa kawal makan nasi dan mengambilnya dalam jumlah yang sedikit," luahnya yang turut mengamalkan senaman renang setiap minggu.


Berkongsi berat badannya ketika dan selepas mengandung, katanya, ketika mengandungkan anak pertama berat badannya meningkat daripada 42 kilogram kepada 65 kilogram. Bagaimanapun, dia berjaya memperoleh berat badan asal dalam masa beberapa bulan.

Sebaliknya, ketika mengandungkan anak keduanya, berat Sari hanya meningkat sehingga 57 kilogram sahaja, namun dia terpaksa mengambil masa selama tujuh bulan untuk kembali ke berat yang asal.

Jika anak pertama, Sari hanya kembali berlakon sebaik Barr Al Aliy berusia lapan bulan. Namun, selepas bersalin anak kedua, habis sahaja tempoh berpantang, Sari sudah bergegas melunaskan wataknya dalam drama BFF... Teman Tapi Mesra. Memang ketika itu, pelakon itu kelihatan sedikit berisi ketika berlakon dalam drama tersebut.

Tidak membiarkan dirinya menjadi buah mulut peminatnya, Sari kembali ke bentuk badan asal dan membuktikan dirinya kembali langsing ketika berlakon dalam drama Paan dan Paiz yang kini ditayangkan pada setiap hari Rabu di TV3.

Lisdawati elak makan malam

Sementara itu, bagi aktres Lisdawati, 34, pula, dia bersyukur kerana mendapat pertolongan daripada pusat pelangsingan badan iaitu Slim World untuk menguruskan badan selepas bersalin.

Merupakan Duta Slim World, Lisdawati bagaimanapun tidak mengharapkan 100 peratus pada pusat pelangsingan itu sebaliknya mengekalkan kecergasan badannya dengan melakukan senaman aerobik setiap hari di rumah.

"Alhamdulillah saya ada program dengan Slim World untuk kedua-dua anak iaitu Nur Aini Farhana, 4, dan Nur Aina Fazneesya, 3. Memang mereka akan pastikan saya kembali langsing dan kurus seperti asal. Tetapi, tidak bermakna saya tidak berusaha sendiri. Saya tidak boleh bergantung semata-mata kepada pusat pelangsingan badan untuk kekal sihat dan bertenaga memandangkan umur semakin meningkat," jelasnya yang turut mengamalkan senaman aerobik dan juga mengambil pemakanan yang seimbang.

Kongsi isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu, lepas melahirkan anak kedua, dia tidak lagi makan dengan sesuka hati. Malah, dia mengakui terpaksa kurang mengambil nasi dan tidak lagi makan nasi pada waktu malam.

"Selepas melahirkan anak kedua, saya memang kena lebih jaga badan sebabnya kita faham tubuh badan kita tidak sama seperti yang asal. Saya akan pastikan makan malam sebelum waktu solat Maghrib. Paling penting, saya juga kena banyak makan sayur dan buah-buahan.

"Saya juga akan pastikan hanya makan satu lauk sahaja bersama nasi dan sayur. Contoh, makanan laut atau ayam atau daging. Jika makan kesemuanya dalam masa yang sama, ia akan menyukarkan proses penghadaman," ujarnya mengenai petua yang di amalkan oleh keluarganya itu.

Paling penting, ujar Lisdawati, seelok-eloknya setiap wanita harus berpantang dengan betul dan serius selepas bersalin.

Jelasnya lagi, kadang-kadang seorang wanita itu nampak kurus selepas bersalin tetapi rangka di bahagian pinggul dan lain-lain tubuh badan sudah membesar. Disebabkan itu, selepas bersalin wanita harus berpantang secara serius untuk mengembalikan bentuk badan yang sempurna.

Tambahnya, setiap individu itu juga tidak sama dan paling penting jangan terlalu stres untuk kurus selepas bersalin.

Ziana banyak makan sayur

Bagi penyanyi Ziana Zain, tiada siapa yang dapat menafikan kecantikan dan tubuh langsing yang dimiliki oleh ibu kepada empat cahaya mata itu. Malah, tiada siapa menyangka usia penyanyi lagu Madah Berhelah itu sudah mencecah 44 tahun dan dia masih kekal cantik dan langsing!.

Begitupun, ramai yang mempertikaikan kakak kepada penyanyi hebat Anuar Zain itu apabila dia dituduh mencucuk botoks ke dalam wajahnya dan kekal langsing berkat menjadi duta program pelangsingan badan, Slim World.

Enggan cepat melatah, Ziana yang ditemui selepas sidang akhbar pelancaran Festival Muzik Kuala Lumpur 2012 (FMKL) di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini, berkongsi rahsia kecantikan yang dimilikinya selama ini.

"Orang selalu cakap artis ibarat satu produk maka sesuatu produk itu harus cantik bungkusannya. Kita juga bukan sahaja perlu cantik di mata masyarakat sahaja tetapi kenalah juga cantik pada pandangan mata suami. Paling utama, kita perlu menyanyangi diri sendiri, maka tunjukkan kasih sayang itu dengan menjaga kesihatan diri," ujarnya.

Menurut Ziana, tidak perlu membuat pembedahan wajah atau kosmetik sebaliknya mengambil makanan sampingan yang diuji sahih keberkesananya.

Bagi Ziana, setiap pagi dia akan memastikan dirinya meminum segelas air putih dan berselawat sebanyak tiga kali.

"Mohonlah supaya kita dikurniakan kesihatan dan kecergasan tubuh badan daripada Tuhan. Saya juga setiap kali membasuh muka akan berselawat dan berdoa memohon apa yang diinginkan.

"Selain itu, saya juga tidak mengambil nasi yang banyak dan mengambil makanan seimbang terutamanya sayur-sayuran untuk sentiasa memastikan memperoleh berat badan yang ideal. Bukan itu sahaja, jika ada masa lapang saya akan bersenam," kongsinya mengenai petua yang diamalkan daripada ibu dan bapanya itu.

Berat badan Ziana naik daripada 50 kilogram menjadi 80 kilogram ketika mengandungkan anak kembarnya iaitu Muhammad Ariel dan Siti Nour Kaseh, 3. Bagaimanapun, dia berjaya mengembalikan bentuk badan asalnya setelah enam bulan berusaha.

Read more »

Wednesday, June 27, 2012

OKU Dizalimi


KUANTAN - Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) dibelasah tanpa belas kasihan oleh dua lelaki apabila dituduh cuba memecah masuk sebuah rumah di Indera Mahkota 2, di sini.

Kamarudin Abdul Karim, 24, yang baru sahaja selesai menjalankan tugas sebagai anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) berkata, dia yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah mengikut jalan pintas, ditahan oleh dua lelaki terbabit sebelum bertindak membelasahnya.

“Tanpa sempat bertanyakan apa-apa, dua lelaki itu terus menumbuk mata, memijak dan menyepak kepala saya seperti bola tanpa belas kasihan.

“Puas saya merayu supaya berhenti pukul saya, namun mereka tidak endahkan. Saya seperti hendak pitam dan badan pula habis berlumuran darah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa baru sahaja selesai minum bersama pasukannya sebelum mengambil keputusan pulang dahulu memandangkan rakan-rakan lain asyik menyaksikan perlawanan bola sepak di warung tersebut.

Kamarudin berkata, dia dibelasah kerana dituduh cuba memecah masuk sebuah rumah hanya kerana dia melalui laluan belakang rumah terbabit yang ketika itu gelap.

Katanya, selepas hampir setengah jam bertarung dengan maut, dia dibantu ibunya, Sufiyah Osman, 53, dan Pengerusi Rukun Tetangga, Ramli Karim, 58, pulang ke rumah sebelum membuat laporan di Balai Polis Indera Mahkota.

Akibat kejadian itu, Kamarudin mengalami lebam di kedua-dua mata selain patah hidung dan trauma setiap kali mengenangkan peristiwa itu.Ibunya, Sufiyah berkata, dia menyifatkan kejadian itu tidak berperikemanusiaan kerana memukul anaknya sehingga separuh nyawa tanpa mempunyai bukti kukuh.

“Lemah longlai tubuh saya melihat keadaan anak yang tidak bermaya dan remuk hati saya kerana ada juga manusia sanggup memperlakukan hal ini tanpa belas kasihan. Hati ibu mana tidak pilu apabila melihat sendiri di depan mata, kepala anak dipijak sebelum disepak seorang daripada lelaki terbabit.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana terlalu terkejut sebelum isteri kepada lelaki berkenaan meminta saya mengambil anak dan pulang ke rumah,” katanya.

Dia berharap lelaki yang membelasah anaknya menerima hukuman setimpal.

“Biar undang-undang yang tentukan hukuman. Kejadian itu memberikan kesan sepajang hidup kepada kami keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan masih diteruskan.

Read more »

Orang Mabuk Serang Sekeluarga


SUNGAI KERPAN (Lipis) - Enam sekeluarga yang tinggal di kawasan Rumah Murah Sungai Kerpan, di sini, berhadapan detik mencemaskan apabila kawasan rumah mereka diserang tiga lelaki bersenjatakan parang.

Mangsa, R Ramachandran, 25, berkata, ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 pagi itu, dia sekeluarga sedang tidur sebelum dikejutkan bunyi bising dari arah luar rumah.

“Saya terdengar orang memanggil nama saya dari luar rumah lalu saya menjenguk melalui pintu dan terlihat seorang lelaki yang juga jiran tetangga.

“Saya kemudiannya berbicara secara baik dan sekiranya lelaki berkenaan tidak berpuas hati tentang sesuatu hal saya meminta untuk berbincang pada keesokan pagi,” katanya, di sini, semalam.

RAMACHANDRAN berkata, lelaki berkenaan seperti tidak berpuas hati dengan penjelasan tersebut lalu bertindak menghubungi rakannya.

“Beberapa minit kemudian datang dua lelaki yang juga rakan serumah dengan lelaki terbabit dan mula membuat kacau. Mereka juga ada menyebut bahawa mereka ahli Kumpulan 24.

“Salah seorang daripada mereka menggunakan parang dan cuba mengugut kami. Malah, mereka bertindak lebih agresif dengan merosakkan pagar rumah, memecahkan cermin tingkap dan
pasu bunga selain merosakkan dua motosikal saya,” katanya.

