Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 31, 2012

TEMUBUAL THE STAR DENGAN TUNKU AZIZ




Oleh: Beruang Biru

Mana agaknya Lim Guan Eng nak sorok muka dengan pendedahan terbaru Tunku Abdul Aziz Ibrahim ini. DAP selalu mengambarkan ia sebuah parti yang ‘baik-baik’,tak main duit dan sogok jawatan.
Apa yang berlaku pada Naib Pengerusi DAP yang letak jawatan Selasa membuka habis pekong yang terselindung selama ini. Dalam interbiu dengan akhbar The Star yang disiar Rabu,Tunku Aziz mendedahkan Guan Eng ada menelefon pada hari Ahad lalu untuk memujuknya jangan keluar parti.
Ganjaran yang menjadi umpan Ketua Menteri Pulau Pinang itu ialah fellow dalam badan pemikir Penang Institute yang membolehkannya ‘berjalan sakan’  Katanya kemudianya Setiausaha Politik Ketua Menteri itu,Zairil Khir Johari pula menelefonnya bagitau tawaran itu datang dengan ganjaran elaun RM50,000.
Ini semua sebagai ganti jawatan Senator beliau yang tidak disambung semula. Tunku Aziz bukanlah orang sebarangan.Beliau adalah bekas penasihat Bank Negara dan bekas Naib Presiden Tranparency International.
Nak main-main dengan orang macam ini ..maka Guan Eng kena sebijik dimuka bila beliau sifatkan Setiausaha Agung DAP itu ‘biadap’. Katanya mereka tiada adap dan tiada rasa hormat pada orang. Lebih teruk lagi Tunku Aziz kata Guan Eng orang yang tidak boleh dipercayai.
Katanya keputusan letak jawatan parti itu adalah muktamad dan tidak boleh dipujuk lagi.
BERIKUT KAMI SIARKAN SEDUTAN TERJEMAHAN TEMUBUAL TUNKU ABDUL AZIZ DENGAN THE STAR
Terjemahan temubual bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dengan The Star Rabu.
S: Bagaimana malam tadi (selepas umum keluar DAP) ?
A: Saya fikir ia lancar, telefon saya tidak berhenti berdering selama dua jam. Saya terpaksa untuk mematikannya kerana terlalu banyak panggilan masuk dan juga  SMS yang diterima dari seluruh negara.
S: Adakah anda tahu berapa banyak panggilan anda terima?
Cukup banyak, Ssaya tidak tahu siapakah mereka, kerana mereka bukan orang yang  saya kenali, kerana jika tidak nama mereka akan muncul di skrin. Saya percaya sesetengahnya mungkin wartawan, saya jawab hanya satu, yang saya kenal (wartawan) dari Sin Chew, saya katakan bahawa tiada apa lagi yang hendak dikatakan malam ini selepas apa yang saya katakan di TV. 

 S: Adakah terdapat panggilan dari pemimpin-pemimpin parti DAP?
Tiada. Tiada sesiapapun. Mesej yang datang daripada ahli parti. Semua mengatakan bahawa mereka menghormati keputusan saya dan mereka dan kesal kerana saya telah membuat keputusan untuk keluar parti.
S: Adakah anda memberitahu pemimpin DAP sebelum perletakan jawatan anda disiarkan media bahawa anda akan berhenti? 

Sebelum ini, sejurus selepas Bersih, saya telah sebutkan dalam e-mel saya kepada Setiausaha Agung DAP (Lim Guan Eng) bahawa memandangkan apa yang mereka katakan bahawa wujud sentimen (rasa tidak puas hati) terhadap saya. Saya kata, saya akan meletakkan jawatan dari CEC. Dan selepas waktu yang sesuai, saya akan meletak jawatan dari parti jika ia akan memulihkan keharmonian dalam DAP. Mereka tidak menjawab, tetapi Lim Kit Siang ada datang ke rumah saya, dua kali, yang pada dasarnya untuk mengatakan bahawa beliau berharap sangat ia tidak berlaku (letak jawtan dan keluar parti).
S: Adakah itu kunjungan biasa tanpa urusan rasmi?
Kit Siang dan saya cukup serasi, kami bersahabat. Jadi kunjungan tersebut adalah kunjungan mesra,  antara dua sahabat. Lawatan terakhir tempat minggu lepas. Tetapi mereka tahu bahawa saya akan memberikan interbiu (kepada NTV 7) kerana saya memberitahu Ketua Staf Ibu Pejabat parti untuk memberitahu semua ahli CEC bahawa saya akan ditemubual (oleh NTV 7). Saya mengandaikan mereka dapat menduganya.