Ramachandran berkata, dia kemudiannya bertindak menghubungi bapa saudara, K Shekumaran yang tinggal berdekatan untuk meminta pertolongan.

“Tidak berapa lama kemudian, bapa saudara saya tiba dengan beberapa anggota polis untuk meleraikan pertelingkahan terbabit.

“Walaupun terdapat anggota polis di situ namun kumpulan lelaki terbabit masih bertindak kasar dan memukul bahagian belakang kepala bapa saudara saya,” katanya.

Ramachandran berkata, polis kemudiannya menahan tiga lelaki terbabit dan membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan.

SEMENTARA itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kesemua suspek terbabit di bawah pengaruh alkohol sebelum bertindak menyerang rumah mangsa.

“Kesemua suspek direman sehingga 27 Jun ini. Selain itu, polis juga ada membuat rampasan senjata berupa parang sepanjang dua kaki yang digunakan seorang suspek ketika menyerang
mangsa,” katanya.

Abdul Razak berkata, pihaknya mendapati Kumpulan 24 yang kononnya disertai suspek terbabit adalah tidak benar. Mungkin di bawah pengaruh alkohol maka suspek mengeluarkan kenyataan yang tidak sahih dan hanya ingin menakutkan mangsa,” katanya.

Abdul Razak berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Read more »

Orang Asli Perlu Berubah


BERA - Masyarakat Orang Asli perlu mempelbagaikan sumber pendapatan dengan menubuhkan koperasi sendiri supaya dapat meningkatkan taraf kehidupan golongan itu.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedia menghulurkan bantuan yang diperlukan termasuk pinjaman dalam usaha menubuhkan koperasi bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.

"Sebagai permulaan, kerajaan bersedia memberikan bantuan RM30,000 percuma untuk pentadbiran, manakala pinjaman mudah tanpa cagaran sebanyak RM50,000 untuk modal perniagaan.

"Jika koperasi menunjukkan prestasi baik dan maju dalam perniagaan, pinjaman RM10 juta ke atas akan diberikan dengan cagaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Program Jalinan Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Bukit Gemuruh Bera, di sini semalam.

Majlis tersebut disertai mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jengka dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, banyak perniagaan boleh diceburi oleh koperasi seperti perniagaan runcit, membeli getah atau kelapa sawit, pengangkutan dan pembekalan peralatan pertanian.

Katanya, jika koperasi Orang Asli mahu menjalankan projek pertanian kerajaan melalui pelbagai agensi bersedia membekalkan benih, baja atau jentera secara percuma.

Read more »

KJ Bakal Menteri Besar Kelantan


PILIHAN RAYA Umum Ke-13 negara akan diadakan tidak lama lagi. Mungkin tiga bulan lagi, jika bukan tahun depanlah. Tapi jika dilihat kepada kehangatannya, ia sudah terlalu hampir. Apa pun kita serahkan kepada PM untuk menentukan tarikhnya, kerana kata putus berada di dalam tangannya.

Namun begitu secara kasarnya, kempen telah pun berlangsung. Di Selangor di mana saya tinggal, pihak pembangkang telah pun rancak berceramah. Jika pilihan raya berlangsung selepas raya ini, maka Ramadan akan digunakan sepenuhnya untuk bertazkirah, yang sudah tentunya akan condong kepada kempen pilihan raya.

Kita semua amat arif, itulah kelebihan yang ada kepada pembangkang khususnya Pas. Mereka akan menggunakan surau dan masjid secara maksimum. Itu pasallah di beberapa masjid di sekitar Selangor sekarang berlaku kecelaruan apabila AJK lama masjid ditukar kepada yang pro-Pas, sehinggakan ada antara kes calon-calon AJK yang di luar daripada kariah masjid itu sendiri pun telah dilantik.

Bagi saya itu bukan satu kesalahan, kerana Pas di Selangor mempunyai advantage. Sesiapa pun berkuasa, dialah yang akan mempunyai kelebihan.

Selain berceramah dan berkempen, masing-masing parti politik, baik kerajaan atau pembangkang juga sedang rancak untuk menyusun calon-calon yang akan menghadapi peperangan politik itu kelak.

Penyusunan dan perancangan calon ini amat penting sekali. Bagi BN, yang akan menjadi underdog kali ini, penentuan itu amat-amat krusial sekali. Silap orang, maka undi akan terjunam.

Maka itu, benar kata PM beliau akan memilih muka-muka baru yang boleh menang kali ini. Tepat sekali strategi PM itu, kerana itu jugalah yang dimahukan oleh pengundi. Pengundi kali ini mahu melihat calon-calon BN terdiri daripada muka-muka baru, yang segar dan berseri-seri. Ingat pada pilihan raya lalu, pihak pembangkang yang underdog pernah meletakkan muka-muka yang tidak pernah pun orang kenal, dan rata-rata mereka menang.

Yang lama dan yang sudah bertanding empat, lima penggal, berilah peluang kepada yang tidak pernah lagi mencuba. Kecualilah, jika yang empat, lima penggal itu benar-benar disayangi oleh para pengundi.

Kepada pembangkang kali ini mereka bukan underdog lagi. Mereka yakin akan menang. Lim Guan Eng nampak gayanya semakin bongkak mendabik dada akan menang lagi kali ini. Jika beliau menang lagi maka, lebih banyaklah “perubahan demi perubahan" yang akan dilakukan di Pulau Pinang itu. Mungkin lebih banyaklah yang akan melukut di tepi gantang.

Tapi bagi orang Melayu, tumpuan sudah tentulah kepada dua negeri di Utara dan Pantai Timur tanah air, iaitu Kedah dan Kelantan. Ini adalah kerana kedua-dua negeri itu mengandungi majoriti kaum itu.

Kedah bagi saya, BN boleh ambil balik. Tapi ada tapinya. Ia banyak bergantung kepada siapa calon-calonnya. jangan rebut-merebut dan gaduh-gaduh. Formula seperti di atas amat-amat diperlukan untuk menang. Potensi memang ada.

Jika Kedah kalah kali ini, maka negeri itu akan menjadi satu lagi Kelantan yang akan dipasak oleh Pas selama-lamanya.

Tapi saya lebih berminat kali ini untuk mengulas mengenai kedudukan Kelantan. Nik Aziz Nik Mat yang pernah mencabar Dr. Mahathir Mohamad supaya berundur kerana dikatakan sudah tua dan nyanyuk, kini telah memerintah negeri itu selama 22 tahun.

Dia pernah mencabar Dr. Mahathir supaya meletak jawatan bagi membolehkan dia juga akan letak jawatan. Tapi sebagai orang politik yang totok, Nik Aziz tidak pernah mengotakan janjinya.

Difahamkan kali ini, buat ke sekelian kalinya, Nik Aziz bercita-cita mahu bertanding lagi. Walaupun asyik masuk-keluar hospital, dia masih mahu bertanding lagi. Tapi kali ini, mungkin lain macam sedikit.

Saya diberitahu oleh orang-orang dalaman Pas, Nik Aziz kali ini mahu bertanding di Parlimen pula.

Dia mahu merasai bagaimana berada dalam Dewan Rakyat. Dia mahu melepaskan jawatan sebagai MB Kelantan, setelah dikatakan terpaksa mengakui gagal membangunkan negeri itu sebagaimana yang dikehendaki.

Dia tahu kelemahannya. Dia tahu, mungkin, jika dia masih berada di situ rakyat Kelantan akan membuat perubahan. Maka, dia dikatakan akan bertanding di Parlimen P20 Pengkalan Chepa.

Jika benar, maka siapa yang akan menggantikannya? Apakah anak emasnya, Husam Musa? Tapi Husam kini dikatakan terlalu banyak bebanan? Husam memanglah bercita-cita mahu menjadi MB, menggantikan Nik Aziz, tapi adakah beliau akan dipilih?

Saya diberitahu, bukan Husam. Tapi nama yang disebut itu ialah KJ. Bukan KJ Pemuda UMNO, tapi Ahli Parlimen P19 Tumpat iaitu Kamaruddin Jaafar.

KJ ini disebut-sebut akan menggantikan Nik Aziz sebagai MB Kelantan selepas PRU-13 kelak. Difahamkan, jika benarlah, KJ ini yang menjadi AP Tumpat sejak 1999 akan bertanding di DUN N3 Pasir Pekan (di kampung halamannya) dalam kawasan parlimennya sekarang.

Ahli DUN N3 Pasir Pekan yang kini dipegang oleh Datuk Ahmad Yaakob (kini Timbalan MB Kelantan) akan bertanding di kerusi Parlimen Tumpat.

Tapi siapa Kamaruddin ini? Yang kita tahu dia ini adalah orang kuat dan orang kanan Anwar Ibrahim. Juga disebut-sebut, KJ ini pun dikatakan memasuki ke dalam Pas atas perintah Anwar yang mahu beliau menyusup masuk ke dalam parti itu.

Apakah Anwar, akhirnya mahu menguasai Kelantan pula secara tidak langsung? Jika tidak benar pun andaian ini, mengapa tiba-tiba angin bertiup. Ia kini menjadi buah mulut orang-orang Pas di Kelantan.

Anwar ini memang licik orangnya. Itu pun semua orang tahu. Jika benarlah maka Anwar memang bijak. Adakah jika KJ menjadi MB Kelantan kelak, maka akan mudah PKR dapat bertapak di bumi Kelantan selepas ada tanda-tanda jelas akan kehancuran pertahanan PKR di bumi Selangor dan Pulau Pinang.

Semua orang tahu markas Anwar di Permatang Pauh kini telah goyah. Jika ini benar-benar terjadi, maka adalah tidak mustahil MB KJ akan membuka peluang kepada seorang ahli DUN daripada PKR menjadi Timbalan MB Kelantan?

Faktanya, KJ ini merupakan strategis Anwar di dalam think-tanknya, Institut Kajian Dasar (IKD). Semasa KJ menerajui IKD dia dikatakan banyak mengeluarkan buku mengenai fahaman yang cuba dibawa oleh Anwar mengenai masyarakat madani. Kebanyakan buku-buku itu dikatakan ditaja oleh sebuah yayasan dikenali sebagai Kondrad Adeneur, sebuah pertubuhan milik Parti Kristian Demokrat di Jerman.

Datuk KJ bukan calang-calang orang. Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Ghafar Baba. Semasa itu, Anwar ialah Menteri Kewangan. Tapi semasa KJ bersama Ghafar, Anwar juga sudah bercita-cita mahu menjadi TPM, menggantikan Ghafar.

KJ dan Anwar pernah aktif dalam ABIM dan merupakan sahabat baik. Akhirnya pada 1993, Anwar melawan Ghafar dan oleh kerana permainan politik wang yang terlalu hebat, Anwar menang dalam permilihan UMNO.

Beliau kemudian dilantik menjadi TPM. KJ pula secara rasmi berada bersama Anwar di dalam lingkungan TPM Anwar. KJ diberi peranan oleh Anwar untuk menjalankan perniagaan.

Nik Aziz yang selama ini amat mengkagumi Anwar, kini melihat KJ mempunyai potensi.

Kamaruddin dikatakan boleh melonjakkan ekonomi Kelantan. Nik Aziz yang selama 22 tahun hanya mampu membaca doa tazkirah sahaja mengakui gagal melakukan transformasi ekonomi negeri itu.

Nik Aziz amat mempercayai keupayaan Kamaruddin yang dikatakan mempunyai rangkaian hubungan dengan pihak antarabangsa termasuk dari Jerman, Amerika Syarikat dan negara-negara lain.

Jika perkembangan ini benar berlaku, maka ia akan menjadi satu lagi dimensi baru bagi sains politik di negara ini.

Persoalannya adakah Pas akan berdiam diri? Kita tunggu dan lihat.

Read more »

Tuesday, June 26, 2012

Sekat Drama Indonesia Demi Maruah Negara

SEJAK Finas ditubuhkan pada 1981, pelbagai usaha dilakukan untuk filem tempatan menembusi pasaran Indonesia. Entah berapa kali pula Minggu Filem Malaysia dianjurkan di Jakarta dengan harapan mendapat laluan memasarkan filem kita ke sana. Tidak cukup dengan itu, diadakan pula filem usahasama Malaysia - Indonesia, kononnya boleh membuka ruang pasaran di sana.

Ketika dekad 1970 hingga 1980-an, Malaysia menjadi tempat longgokan filem sampah Indonesia. Ketika itulah bertali arus filem yang karut marut dengan ilmu hitam disumbat dalam pemikiran penonton tempatan. Tetapi hingga kini filem tempatan tidak juga diterima walaupun sudah dibincangkan peringkat kerajaan dengan kerajaan dan karyawan dengan karyawan. Akhirnya usaha mencari pasaran di Indonesia gagal sama sekali. Walaupun gagal, semua itu tidak memberi pengajaran. Buktinya filem ilmu hitam bertaraf sampah sarap terus disajikan.

Kenapa kita tidak bertindak, misalnya mengharamkan kemasukan filem sampah mereka? Apakah kalau tidak ada filem Indonesia panggung kita akan tutup? Kalau benar pun panggung ditutup, penonton Malaysia tidak rugi malah lebih untung kerana pemikiran mereka tidak disumbat sampah.

Walaupun industri filem Indonesia besar ketika itu tetapi filem yang baik boleh dibilang dengan jari. Industri di Indonesia seperti apa yang kita alami sekarang, menerbitkan banyak filem tetapi yang boleh dipanggil filem tidak lebih sebelah tangan bilangannya. Hanya filem pengarah hebat seperti Teguh Karya, Chaerul Umam, Sjumandjaja, Wim Umboh dan beberapa lagi layak dibawa masuk ke sini. Apakah yang kita belajar daripada sikap Indonesia kepada kita dalam bab pasaran filem?

Sebenarnya kita tidak belajar apa-apa malah tidak ada perasaan apabila selepas gagalnya usaha memasarkan filem ke sana, stesen televisyen kita membuka pintu seluas- luasnya kepada drama sampah dari Indonesia. Tiada masalah (sekalipun Indonesia selalu cipta masalah) untuk menyiarkan drama atau filem Indonesia yang baik. Tetapi yang menjadi masalah apabila stesen televisyen tiada daya saring mencari yang terbaik.

Memanglah drama bersiri Indonesia dibeli dengan harga murah. Tetapi apalah kalau hasilnya buruk? Adakah drama tempatan disiarkan di stesen televisyen Indonesia? Jangan bermimpi drama kita akan berjaya menembusi pasaran Indonesia.

Apa sudah jadi dengan dasar penyiaran kita sekiranya kita ada dasar dalam hal ehwal penyiaran? Barangkali disebabkan tiada dasarlah membuatkan semua sampah dari Indonesia dilonggokkan di negara ini. Tidakkah kita berasa malu? Atau sememangnya kita tidak malu?

Read more »

PAS Bertuhankan Nafsu Politik


ISLAM dan Melayu amat sinonim dan strategik. Jika mana-mana musuh mahu melemahkan atau menguasai negara Malaysia ini dalam jangka panjang, satu strategi yang wajar digunakan adalah melemahkan kecintaan orang Melayu kepada Islam.

Amat unik dan menarik bahawa Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa orang Melayu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu.

Dari segi akal, adalah mustahil orang Melayu akan merelakan Parlimen meminda peruntukan perlembagaan ini. Kecuali majoriti mereka atau ahli-ahli Parlimen Melayu telah dipukau atau gila.

Maka wajarlah kita orang Melayu bersyukur kepada Allah SWT kerana mengilhamkan kepada bapa-bapa kemerdekaan negara supaya memaktubkan definisi ini ke dalam perlembagaan. Itulah lambang kecintaan orang Melayu kepada Islam. Mana ada kelompok etnik di dunia yang dijasadkan dengan agama Islam dalam perlembagaan negara mereka.

Malah hanya di Malaysia sahaja orang Melayu dimeterikan dengan label Islam. Dan masyarakat Melayu akan gempar seolah-olah ditimpa bencana alam jika ada salah seorang Melayu dilaporkan melakukan sesuatu yang mencalarkan imej keislaman kaumnya, apatah lagi jika ada yang murtad.

Selama mana sensitiviti orang Melayu terhadap keislaman mereka ini akan bertahan, adalah satu persoalan yang relevan dibincangkan. Sama seperti bertanya, adakah mungkin peristiwa rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada 1950 berulang di Malaysia pada abad ke-21?

Tentulah ingatan kita segar betapa peristiwa memurtadkan orang Melayu telah dilaporkan berlaku di Selangor pada tahun lalu. Sebelum itu orang Melayu heboh apabila pihak gereja kristian di Malaysia cuba menggunakan kalimah Allah dalam buletin, upacara agama dan kitab mereka.

Ekorannya, pihak-pihak berkesedaran telah menganjurkan Perhimpunan Sejuta Umat di Stadium Shah Alam, Selangor pada 22 Oktober 2011. Hasilnya, hanya kira-kira dua atau tiga ribu orang sahaja yang hadir. Nah, bandingkan dengan bilangan orang Melayu yang hadir di perhimpunan haram Bersih 3.0 anjuran seorang wanita bukan Islam pada 28 April 2012. Slogan penganjur adalah menuntut pilihan raya lebih bersih atas nama demokrasi.

Menariknya, Perhimpunan Sejuta Umat berlangsung dalam suasana yang sangat aman. Sebaliknya, Bersih 3.0 dicemari dengan keganasan oleh pemuda-pemuda Melayu. Secara mudah, fahamilah manifestasi daripada dua peristiwa tersebut. Tidakkah ia menggambarkan bahawa orang Melayu sekarang lebih cintakan politik daripada agama Islam?

Inilah bukti bahawa demokrasi, kebebasan dan hak asasi sudah meresap sebagai agama baru kepada sebilangan orang Melayu. Ramai orang Melayu sekarang sudah hilang sensitiviti terhadap agama Islam berbanding masyarakat Melayu dulu.

Ini berlaku ketika semakin banyak surau, masjid, institusi pendidikan Islam (tadika, sekolah, kolej dan universiti) dibangunkan. Malah di TV sekarang sudah ada beberapa saluran khas Islam. Kenapa boleh jadi begini? Anehnya yang ramai menyertai Bersih 3.0 ialah para penyokong dan ahli sebuah parti yang menggunakan nama Islam. Mereka jugalah yang enggan menyertai Perhimpunan Sejuta Umat dulu.


Kenapa boleh jadi begini? Jawapannya adalah kegilaan berpolitik sudah mengatasi kecintaan sebenar kepada agama Islam. Mereka bercakap kononnya kepentingan agama mengatasi kepentingan politik. Tetapi hakikatnya tindak-tanduk mereka membuktikan bahawa kepentingan politik melebihi kepentingan agama. Malah agama tidak lebih hanyalah kuda tunggangan joki-joki politik yang mahu menuju ke garisan penamat bernama Putrajaya.

Yang penting adalah memeluk trofi kemenangan di Putrajaya? Kenapa boleh jadi begini?

"Yang demikian itu, kerana sesungguhnya kamu menjadikan ayat-ayat Allah sebagai olok-olokan dan kamu telah ditipu oleh kehidupan dunia, maka pada hari ini (di akhirat) mereka tidak dikeluarkan dari neraka dan tidak pula mereka diberi kesempatan untuk bertaubat," - Al Jaatsiyah 45: 35.

Kehidupan di dunia pada hari ini yang diatur oleh 'agama baru' bernama demokrasi telah mendorong manusia berlumba-lumba untuk merebut kuasa. Kononnya dengan kuasa inilah mereka akan melakukan yang terbaik untuk umat manusia. Bagaimana mungkin dengan kuasa ini mereka akan melakukan yang terbaik sesama manusia sedangkan ketika berebut kuasa mereka sudah melakukan pelbagai kemunafikan dan kemungkaran?

Rasulullah SAW dalam perjuangan menegakkan iman dan Islam tidak pernah menjadikan kuasa sebagai matlamat atau alat. Baginda hanya berdakwah dan terus berdakwah supaya manusia beriman kepada Tuhan Yang Esa dan mentaati-Nya. Baginda dan umat Islam hanya berperang setelah Allah memerintahkan mereka mempertahankan diri dan agama setelah diancam dan dianiaya berterusan oleh kaum musyrikin.