S: Apakah tiada sesiapa pujuk dan berkata Tunku, tidak payah ke udara ?
Kit Siang mengatakan beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan saya, beliau tidak berkata jangan ke udara, dia tahu bahawa saya akan menggunakan kebijaksanaan saya. Ketakutan utama mereka adalah bahawa ini (temubual tersebut) mungkin akan dieksploitasi.
Saya mahu ia menjadi jalan keluar yang bermaruah, dan berlaku adil. Kerana saya tidak melawan parti. Saya tidak setuju dengan sikap setiausaha agung. Khususnya apabila beliau mula-mula bertemu dengan saya, (selepas kritikan terhadap Bersih) beliau menuduh saya bertentangan dengan pendirian parti yang menyokong Bersih. Saya tidak apada bila-bila masa menentang Bersih.  Saya sentiasa menyokong Bersih untuk apa Bersih perjuangkan.
Saya bercakap untuk pilihanraya yang bebas dan adil beberapa kali. Tidak sebagai naib pengerusi DAP tetapi dalam kapasiti saya yang lain. Jadi untuk mengatakan bahawa Tunku menentang Bersih yang mana parti dan Pakatan Rakyat telah bekerja keras untuk menjayakannya, adalah tidak jujur. Entah bagaimana ia tidak berkeupayaan untuk melihat perbezaan di antara menyokong aktiviti bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil, dan tidak menyokong aktiviti yang melanggar undang-undang. Terdapat perbezaan yang saya fikir mereka sengaja diabaikan. Lim Guan Eng menuduh saya sesuatu yang tidak saya lakukan.
S: Adakah anda akan mengatakan bahawa hubungan anda dengan Guan Eng tidak begitu mesra walaupun sebelum ini anda telahdijemput oleh bapanya, apakah anda rasa si anak tidak benar-benar berminat dengan anda?
Hubungan saya dengan Guan Eng sebelum ini mesra. Kedua-dua mereka (Kit Siang dan Guan Eng) yang menjemput saya, dan kerana penghormatan saya untuk Kit Siang, saya tidak teragak-agak sedikitpun(selepas dijemput)  kerana merasakan ini akan memberikan saya peluang untuk berada dalam parti tanpa menjadi seorang ahli politik, dan merupakan peluang untuk meneruskan kerja saya mempromosikan integriti, kedua-dua dalam kerajaan dan sektor korporat. Dalam erti kata lain, peluang untuk terlibat dalam membanteras rasuah, yang merupakan misi utama saya. Kerana tiada pihak lain yang sebenarnya secara terbuka berkata, anda tahu, kami akan memerangi rasuah kecuali DAP. Ia amat menarik.
S: Ini adalah usaha pertama anda ke politik?
Sudah tentu.
S: Adakah anda menyesal, empat tahun kemudian perlu meletakkan jawatan dari parti?
Saya rasa saya sedikit naif apabila memikirkan bahawa idealisme yang saya pegang adalah sebenarnya idealisme yang DAP amalkan. Saya tidak tahu mengenai parti-parti politik yang lain tetapi saya menjangkakan mereka lebih kurang sama.
S: Sebagai seorang yang sentiasa berjuang menentang perkara-perkara yang tidak beretika, apakah anda akan mengatakan DAP sebuah parti yang beretika selepas empat tahun berada di dalam?
Saya tidak akan berkata begitu. Sebagai contoh ... salah satu daripada pemimpiun utama parti menubuhkan Cafe Roket di Petaling Jaya, dan ini dilakukan tanpa kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Dan apabila ada ahli lain mempersoalkan perkara ini, ia hanya ditolak di bawah karpet dan tiada tindakan diambil. Bagi saya, ia tidak cukup ini kerana Pakatan Rakyat adalah kerajaan Selangor dan DAP mempunyai ahli majlis yang dilantik di Selangor, PJ. Walaupun orang mengatakan "oh, ini perkara kecil", bagi saya, ia adalah isu asas yang penting kerana kamu telah melanggar undang-undang kamu sendiri. Dan jika itulah sikap kamu terhadap undang-undang yang telah dibuat itu, pada saya, ia menunjukkan keadaan pentadbiran yang sangat menyedihkan dan pertimbangan yang buruk.