Baginda pernah ditawarkan kuasa dan kekayaan oleh kaum Quraish supaya menghentikan dakwahnya, tetapi baginda menolak keras. Pada hari ini kita hanya berdakwah secara cebisan dan sambilan, tetapi menjadikan usaha merebut kuasa sebagai kerja sepenuh masa.

Wahai orang Melayu, sedarlah bahawa kekuatan Islam di Malaysia terletak di tangan kita semua. Malaysia dipandang tinggi oleh negara-negara Islam lain kerana ada sesuatu pada kita yang tiada pada orang lain. Jangan nampak kuman di seberang laut, tetapi buta kepada gajah di depan mata.

Dalam kerangka demokrasi yang amat 'dijunjung tinggi hingga melebihi kepentingan Islam' pada hari ini, kita hendaklah sedar bahawa jumlah orang Melayu bukanlah ramai sangat. Andainya Almarhum Tunku Abdul Rahman tidak mengusir Lee Kuan Yew dan Singapura keluar dari Malaysia dulu, tidak tahulah bagaimana kedudukan Melayu dalam percaturan politik demokrasi pada hari ini.

Sedangkan dengan kedudukan majoriti hari ini kita sudah tidak tentu arah. Semuanya ini berlaku kerana kita terlalu terpengaruh dengan nafsu keduniaan untuk berebut kuasa sesama kita. Nafsu telah menyebabkan manusia menjadi buta kepada kebenaran.

"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?," - Al Jaatsiyah 45: 23

Kepada pemimpin-pemimpin politik Melayu tanpa mengira parti, renungilah maksud ayat Quran ini. Kita telah meletakkan Malaysia pada satu titik yang sangat bermakna dalam dunia Islam. Janganlah biarkan orang Melayu dan negara Islam ini disesatkan kerana kita bertuhankan nafsu, bukan lagi Allah.

Read more »

Lynas - Mainan Politik Murahan Pembangkang


Di Malaysia hari ini, sudah menjadi pengetahuan umum bahawa jika sesuatu perkara itu berkaitan dengan pembangkang, maka ia tidak boleh lari dari pembohongan.

Lynas, adalah salah satu pembohongan pembangkang tahap paling memalukan. Ini kerana angka matematik dan fakta saintifik tidak boleh ditipu. Fakta dan angka telah membuktikan bahawa Kilang Lynas adalah selamat. Fakta dan angka ini bukannya direka-reka cipta sepertimana Raja Petra Kamaruddin mereka-cipta kisah pembabitan Perdana Menteri dalam pembunuhan Altantuya dari imaginasinya. Ia juga bukan seperti Anwar Ibrahim berimaginasi menjadi Perdana Menteri pada 16 September.

Fakta dan angka dari kajian saintifik lengkap yang dikemukakan oleh pihak International Atomic Energy Agency (IAEA) dan AELB mengenai Lynas bukannya imaginasi.

Justeru, eloklah sekiranya Fuziah Salleh, Tian Chua, Tan Bun Teet (Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas) berhenti menyalak dan menerima hakikat bahawa Lynas adalah selamat. Belajarlah merasa malu dan bersalah apabila berbohong. Apatah lagi apabila sekutu sendiri iaitu Che’ Rosli Che Mat, Ahli Parlimen PAS Hulu Langat yang juga seorang saintis, sendiri mengakui bahawa Lynas adalah selamat.

Fuziah, Tian Chua, Bun Tee sebelum ini begitu galak menyebarkan pembohongan bahawa kerajaan cuba ‘mengecat-putihkan’ apa yang gelap mengenai Lynas. Mereka mengenepikan segala dapatan dari kajian yang dilakukan oleh pihak-pihak yang pakar mengenai radioaktif dan nuklear sebaliknya menampilkan pakar-pakar politik serta ‘pencinta alam’ yang sesetengahnya diimport dari Singapura untuk menguatkan hujah kononnya Lynas adalah merbahaya.

Kerajaan bagaimanapun, tetap memberi ruang kepada mereka untuk membangkitkan isu ini sebagai usaha memastikan keputusan yang paling tepat untuk negara. Untuk itu, kerajaan telah menubuhkan panel parlimen untuk mengkaji apa yang dituduh oleh para penentang Lynas ini.

Bagaimanapun, pihak yang menentang langsung tidak mampu bercakap dalam bentuk fakta dan angka tetapi semua hujah mereka adalah bersandarkan emosi yang berbekalkan air liur semata-mata.

Justeru, panel akhirnya memutuskan bahawa “Jawatankuasa mengambil maklum bahawa melalui kajian, kadar purata dos sinaran di projek LAMP adalah 2 mSv setahun untuk pekerja (had dos tahunan dibenarkan adalah 20 mSv setahun) dan 0.002 mSv setahun untuk orang awam (had dos tahunan dibenarkan adalah 1 mSv setahun) dan ini menunjukkan bahawa kadar di projek LAMP adalah rendah dan selamat.”

Dan, “Jawatankuasa berpuas hati bahawa projek LAMP telah memenuhi keperluan standard dan perundangan di Malaysia...Malahan, terdapat peruntukan undang-undang dan standard yang dikenakan ke atas projek LAMP adalah lebih ketat berbanding standard antarabangsa. Jawatankuasa mengesyorkan agar lesen Kelas A (Mengilang – Peringkat Pengendalian Sementara) atau (Temporary Operating Licence – TOL) dikeluarkan... (dan) satu jawatankuasa pemantauan (monitoring committee) dibentuk bagi memantau secara berterusan operasi LAMP.”

Jika Fuziah dan kuncu-kuncunya mampu berhujah dengan fakta yang meyakinkan tentulah keputusan panel akan berbeza sama sekali.

Sifat pembangkang yang suka berbohong ini telah merugikan bukan sahaja Lynas, tetapi juga negara dan rakyat yang berpeluang bekerja di sana.

Menurut Lynas, penangguhan dalam mendapatkan lesen untuk kilangnya, yang pada mulanya diluluskan pada bulan Januari, mungkin akan ada “akibat yang sangat serius” untuk tempahan bumi nadir bernilai RM80 bilion yang sudah diterima, kerana sudah ditempah untuk “10 tahun yang akan datang”. Ini bermakna kerugian juga dialami oleh negara ini selama 10 tahun akan datang kerana pendapatan kilang Lynas juga bermakna pendapatan kepada negara. Apatah lagi dengan nadir bumi menjadi antara sumber penting untuk menampung keperluan dunia yang semakin canggih ini.

Oleh itu, kita melihat tindakan menghalang operasi Lynas, adalah umpama menolak rezeki.

Nampaknya, dalam isu ini, yang merbahayakan rakyat, negara dan alam sekitar bukanlah Lynas, tetapi Fuziah Salleh dan kuncu-kuncunya. Terbukti radioaktif dari air liur dan hati mereka yang busuk mampu menjejaskan rakyat dan negara.

Kita percaya, majoriti rakyat Malaysia mampu membezakan antara fakta dan angka dengan emosi dan air liur. Kedegilan pembangkang untuk terus memainkan isu Lynas dilihat sebagai bukti bahawa mereka amat terdesak kerana ketandusan isu di kala pilihanraya semakin hampir.

Pembangkang nampaknya masih tidak sedar bahawa semakin degil sikap mereka untuk menolak Lynas, semakin kuat gelombang penolakan rakyat terhadap mereka.

Read more »

Monday, June 25, 2012

Menjaga Hak Rakyat Dari Kerakusan Pembangkang


KEPUTUSAN pilihan raya umum 2008 dikatakan mengubah landskap politik negara. Kejayaan agak besar yang dicapai oleh pakatan pembangkang telah memungkinkan arena politik berhadapan dengan satu situasi yang selama ini tidak pernah dialami.

Kehilangan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen serta mengalami kekalahan mengejut di Kedah, Pulau Pinang, Perak (selama 11 bulan) dan Selangor telah memungkinkan pembangkang yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas merasakan mereka cukup kuat.

Justeru kerajaan BN terpaksa bergelut dalam pertembungan politik yang menyaksikan pembangkang bersedia melakukan apa sahaja bagi memastikan mereka mampu menumbangkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam menghadapi keghairahan pembangkang, rakyat sewajarnya diperingatkan politik menghalalkan cara bukan budaya politik negara ini. Malahan jika ini dibenarkan ia boleh membawa bencana kepada masa depan negara.

Oleh itu kehadiran buku bertajuk 'Moderat - Antidot Barisan Nasional Menentang Politik Menghalalkan Cara' tulisan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr.Mashitah Ibrahim tepat pada masanya.

Moderat atau kesederhanaan sememangnya menjadi pegangan BN sejak merdeka lagi dalam memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan mainan politik melampau oleh mana-mana pihak.

Buku setebal 308 muka surat itu yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, hari ini mampu memberikan 'pedoman' dan pemahaman kepada rakyat untuk memahami betapa pentingnya mereka menolak corak politik yang diamalkan oleh pembangkang.

Dr.Mashitah mengupas soal moderat ini dengan terperinci dan ia bukan sahaja dilihat dari sudut politik semata-mata tetapi juga ajaran Islam.

Selain memuatkan ucapan Perdana Menteri mengenai moderat, ia turut mengandungi kupasan menarik mengenai amalan politik pembangkang.


Antara bahagian yang pasti akan mendapat perhatian adalah Bahagian 3 yang mengandungi enam tulisan Dr.Mashitah mengenai mainan politik pembangkang termasuklah merobek mitos buku jingga dan konsep Negara Berkebajikan yang diuar-uarkan oleh Pas.

Sememangnya, dalam BN berusaha bersungguh-sungguh untuk membela nasib semua kaum di negara ini, parti itu berhadapan dengan pakatan pembangkang yang begitu teruja untuk menawan Putrajaya.

Berikutan itu, pendekatan politik moderat atau sederhana yang selama ini menjadi tunjang utama kekuatan negara berada dalam kedudukan terancam. Apa yang mengecewakan, dalam keghairahan itu pembangkang bersedia melakukan apa sahaja termasuklah memainkan isu-isu yang boleh memecah-belahkan rakyat.

Mereka membuat janji yang bukan-bukan, soal sama ada janji itu mampu ditunaikan atau tidak, ia soal kedua, apa yang penting meraih dahulu sokongan rakyat. Dalam soal ini, sudah tentulah rakyat perlu diperingatkan supaya jangan terpedaya dengan politik pembangkang kerana ia akhirnya akan merugikan mereka. Apa yang berlaku di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah contohnya, sudah menjadi bukti bagaimana pembangkang gagal menunaikan janji biar pun sudah diberi kuasa.

Turut menarik perhatian kita, bagi sesiapa yang membaca buku tulisan Dr.Mashitah ini, mereka akan memahami bagaimana segala yang dijanjikan oleh pembangkang dalam buku jingga hanyalah angan-angan kosong. Selain itu, mereka juga akan dapat memahami sikap sebenar politik Pas yang semakin bercelaru kerana keterujaan untuk memburu kuasa bersama PKR dan DAP.

Selepas meninggalkan perjuangan negara Islam, Pas kini tertumpu pula kepada negara berkebajikan. Inilah sikap politik tidak konsisten Pas yang akan dikupas oleh Dr.Mashitah.

Selain buku 'Moderat - Antidot Barisan Nasional Menentang Politik Menghalalkan Cara', Perdana Menteri juga akan melancarkan buku bertajuk, 'Langit Terbuka' yang merupakan koleksi rencana tulis Dr.Mashitah dalam akhbar-akhbar. Buku ini mempunyai tujuh bab berkaitan dengan politik, sosial dan agama.

Buku ini sarat dengan kupasan-kupasan menarik dan informasi berguna untuk dijadikan rujukan oleh pembaca, bukan sahaja bagi mengenal sikap politik pembangkang khususnya Pas tetapi juga panduan untuk kita mencapai kemajuan dalam kehidupan yang diredai Allah SWT.

Apa pun, kehadiran dua buah buku ini amat berguna kepada mereka yang terlibat dalam politik tidak kiralah pemimpin mahupun penyokong untuk memahami realiti terkini politik negara. Ia dihasilkan bukan semata-mata untuk kepentingan politik BN mahupun UMNO tetapi bagi memberi kesedaran betapa pentingnya mempertahankan konsep kesederhanaan yang selama ini menjadi tunjang kekuatan negara.

Oleh itu melalui penghasilan buku oleh Dr.Mashitah ini, ia boleh digunakan oleh BN khususnya UMNO di semua peringkat menjadikan ia sebagai bahan rujukan dalam memberikan penerangan kepada rakyat.

Ini bagi membolehkan mereka memahami bahawa corak politik pakatan pembangkang yang berpaksikan kepada matlamat menghalalkan cara boleh memusnahkan impian untuk mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh.

Read more »

Rakyat Kelantan Jom Ubah

KERAJAAN Pas Kelantan seolah-olah tidak takut dengan Tuhan. Kalau diperhatikan dari mata hati, memang parti ini suka sangat mengambil tindakan populis. Ia dilakukan dengan ‘mengusik’ jiwa dan sanubari hati rakyat Kelantan meskipun kepemimpinannya amat sedar apa yang dijanjikan parti itu ketara sangat tidak realistik.

Apa kata orang Kota Bharu hari ini apabila diminta komen mereka terhadap kerajaan Pas Kelantan? Antara salah satu komen yang sama nadanya dalam ratusan keluhan orang Kota Bharu ialah sepanjang 22 tahun ini Pas langsung tidak buat (bina) rumah mampu milik.

Tambah kritikal lagi di Kota Bharu terutamanya harga tanah begitu mahal. Nilai seekar tanah sahaja tidak kurang RM2 juta. Kalau pihak swasta nak buat rumah mampu milik rakyat memang tidak berbaloi. Sebab itu kata orang Kota Bharu perlunya campur tangan kerajaan negeri. Tapi kelibat kerajaan negeri lesap dalam soal ini.

Memang suatu perkara biasa berbelas-belas orang tinggal dalam sebuah rumah dua atau tiga bilik di ibu negeri Kelantan ini. Anak yang sudah berkahwin, masih bujang pun masih tinggal serumah bersama orang tua. Untuk orang bandar berpindah ke kampung (luar Kota Bharu) nak cari rezeki banyak pula halangannya. Mereka bukannya ada dusun. Kalau ada dusun pun atau nak bercucuk tanam, ia tidak sesuai dengan orang bandar. Kerja cari makan di Kota Bharu adalah jual makanan, jual air dan lain-lain kecuali bertani.

Bukan sahaja selama 22 tahun tidak ada skim rumah rakyat ini, malah dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini banyak sangat kondominium mewah didirikan di sekitar Kota Bharu. Antaranya, Vista Court, Viana Court di Wakaf Che Yeh, Baituta, Sri Cemerlang (projek Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan) , Laguna Park di Jalan Telipot, Perumahan Pavilion di Tunjong. Harganya mahal - lebih RM260,000 termasuklah projek Lembah Sireh di sebelah Istana Kota Lama - didirikan apartmen dan kondominium mewah.

Banyak projek yang dirancang oleh kerajaan Pas Kelantan tidak menjadi. Tidak siap lagi pun jambatan Kampung Cina-Palekbang yang sudahpun diletakkan batu asas oleh Menteri Besarnya kira-kira 16 tahun lepas, dua bulan lepas pula habis dicanangnya hendak dibina lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang lebih 60 kilometer bernilai RM1.8 bilion. Duit yang nak membinanya, diminta daripada sumbangan dan derma ikhlas daripada rakyat Kelantan.

Namun seperti mana kebimbangan pelbagai pihak termasuk kecurigaan dalam kalangan pengikut Pas sendiri, ‘pisang mungkin berbuah dua kali’. Ia seperti mana banyak dipersoalkan ke mana menghilang sumbangan wang tunai yang dikutip Pas daripada orang ramai semasa dan sebelum ceramah dalam banyak siri pilihan raya kecil dan pilihan raya umum sebelum ini.

Bukan setakat jambatan, dulu sekitar 2004 dijanjikan kerajaan Pas negeri kepada pengundi nak bina pasar baru ekoran pasar Pasir Mas terbakar. Sudah dilangsungkan majlis penyerahan surat tawaran kepada kontraktor untuk memajukan pasar berkenaan, tapi pembinaannya sampai sekarang ‘tak nampak batang hidung’.

Salah seorang yang sudah ‘masak benar’ dengan ‘lakonan’ kerajaan Pas Kelantan itu ialah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh.

“Saya lihat hari ini terdapat peningkatan sokongan buat Barisan Nasional yang bukan sahaja daripada rakyat Kelantan sendiri, tetapi juga daripada mereka yang kini berada di luar negeri itu.

“Saya fikir antara sebabnya ialah wujudnya kesedaran diri sendiri yang kehidupan mak bapa dan saudara-mara mereka tidak berubah sepanjang 22 tahun ini. Macam terbantut sebab pemikiran kerajaan Pas Kelantan yang tetap mahu berbeza dengan Kerajaan Pusat," kata beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu ketika ditemui saya Jumaat lepas di Putrajaya.

Bagi Mohamad Fatmi, lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai yang diuar-uarkan Pas sebagai ‘lebuh raya rakyat’ tidak ubah seperti mana gimik biasa yang dilaungkan parti itu kepada rakyat Kelantan.

“Kalau saudara kata Pas bukan sahaja menipu rakyat tetapi juga Tuhan...saya tak tahulah...barangkali," katanya.

Mohamad Fatmi menarik perhatian mengenai program pembangunan di Kota Bharu. Kalau dikatakan Kota Bharu tak maju, tak membangun, itu tentulah tak betul. Pembangunan ada tapi banyak dilakukan pihak swasta. Maksudnya, tidak ada projek untuk menjana ekonomi.

Ini berbeza semasa pentadbiran Kelantan di bawah Menteri Besar, Tan Sri Mohamed Yaacob (allahyarham). Beliau bijak menaik taraf Hospital Kubang Kerian menjadi Hospital Universiti Sains Malaysia, yang seterusnya berfungsi sebagai pusat penjanaan ekonomi - menghasilkan pelajar perubatan dan doktor pakar.

“Tapi di Kelantan, bukan setakat hari ini, malah sepanjang Pas perintah Kelantan sejak 1990, tidak ada satupun projek-projek yang menjana ekonomi dibuat kerajaan negeri.

“Kalau bukan di Kubang Kerian, kena ada lah juga sekarang ni projek seumpama itu di jajahan lain. Dan hari ini saya sedang merancang untuk mendapatkan kelulusan kerajaan daripada Perdana Menteri dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi menubuhkan kampus kekal UiTm di Kota Bharu. Sekarang ni ada city campus di Kota Bharu tapi saiznya kecil dan disewa pula. Sebenarnya projek ini telah diluluskan empat tahun lepas (ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak Timbalan Perdana Menteri).

“Dulu waktu kita sewa di Jalan Sultan Ibrahim, bilangan pelajarnya sekitar 500 orang tapi hari ini city campus tu sudah mencecah 2,000 pelajar...tak muat tampung.

“Saya cukup percaya jika BN diberi peluang untuk menerima mandat rakyat Kelantan, impaknya tentu agak besar kepada ekonomi Kelantan," katanya.

Bagi beliau, perkara ini cukup serius.

“Hari ini kebanyakan rakyat Kelantan sudah semakin sedar. Suatu perubahan perlu dilakukan terhadap lanskap politik Kelantan termasuk Kota Bharu. Kita perlukan suatu perubahan radikal dengan menukar kerajaan negeri sedia ada (dalam PRU-13)," katanya.

Kota Bharu perlu perubahan besar. Menyentuh soal ini, Mohamad Fatmi memberitahu, beliau mahu bercakap mengenai peranan Pas dalam menyediakan ruang berniaga. Kalau dilihat di Kota Bharu, ada kelompok peniaga yang terpaksa membuka gerai tepi jalan. Di kawasan Parit Dalam pula, kelihatannya peniaga tidak mampu buka kedai dan gerai.

Jalan penyelesaiannya - jika boleh diwartakan kawasan berkenaan sebagai ‘uptown’ dan ‘walking mall’ untuk menarik kedatangan pelancong asing dan warga tempatan. Konsep ini banyak dilakukan termasuk tempoh hari di Muar, Johor. Dan ini semua belum termasuk soal bekalan air bersih lagi.