S: Adakah anda membangkitkan isu ini?
Saya bangkitkan isu ini, tetapi saya tahu ia bukan isu yang mereka mahu dengar. Dan jika anda lihat baru-baru ini laporan Dr Cheah dalam akhbar The Star (ADUN Damansara Utama Dr Cheah Wing Yin), ini adalah isu yang sama. Terdapat orang baik dalam DAP yang mahu melihat bahawa kita melakukan perkara dengan cara yang beretika, tetapi terdapat orang lain yang anda tahu hanya akan pergi ke hadapan dan  melanggar peraturan mereka sendiri. Jika anda melakukan ini, lambat laun orang akan bertanya, bolehkah orang-orang ini benar-benar dipercayai untuk tugas yang lebih besar?
S: Apakah ada perkara-perkara lain yang membimbangkan anda dalam pentadbiran Selangor?
Saya berfikir bahawa secara berpasukan mereka telah mentadbir dengan baik, kita perlu beri kredit untuk itu. Tetapi ada seorang dua dua anggota exco mereka perlu diletakkan di bawah pemantauan teliti. Saya fikir apa yang Dr Cheah ketengahkan sebahagian kecil masalahnya.
S: Pulau Pinang.. adalah lebih baik daripada Selangor?
Saya fikir Pulau Pinang diurus dengan baik. Saya akan berkata ia ditadbir dengan baik, tetapi terdapat perkara-perkara yang perlu diperbaiki. Antara perkara yang membimbangkan ramai orang adalah hakikat bahawa selepas beberapa tahun mentadbir negeri tersebut, kerajaan negeri masih gemar menyalahkan pentadbiran kerajaan sebelum ini, ia kelihatan seperti tukang yang tidak pandai menyalahkan perkakas.
S: Anda dikenali sebagai seorang yang berintegriti, apakah Bersih satu-satunya masalah anda dengan kepimpinan parti, apakah ada isu-isu lain?
Bersih yang melebarkan jurang ketidak sefahaman kami. Tetapi jelas, seperti mana-mana organisasi atau parti, wujud perkara-perkara yang tidak mengembirakan anda, tetapi tidaklah sampai anda berfikir mahu keluar parti. Tetapi bagi saya, isu etika adalah penting. Isu-isu integriti adalah penting. Itulah mungkin sebabnya saya naif, kerana saya percaya bahawa integriti adalah samada anda mempunyai atau tidak sama sekali. Anda tidak boleh mengatakan, anda tahu, ya, ini adalah 70 peratus ...
Tidak ada separuh-separuh untuk intergriti, samada mempunyainya atau tidak. Sebagai contoh, apabila PBT memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap penjaja haram, salah seorang dari pemimpin utama parti campur tangan dan mengatakan tidak boleh mengambil apa-apa tindakan kepada orang ini kerana mereka adalah penyokong parti. Bagi saya, ini adalah satu perbuatan serius yang menganggu sistem operasi dan pentadbiran kerajaan tempatan.
Ramai orang kita lupa bahawa kerajaan tempatan adalah pengalaman awam pertama berurusan dengan kerajaan. Ramai daripada mereka tidak berurusan dengan Putrajaya atau mana-mana kementerian, tetapi bagi orang biasa seperti anda atau saya yang tinggal di daerah atau kawasan tertentu, ia semua kerajaan tempatan.
S: Adakah Tunku Aziz seorang Melayu akan menerima layanan yang sama jika beliau merupakan Cina Malaysia? Jemputan anda, jawatan yang anda lepaskan apakah ada kena mengena dengan perkauman?
Saya tidak fikir begitu. Kecuali, saya berurusan dengan seseorang yang nampaknya tidak boleh melihat gambaran keseluruhan. Saya menyokong Bersih tetapi saya tidak menyokong melanggar undang-undang. Semudah itu. Anda boleh periksa, saya tidak menentang Bersih, saya menantang pendirian mahu duduk dan bantah di Dataran Merdeka kerana mahkamah telah
mengeluarkan perintah larangan. Mereka mengatakan, ia bukan milik DBKL. Tetapi bagi saya, sesiapa yang menjaga tempat itu, mereka mempunyai tanggungjawab.
S: Jadi, apa seterusnya?
Saya memberikan pertimbangan yang sangat berhati-hati untuk ini (keluar parti). Tindakan yang saya bukan dibuat ketika marah, saya berbincang dengan keluarga terdekat dan rakan-rakan rapat saya, dan semua berkata perkara yang sama. Parti jelas tidak bersedia untuk menempatkan seseorang seperti saya. Saya dikenali akan meluahkan apa saja, (yang dirasakan benar) dan bukan seorang yang hanya komen yang baik-baik sahaja, pada saya, itu tidak beretika.
Masa depan... apabila saya menyertai parti, saya tidak mempunyai cita-cita lain kecuali menjadi ahli, dan cuba menerapkan kepada parti beberapa nilai-nilai yang berasaskan integriti dan etika, tadbir urus yang baik, perjuangan membanteras rasuah, dan sebagainya.
Saya tidak pernah minta untuk dilantik naib pengerusi, mereka kemudian mahu melantik saya, saya kata baiklah. Saya tidak pernah memohon untuk dilantik sebagai senator. Saya tidak pernah meminta apa-apa bantuan dari kerajaan, walaupun anda tahu sebagai Bumiputera saya layak. Tapi saya fikir kerana saya masih menentang dasar ekonomi baru. Terutamanya apabila saya melihat bahawa mereka telah terpesong dari tujuan asal. Saya tidak pernah meminta-minta.
Tetapi apabila penggal saya (sebagai senator) bakal berakhir, Dewan Negara telah menghantar surat maklumat kerajaan Pulau Pinang. Pada ketika itu, saya menghantar Guan Eng nota menggunakan iPhone saya jika surat itu tiba, dan anda fikir mahu melanjutkan penggal saya, saya bersedia untuk berkhidmat, itu saja. Beliau berkata ya, okay, dan kemudian dia dengan manis berkata kepada saya bahawa dalam satu mesyuarat CEC baru-baru bahawa beliau sudah meletakkan nama saya dan mahu mengumumkan lanjutan penggal saya di dalam mesyuarat CEC tersebut tetapi teringat bahawa beliau tidak boleh berbuat demikian kerana perkara perlu pengesahan dari DAP Pulau Pinang dan kerajaan negeri.
Kemudian selepas kenyataan Bersih, Kit Siang bertemu saya dan berkata ia adalah malang penggal senator saya tamat diwaktu-waktu begini. Katanya mungkin agak sukar bagi mereka untuk mencalonkan saya lagi. Dan saya berkata kepadanya, jika itu akan menyebabkan sebarang masalah bagi parti, sila jangan masukkan nama saya. Saya tidak pernah meminta pun dan saya tidak mahu yang saya dicalon semula bakal menjadi punca ketidakharmonian dalam parti. Jadi, mereka lakukan apa yang saya memberitahu mereka untuk tidak meletakkan nama saya.
S: Saya rasa (jika anda tidak beritahupun) mereka akan menggugurkan anda?
Oh, sudah tentu. Saya pasti mereka mengalu-alukan. Tetapi saya mahu kedudukan saya jelas sepenuhnya. Saya tidak menonjol diri ke hadapan. Saya juga katakan kepada mereka, tidak ada sesiapa lebih besar dari parti. Jika pada pendapat anda, saya telah melampaui batas, sayamengharapkan anda mengambil tindakan. Saya menggalakkan. Siasat saya melalui prosedur tatatertib.
S: Bila anda beritahu mengenai perkara itu?
Selepas saya ditegur. Dia (Guan Eng) membangkitkan beberapa perkara, saya telah melakukan ini, itu, dan yang lain. Dan mereka mengatakan bahawa saya telah melakukan sesuatu yang begitu serius sehingga memerlukan tindakan tatatertib, saya kata lakukan kerana itulah kepimpinan sebenarnya. Kepimpinan adalah mengenai menangani tugas-tugas yang tidak menyenangkan dan tidak mengelaknya. Saya memberitahu Guan Eng, saya akan berfikir lebih banyak mengenai anda jika anda mengambil tindakan sewajarnya. Memanglah susah tetapi menjadi tanggungjawab anda demi kepentingan parti.
S: Apa yang beliau katakan?
Tiada reaksi. Tiada reaksi ketika saya mencadangkan bahawa saya mahu meletakkan jawatan dari CEC dan selepas beberapa waktu, saya akan meninggalkan parti.
S: Adakah anda kecewa dengan Guan Eng sebagai pemimpin? Anda jelas mempunyai kagum dengan bapanya.
Si anak berlainan. Saya tidak mahu menjadikannya isu peribadi. Beliau adalah seorang pemimpin yang baik, selain itu, pemimpin mesti menjadi pendengar yang baik, ini adalah dari pemerhatian saya.