Pada masa sama, kedudukan masa depan sekolah-sekolah pondok di Kelantan juga boleh diperdebatkan. Apa jenis pembelaan yang dapat digerakkan oleh kerajaan negeri terhadap para pelajar? Namun, berdasarkan tinjauan akhbar ini, keadaan sekolah pondok di negeri itu agak daif yang tidak sesuai dengan label negerinya selaku ‘Serambi Mekah’. Cuma sekolah-sekolah pondok yang indah-indah semuanya berada di Pulau Melaka, di kawasan Menteri Besarnya.

“Orang belajar di sekolah pondok perlukan sistem pengiktirafan supaya boleh melanjutkan pengajian ke universiti. Ini semua saya yakin boleh dilaksanakan oleh kerajaan BN jika diberi peluang oleh rakyat, malah sehingga ke pembinaan Universiti Al-Quran pun kita akan usahakan," katanya.

Berpegang kepada prinsip ‘Bantu Saya Untuk Bantu Rakyat’, Mohamad Fatmi meminta rakyat Kelantan termasuk orang muda pulang ke negeri itu pada PRU-13. Ini untuk mengundi yang menentukan masa depan mereka.

Seperti mana nada pemimpin-pemimpin kerajaan dan pembangkang di Kelantan, pilihan raya umum kali ini akan menjadi titik penentu sama ada BN mampu memperoleh kembali mandat rakyat negeri.

PRU-13 adalah masa terbaik untuk BN menguji kembali kepercayaan rakyat Kelantan. Atau mungkin terpaksa menunggu setidak-tidaknya 10 hingga 15 tahun lagi jika pilihan raya umum kali ini masih tidak berpihak kepada Kerajaan Pusat. - Utusan Malaysia

Read more »

Warga Indonesia Menyerang Kedutaan Malaysia


PUTRAJAYA - Malaysia sama sekali tidak dapat menerima tindakan kekerasan yang membabitkan kepentingan negara ini di Indonesia dan komen-komen provokatif yang telah dilakukan oleh beberapa pihak di Indonesia kebelakangan ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, tindakan kekerasan oleh sekumpulan penunjuk perasaan yang dikatakan mewakili Pemuda Pancasila di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan dan di hadapan Wisma Malaysia di Menteng, Jakarta, pada 22 Jun lepas serta komen-komen provokatif oleh seorang anggota Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia dalam program "Neo Democrazy" siaran Metro TV pada 21 Jun lalu merupakan tindakan yang boleh dikecam.

"Adalah amat dikesali sekali tindakan liar dan komen-komen provokatif tersebut dibuat ekoran tuduhan meleset dan ketidakfahaman tentang rancangan atau rencana untuk melestari dan memelihara budaya warisan masyarakat Mandailing yang berasal dari Sumatera di Malaysia.

"Rancangan tersebut sememangnya tidak bermaksud bahawa budaya warisan berkenaan berasal dari Malaysia," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Anifah berkata, tindakan kumpulan penunjuk perasaan tersebut telah mengakibatkan kecederaan kepada seorang anggota keselamatan/pengaman Kedutaan Malaysia yang ditempatkan di Wisma Malaysia dan hampir mencederakan seorang anggota yang lain.

Kedua-dua anggota keselamatan yang bertugas merupakan warga Indonesia.

Katanya, tindakan kekerasan tersebut juga telah mengakibatkan kerosakan kepada bangunan Wisma Malaysia dan persekitarannya, di samping mengancam keselamatan pegawai dan kakitangan serta keluarga mereka yang ditempatkan di bangunan berkenaan.

"Berdasarkan hubungan istimewa dan saling menguntungkan yang telah sekian lama terjalin antara Malaysia dan Republik Indonesia, kerajaan Malaysia percaya bahawa kerajaan Indonesia akan mengambil langkah-langkah susulan sewajarnya dalam menangani tindakan agresif dan provokatif tersebut.

"Kerajaan Malaysia juga sebelum ini telah meminta dan terus berharap agar semua premis-premis kerajaan Malaysia dilindungi dari sebarang ancaman sejajar dengan peruntukan Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961," katanya.

Katanya, kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah mengemukakan dua nota diplomatik kepada Kementerian Luar Negeri Republik Indonesia pada 22 Jun lalu bagi menyampaikan pendirian, kekesalan dan keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap tindakan kekerasan dan provokatif tersebut.

Jelasnya, kedutaan Malaysia juga berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia bagi menangani perkembangan ini dengan lebih berkesan.

Sementara itu, Wisma Putra telah meminta Kuasa Usaha Sementara di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur supaya hadir esok di kementerian itu untuk menerangkan pendirian Malaysia berhubung perkembangan tersebut.

Read more »

Syed Ibrahim Syed Ahmad Melawat Mangsa Tanah Runtuh


KERDAU - Nasib sebuah keluarga di Kampung Guntong, dekat sini, yang mengalami masalah tanah runtuh di bahagian dapur rumah akhirnya terbela.

Kisah keluarga terbabit pernah disiarkan akhbar ini tahun lalu yang menyuarakan kebimbangan berikutan masalah tersebut menyebabkan bahagian dapur rumah mereka turut
terjejas.

A Latchumy, 67, berkata, dia gembira kerana masalah itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad yang datang melawat dan melihat sendiri masalah tersebut.

“Saya tidak sangka Adun datang melawat sendiri keadaan rumah ini. Keadaan tanah runtuh dekat longkang di belakang rumah saya menyebabkan bahagian dapur turut mengalami masalah.

“Saya bimbang jika tiada tindakan segera menyebabkan bahagian dapur turut runtuh sedangkan saya tidak mampu membaiki kerosakan itu,” katanya.

Latchumy berkata, kejadian tanah runtuh itu berlaku tahun lalu ketika mereka sedang tidur.

“Kami terdengar bunyi dentuman kecil. Ia memeranjatkan kami yang bimbang sekiranya ada orang cuba masuk ke dalam rumah. Setelah membuka pintu, kami terkejut apabila
bahagian kaki lima dapur, runtuh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Syed Ibrahim berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Pengairan dan Saliran yang akan mengambil tindakan dalam
masa terdekat.

Read more »

Bayi Maut Kemalangan Jalan Raya


BERA - Seorang bayi berusia lapan bulan bersama ibu bapanya maut dalam satu kemalangan apabila kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta jenis Honda Accord dari arah bertentangan. Mangsa, Mohd Solehuddin Jaabar Ismail, 28, Nor Ashikin Ismail, 28 dan bayi itu, Ahmad Habibi yang berasal dari Felda Sebertak dikatakan dalam perjalanan pulang ke Bahau setelah menghadiri majlis perkahwinan sahabat mereka.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, kemalangan itu berlaku kirakira jam 5.20 petang kelmarin di Kilometer 14, Jalan Temerloh–Bahau dekat sempadan Bera–Temerloh.

Menurutnya, kereta Honda Accord itu dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan hingga terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh kenderaan mangsa. “Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu Perodua Myvi (Mohd Solehuddin Jabbar) dan anaknya mengalami kecederaan parah serta meninggal serta-merta.

“Isteri mangsa pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh berikutan me- ngalami pendarahan yang teruk,” katanya.

Mohd Solehuddin merupakan pegawai perangkaan di Jabatan Perangkaan Kuantan, sementara Nor Ashikin pula bekerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Papan sebagai pembantu tadbir.

Difahamkan, rempuhan kuat itu juga menyebabkan berlaku kebakaran kecil di bahagian enjin kereta mangsa, namun ia berjaya dikawal anggota bomba. Mohd Zahid berkata, kereta Honda Accord itu dipercayai memasuki laluan bertentangan ketika cuba melepasi selekoh di jalan mempunyai garisan putih berkembar tersebut.

Katanya, pemandu Honda Accord itu, Chong Chun Yong, 33, turut mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hoshas.

“Siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu Honda Accord yang memandu laju di kawasan selekoh sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sehingga merempuh kenderaan mangsa.

“Saksi kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah menerusi talian 09-2502222 untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen (41) (1) APJ 1987 ini,” katanya. Difahamkan, semua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Sebertak, tengah malam kelmarin.

Read more »

Himpunan Menyokong Lynas

Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Pahang Mendukung Agenda Untuk Nasional (Daun) berjaya menarik kira-kira 10,000 orang untuk berhimpun di Teluk Cempedak di sini semalam bagi menyokong usaha dan dasar kerajaan berhubung kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng di sini.

Penyelaras Daun, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, antara program yang dilaksanakan dalam perhimpunan itu yang berlangsung dari awal pagi hingga tengah malam tadi adalah menanam pokok yang diberi nama Lynas sebagai gimik sokongan.

Aktiviti lain ialah senaman, persembahan kebudayaan, meditasi alam dan penerangan mengenai operasi kilang Lynas Malaysia Sdn. Bhd. menerusi skrin besar, katanya kepada pemberita di sini.

"Tujuan utama penganjuran adalah untuk menyampaikan sokongan terhadap pembinaan kilang Lynas yang telah diperjelaskan oleh pakar-pakar berhubung tahap keselamatannya.

"Dan majoriti yang hadir merupakan golongan muda dari serata pelosok tanpa dinaungi atau didalangi oleh mana-mana parti politik," katanya.

Katanya, Daun juga akan ke sekolah, kawasan rukun tetangga dan lain-lain tempat untuk memberi penerangan dan ceramah dan mengedarkan buku penerangan mengenai operasi kilang Lynas.

Read more »

Saturday, June 23, 2012

Kanak Kanak Patah Kaki DIlanggar


BANDAR TEMERLOH - Seorang bapa kesal dengan pengurusan sebuah sekolah di daerah ini kerana membiarkan kenderaan luar masuk ke pekarangan sekolah sehingga menimbulkan bahaya kepada murid.

Mohd Nizam Ismail, 36, mendakwa, anaknya, Jannatul Izzati, 5, menjadi mangsa kecuaian itu apabila dilanggar sebuah motosikal di pekarangan sekolah.

Menurutnya, kejadian berlaku 12 Jun lalu, kira-kira jam 12.10 tengah hari ketika anaknya mahu pulang selepas tamat kelas prasekolah.

“Saya kesal kerana tidak sepatutnya pihak sekolah membiarkan kenderaan ibu bapa masuk ke kawasan sekolah.

“Semasa kejadian, seorang remaja lelaki mahu mengambil adiknya yang juga murid prasekolah pulang. Dia meletakkan adiknya duduk dalam raga motosikal sambil enjin kenderaan itu masih hidup,” katanya.

Mohd Nizam berkata, secara tidak sengaja kanak-kanak terbabit telah memulas minyak motosikal berkenaan lalu melanggar Jannatul Izzati yang berada berdekatan kawasan itu.

“Pada hari itu saya tidak mengambil anak saya kerana terpaksa bekerja dan saya minta tolong jiran untuk ambilnya di sekolah.

“Akibat kemalangan itu anak saya patah kaki kiri. Nasib baik ada pengusaha kantin yang sudi hulurkan bantuan dan segera bawa anak saya ke hospital,” katanya.

Berikutan kejadian itu, dia berharap pihak pengurusan sekolah dapat mengetatkan kawalan dengan tidak membenarkan kenderaan ibu bapa atau penjaga yang menghantar dan mengambil anak masuk ke kawasan sekolah bagi mengelakkan perkara sama berulang.

Read more »

Remaja Nyaris Maut


LIPIS, FELDA SUNGAI KOYAN - Seorang remaja nyaris maut apabila kereta yang dipandu terbalik selepas terhumban ke dalam longkang di Kilometer 1, Jalan Kuala Lipis- Sungai Koyan di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, remaja terbabit, Norazian Ahad, 19, hanya mengalami kecederaan ringan.

Norazian ketika ditemui berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari rumah di Padang Tengku untuk mengambil kakaknya di Felda Sungai Koyan.

Menurutnya, bagaimanapun hasrat itu tidak kesampaian apabila kereta jenis Honda yang dipandu terbabit kemalangan.

“Kereta saya hilang kawalan dan berpusing beberapa kali ketika melalui satu laluan berselekoh sebelum tersasar ke kiri jalan dan terhumban ke dalam longkang.

“Akibat kejadian, kereta saya terbalik dengan keempa-tempat tayar ke atas,” katanya ketika ditemui di lokasi
kejadian, kelmarin.

Norazian yang berjaya keluar dari kenderaannya yang terbalik bersyukur kerana terselamat namun dia mengakui masih trauma dengan kemalangan yang nyaris meragut nyawanya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan mengesahkan beliau menerima laporan berhubung kemalangan tersebut.

Menurutnya, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika melalui selekoh di laluan berkenaan menyebabkan kereta yang dipandu terbabas sebelum terbalik ke dalam longkang.

“Pemandu dinasihatkan supaya lebih berhati-hati memandu terutama di kawasan selekoh bagi mengelakkan kemalangan,” katanya.

Read more »

Nama Parti Islam Tidak Bermakna Mereka Beriman


DALAM Islam satu perkara yang cukup dititik beratkan ialah menunaikan janji. Sebab itulah Allah SWT berfirman dalam surah Al-Isra, ayat 34 yang bermaksud:

"...Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya."

Menunaikan janji begitu penting dalam Islam sehingga mereka yang memungkirinya dianggap sebagai munafik seperti maksud hadis ini: Tiga perkara, sesiapa yang memilikinya ia dianggap munafik iaitu orang yang apabila ia bercerita ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila diamanahkan (sesuatu ) ia khianat.

Selain itu Allah juga berfirman dalam surah Al-Saff ayat 2 dan 3 yang bermaksud;

"Wahai orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."

Oleh itu janji tidak harus dilafazkan begitu sahaja tanpa ada iltizam untuk menunaikannya dengan bersungguh-sungguh apatah lagi jika ia dilakukan oleh mereka yang bertaraf pemimpin.

Dalam konteks politik negara sekarang, kita melihat bagaimana sesebuah parti begitu mudah melafazkan janji itu dan janji ini kepada rakyat. Mereka berjanji macam-macam ibarat mahu memetik bintang dan bulan di langit bagi meraih sokongan rakyat.

Tetapi kesudahannya apabila kuasa diberikan oleh sebahagian rakyat yang terpengaruh dengan janji-janji manis tersebut, akhirnya rakyat berkenaan mula menyedari betapa mereka menjadi antara golongan yang terpedaya.

Sebab itulah, kenyataan Dekan Fakulti Syariah Universiti Al-Bayt, Jordan Syeikh Dr.Mohammad Ali Ibrahim Alzoghool yang mengingatkan rakyat negara ini supaya memilih parti yang mampu melaksanakan setiap manifesto dijanjikan tidak harus dipandang remeh.

Mungkin bagi penyokong-penyokong parti pembangkang terutamanya Pas yang turut dipimpin oleh sebahagian ulama, kenyataan itu berbaur politik memandangkan ia diucapkan ketika Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin yang dianjurkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), baru-baru ini.

Tetapi pokok pangkalnya ialah kita harus mengkaji kebenaran di sebalik saranan itu dan bukannya melihat ia daripada sudut politik semata-mata.

Ini kerana janji yang dilafazkan di hadapan rakyat bukan sekadar persoalan kehidupan di dunia malahan ia akan dipertanggungjawab di akhirat kelak.

Mungkin di dunia, boleh sahaja antara kita berhujah, "…dia tidak setuju dia punya fasal…" Persoalannya apakah hujah yang hendak kita ketengahkan itu berlandaskan kepada seruan Islam yang sebenar-benarnya atau demi kepentingan politik?

Sejarah politik negara sudah membuktikan bagaimana Pas yang suatu ketika begitu bersemangat memperjuangkan Islam tidak berdaya melaksanakan banyak janji yang dibuat semasa pilihan raya.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Kedah dan Kelantan terlalu banyak janji yang sekadar menjadi hiasan dalam buku atau risalah manifesto pilihan raya.

Sememangnya rakyat tidak berdaya berkata apa-apa lagi kerana keputusan sudah dibuat, tambahan pula sebahagian mereka mengundi Pas kerana merasakan parti itu akan memperjuangkan Islam seperti mana yang sering mereka laung-laungkan.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, Pas bukan sahaja tidak berdaya menunaikan janji malahan kesepakatan yang dicapai bersama sekutunya juga tidak mampu dilaksanakan.

Bagi umat Islam di negara ini, dalam kita berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dianggap bakal menjadi penentu kepada nasib agama, bangsa dan negara kita maka berfikirlah dengan matang.

Janganlah mudah terpengaruh dengan hujah-hujah berbentuk Islamik tetapi apabila diberi amanah pihak berkenaan gagal menunaikan janji yang dibuat malahan memberi seribu alasan kenapa ia tidak dapat dilaksanakan termasuklah menyalahkan lawan politik mereka.

Kita harus faham, sebagai umat Islam sudah tentulah kita mahu syiar Islam terus diperteguh dan diperkukuhkan di negara ini dalam apa juga bidang tetapi ia bukan boleh dilakukan melalui slogan, janji kosong atau retorik semata-mata.

Sebaliknya, selain komitmen yang jitu serta keikhlasan, kita juga perlu mengkaji sejarah politik negara pihak mana yang lebih dilihat berjaya melaksanakan amanah berkenaan.

Menuduh orang lain memperjuangkan nasionalis dan menolak Islam memang mudah, mengatakan mengundi parti kita akan memperolehi pahala memang senang dan menguar-uarkan bahawa kita perjuang Islam memang boleh dilakukan.

Tetapi apakah benar orang yang berkata demikian jauh lebih baik daripada orang yang 'diumpatkan' itu? Sebab itulah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

"Janganlah kamu sekelian dengki-mendengki, janganlah benci-membenci, janganlah menambah harga terhadap barang yang hendak dibeli oleh saudaramu, janganlah musuh-memusuhi, jangan umpat-mengumpat sesetengah kamu dengan sesetengah yang lain, dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara."

Sememangnya kadang kala kita berasa bosan dan menganggap begitu angkuh sekali sesetengah pemimpin Pas yang secara bulat-bulat menolak hujah ulama-ulama terkemuka dalam sesuatu isu yang boleh dikaitkan dengan parti tersebut.

Namun kita juga harus memahami begitulah sikap Pas yang semakin termakan dengan janji-janji politik merebut kekuasaan bersama-sama dengan PKR dan DAP.

Walaupun hujah para ulama berkenaan dilakukan demi kesejahteraan umat Islam di negara ini secara keseluruhannya tetapi ia begitu sukar untuk diterima oleh Pas.

Ada sahaja hujah yang akan dikeluarkan termasuklah mempertahankan pendirian mereka mengenai keperluan menangguh ibadat haji semata-mata bagi menghadapi pilihan raya.

Semua ini sebenarnya hanya akan merugikan umat Islam kerana kita akan terus berpecah-belah kerana hujah-hujah berlandaskan agama demi kepentingan politik yang dilemparkan oleh ulama-ulama tertentu.

Oleh itu adalah wajar, umat Islam yang akan menentukan kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang berfikir dengan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan.

Tidak salah untuk terus menyokong usaha menegak dan memperkembangkan Islam tetapi pilihlah mereka yang benar-benar layak serta berupaya untuk berbuat demikian.

Ini kerana seperti mana yang dikatakan oleh Syeikh Dr. Mohammad Ali Ibrahim Alzoghool, nama bagi parti tidak penting sebaliknya kemampuan melaksanakan janji-janji kepada rakyat, berkhidmat untuk rakyat seharusnya menjadi sandaran sebagai parti pilihan.

Dalam soal ini, dengan fikiran yang jernih dan lapang serta mengingati Allah SWT sebanyak-banyak kajilah perjalanan perkembangan Islam di negara ini, apakah ia terus terperuk atau semakin cemerlang sehingga memungkinkan Malaysia bukan sahaja menjadi negara Islam contoh tetapi juga umat Islamnya semakin maju dalam pelbagai bidang.

Ingatlah, para pemimpin yang tidak berhujah berlandaskan kepada ajaran Islam sebenar sebaliknya hanya memikirkan kepentingan politik semata-mata mampu membawa 'bencana' kepada umat Islam di negara ini. Semoga Allah SWT memberi kita petunjuk!

Read more »

Friday, June 22, 2012

Budaya Pembangkang Mengancam Keselamatan Negara


AKHIR-AKHIR ini begitu banyak penafian dilakukan apabila pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang didedahkan dengan pelbagai isu peribadi yang boleh menggoncangkan kedudukan sebagai orang penting dalam parti.

Terbaru, skandal dinar emas yang melibatkan kerugian berjuta ringgit tetapi dalam masa sama menjelaskan ‘tidak kenal orang yang disyaki terbabit’.

Sindrom penafian bukanlah satu perkara baru. Ia sudah berakar umbi sejak lama apabila ada pemimpin sanggup mencipta pelbagai teori songsang demi mendapat kuasa walaupun pada hakikatnya “untung seguni" dalam jangka pendek tetapi “rugi sekampung" dalam jangka panjang.

Sewaktu pembangkang memerintah Terengganu dahulu dengan angkuhnya menolak pembesaran lapangan terbang yang diusahakan oleh kerajaan terdahulu kerana tidak mahu melihat negeri itu menjadi hab penerbangan utama di Pantai Timur. Bagaimanapun setelah Barisan Nasional (BN) kembali memerintah pada 2004, projek itu dilakukan sehingga Terengganu menjadi hab penerbangan jemaah haji bagi Pantai Timur dan mampu menampung keperluan pendaratan bagi pesawat sebesar Airbus.

Ketika Jambatan Pulau Pinang dalam peringkat kelulusan pembinaannya pada awal tahun 1980-an, pembangkang dengan lantangnya mengkritik projek itu membazir dan tidak perlu kerana lebih ramai rakyat memerlukan pelbagai kemudahan.

Tetapi apabila mengambil alih Pulau Pinang pada 2008, mereka terus menggesa agar Kerajaan Pusat tidak memberhentikan cadangan untuk membina Jambatan Pulau Pinang kedua yang menghubungkan Batu Kawan di bahagian tanah besar dengan Batu Maung di pulau.

Apabila meneliti cerita yang lebih lama kita juga akan menemui bagaimana golongan ini pernah berjanji akan melelong Putrajaya jika mereka menang dalam pilihan raya, tetapi kini mereka begitu yakin akan menang dan merampas Putrajaya.

Tiada lagi kedengaran akan dilelong semua projek yang pernah dianggap membazir dan mega pada suatu ketika dahulu, sebaliknya sedang mencongakkan keuntungan, bila menang aset manakah yang bakal meraih keuntungan dan siapakah pula yang akan memilikinya.

Pemimpin pakatan pembangkang sentiasa menaburkan janji, jika menang akan diberikan pelbagai kemudahan, tetapi sampai sekarang belum pun ada projek yang mereka laksanakan memberikan faedah kepada rakyat setelah hampir sepenggal memerintah Pulau Pinang, Kedah dan Selangor serta lebih 22 tahun di Kelantan.

Apabila rakyat mempersoalkan janji yang dibentuk ketika kempen pilihan raya, mereka memberikan alasan bahawa tetap akan dilaksanakan jika merampas Putrajaya.

Selain hanya tahu berjanji dan menafikan kesalahan sebagai helah menutup kelemahan, parti pembangkang jugalah merupakan pengguna atau penerima faedah daripada penolakan yang pernah dilakukan di peringkat permulaan.

Ketika kerajaan Pusat bercadang untuk memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia sebanyak RM500 setiap keluarga yang miskin, parti pembangkang membuat tafsiran ia adalah sogokan politik kerana terdesak untuk menang pilihan raya.

Disebabkan ramai rakyat mula merasakan faedahnya pemberian tersebut, parti pembangkang mula mengaitkan pemberian itu sebenarnya cadangan mereka sebagaimana dijanjikan dalam Buku Jingga. Dalam masa sama, apabila merasakan ada peluang untuk meraih sokongan golongan muda, pakatan pembangkang turut mengeluarkan hasrat akan menghapuskan dana pinjaman pelajar kerana kaedah itu tidak boleh dipertahankan dan membebankan pelajar.

Atas rasa ingin menguji sejauhmanakah mereka mampu melaksanakan pendidikan percuma, sebuah institut pengajian tinggi swasta yang dikawal oleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran parti tersebut ditangguhkan sementara waktu untuk pembiayaan pelajar baru.

Akibat penangguhan itu, kerajaan Selangor bercadang mencairkan aset, yakni menjual tanah dan hasil jualannya sebanyak RM30 juta akan dijadikan asas dana pendidikan percuma.

Sebahagian rakyat Malaysia mula memikirkan apakah jumlah tersebut mencukupi dan mampu menampung pembiayaan dalam tempoh lama?

Jika sudah kehabisan, berapa banyak lagikah tanah kerajaan akan dijual? Dalam masa sama, mereka pantang melihat adanya tanah kerajaan yang kosong, akan dicadangkan pelbagai projek komersial termasuk mengambil semula tanah yang diperuntukkan untuk kemudahan rekreasi dan digazetkan sebagai kawasan hijau.

Demikian juga dengan parti sinonim dengan berasaskan Islam turut tidak mementingkan kesejahteraan rakyat untuk memperoleh pendidikan agama dengan lebih baik. Ketika berkuasa di Terengganu, tiada sebuah sekolah agama pun dibina dalam tempoh empat tahun manakala setelah merasakan kedudukan politiknya terancam turut sama dengan sekutunya untuk menentang pula pembinaan sekolah agama rakyat di Perak atas alasan mengurangkan tanah yang diperuntukkan untuk rekreasi.

Mengenai projek pemprosesan bahan nadir di Gebeng, Kuantan mereka sanggup berbohong kepada rakyat kononnya projek itu akan membahayakan penduduk sekitar dengan kemungkinan kebocoran radioaktif. Projek itu bukanlah projek yang boleh disamakan dengan radiasi yang berlaku di Fukushima, Jepun dan projek Lynas telah diakui mempunyai tahap keselamatan yang tinggi. Mereka tidak mempedulikan pandangan pakar, mereka mencari sudut tertentu yang boleh dieksploitasi sehingga membentuk teori songsang yang boleh mengelirukan masyarakat.

Allah SWT mengingatkan umat Islam untuk berwaspada dan berhati-hati menanggapi sesebuah isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda tersembunyi. Allah berfirman yang maksudnya “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini -dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (al Hujurat: 6).

Ayat di atas dengan tegas memperingatkan umat Islam agar tidak mudah termakan oleh sesuatu isu atau berita yang tidak tentu kebenarannya. Umat Islam digesa untuk menyelidik dan memastikan isu-isu dan berita yang disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Apatah lagi isu dan berita itu disebarkan pembangkang yang mempunyai agenda politik tertentu bagi menjatuhkan maruah dan kewibawaan kerajaan.

Suatu ketika dahulu mereka menentang Kerajaan Pusat ‘menjual negara dan kelebihan alam semula jadi dengan flora dan fauna’ kepada negara luar bagi menjana pendapatan menerusi pelancongan’, kini merekalah sebenarnya menerima faedah besar daripada kempen itu. Kelantan misalnya, pada masa kini amat mengharapkan kehadiran pelancong, kerana ia akan membolehkan sektor perniagaan, peruncitan, perhotelan dan pengangkutan berkembang sehingga menyebabkan Kota Bahru begitu sendat dengan kenderaan pada musim cuti sekolah.

Bagaimanapun dalam menikmati faedah daripada apa yang dilaksanakan oleh kerajaan Pusat, parti pembangkang tidak pernah membuat penilaian objektif, kesenangan dan kesejahteraan hidup pemimpin-pemimpin mereka adalah kerana dasar pragmatik, dan bukannya sekadar tahu berjanji. Baru-baru ini, terasa ada sedikit kejanggalan pendapat salah seorang pemimpin pembangkang dengan angkuhnya mendabik dada dengan menulis pembangkang yang menyumbang kepada perubahan dan pembaharuan.

Dari segi teorinya, sumbangan pembangkang perlu dalam sistem politik demokrasi sebagai check and balance. Pembangkang boleh menjadi penegur atau ombudsmen sebagaimana pernah dinyatakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri, dan dalam masa sama, siapakah pula yang akan menjadi ‘pengawas’ bagi menegur pembangkang.

Walau apa pun istilahnya, peranan pembangkang di Malaysia tidak lebih daripada tukang tolak dan tukang pukul yang tidak pernah menunjukkan sikap kerjasama untuk kepentingan rakyat. Apabila terdesak, pakatan pembangkang memasang lukah dan kemudiannya, lukah itu juga yang mereka gunakan untuk menafikan musuh politiknya sebagai tidak ikhlas.

Masyarakat mungkin tidak boleh melupakan bagaimana apabila UMNO sedia melaksanakan perintah Allah dengan siapsiaga bermuzakarah atas prinsip memperkukuhkan kedudukan Melayu-Islam, salah seorang pemimpin pembangkang menunjukkan sikap berdolak-dalik. Akhirnya niat yang baik itu hanya tinggal sekadar niat yang tidak ikhlas, manakala bila ada orang lain memberikan pendapat atas keputusan tersebut, pemberi pendapat itu kemudiannya disalahkan sebagai ‘orang tua gatal mulut’.

Semakin ghairah membina teori politik songsang, maka selagi itulah pakatan pembangkang akan terus bermain dengan kata-kata kesat sebagai kaedah penafian atau sindrom paku berkarat. Paku berkarat kalau masih boleh digunakan untuk mengikat kayu, ikatan itu tidak akan kukuh, ia akan tercabut dan menimpa orang lain. Rakyat akan terus menjadi mangsa, jika terpijak parutnya sukar untuk disembuhkan manakala sakitnya mengambil masa lama untuk pulih.

Kita mungkin boleh belajar, bagaimana Arab Spring yang lahir dalam semangat menentang pemerintah akhirnya terjerat dengan kepentingan pengaruh asing, terutamanya dalam menjayakan hasrat Israel dan Amerika Syarikat untuk memperkuatkan dasar imperialismenya ke atas negara Islam yang mempunyai sumber minyak yang besar. Biarpun sudah berlalu lebih setahun, Mesir belum pulih; saban minggu dan bulan kedengaran ada rusuhan serta kematian.

Bukankah ini bermakna, meruntuhkan apa yang sudah kita bina berdekad lamanya adalah lebih mudah berbanding membina semula keamanan dan kestabilan politik yang telah runtuh itu?

Oleh DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN
MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah
Islamiah Malaysia (Yadim)

Read more »

share2