S: Jadi dia pendengar yang baik?
Oleh pengamatan saya, dia perlu belajar untuk mendengar lebih banyak dan memberikan semua orang peluang untuk didengar. Anda perlu belajar dahulu, saya fikir, agak sederhana kerana bukan anda yang perlu katakan apa yang telah anda lakukan untuk Pulau Pinang. Biar rakyat Pulau Pinang memutuskan. Bahawa benar pencapaian yang anda lakukan. Apabila orang mengatakan "yang dilakukan dengan baik Guan Eng". Tetapi apabila anda melaungkan CAT (slogan DAP untuk "kecekapan, akauntabiliti, ketelusan)? Apakah CAT? (orang ramai mengatakan) CAT adalah slogan. Tetapi bagi Guan Eng tidak. Apabila ia datang kepada 1Malaysia, 1Malaysia hanyalah slogan (bagi Guan Eng). Tetapi CAT tidak.
S: Jika semua ini tidak berlaku, anda akan bertanding sebagai calon jika anda diminta? Ya.
S: Adakah sesiapa bercakap kepada anda tentang itu? Tidak.
S: Tiada siapa yang bercakap kepada anda tentang perkara ini?
Tiada sesiapa, walaupun saya telah berkata kepada Guan Eng, Kit Siang, jika mereka perlukan, jika mereka kekurangan  calon dan rasa saya berkhidmat, saya sudah bersedia. Anda tahu, walaupun pada usia saya, jika pihak yang merasakan mereka memerlukan perkhidmatan saya, saya bersedia untuk berkhidmat.
S: Adakah ini penamat karier politik anda (dengan DAP)?
Tentu sekali, tidak ada soalan. Tetapi apa yang benar-benar membuat saya akhirnya memutuskan untuk meninggalkan DAP adalah kejadian Ahad lepas kira-kira jam 8.43 pagi. Saya menerima panggilan telefon daripada Guan Eng. Saya tidak tahu sama ada ia untuk mengambarkan penyesalan atau mereka merasakan perlu mengantikan saya (memberi pampasan) dengan sesuatu berikutan khidmat saya sebagai senator tidak disambung. Beliau menawarkan saya jawatan kanan di di Institut Pulau Pinang, dengan kemudahan perjalanan sebagai salah satu daya tarikan ... Dan saya berkata saya perlu berfikir tentang hal itu.
Sehingga semalam, selepas saya telah membuat keputusan (meninggalkan parti). Pembantu beliau menelefon saya pada waktu makan tengahari mengulangi tawaran bosnya, tetapi menambah bahawa kali ini terdapat wang saku sebanyak RM50, 000 setahun, bersama-sama dengan faedah lain. Saya menganggap tawaran tersebut sepenuhnya menghina. Sama sekali menghina, dan saya hanya boleh menyimpulkan bahawa ia telah datang daripada seseorang yang mempunyai tidak berakal dan tidak mempunyai walaupun sedikit rasa hormat. Adakah beliau fikir saya ini orang jenis apa? Satu penghinaan, petama kerana anda 'menyerang' saya dengan sebab yang salah, kemudian tidak sambung pengkhidmatan saya, dan kemudian ditawarkan jawatan kanan di Institut Pulau Pinang. Ini adalah hal yang saya bimbangkan, orang ini tidak mempunyai rasa kesopanan, dalam erti kata lain.
S: Beliau tidak mempedulikan e-mel anda, kemudian menghina anda ... Dan saya rasa sebagai seorang lelaki yang dikenali dengan etika dan integriti, Institut Pulau Pinang ini berbunyi seperti rasuah.
Ia adalah rasuah. Bagi saya, sebagai orang tua/lama... perkataan Melayu yang sesuai menggambarkan perbuatan mereka kepada saya adalah "biadap". Itulah yang benar-benar membuat saya memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan lelaki ini.
S: Adakah anda berfikir bahawa ada tekanan dari Anwar Ibrahim atau orang lain untuk melakukan semua ini?
Saya tidak terfikir sehingga ke situ, tetapi Kit Siang ada memberitahu saya terdapat banyak tekanan daripada Pakatan Rakyat. Dan pada ketika itu saya berkata kepadanya, saya tidak menyertai Pakatan Rakyat. Setakat yang saya tahu, saya menyertai DAP. Saya ahli DAP. Hakikat bahawa kita adalah sebahagian daripada gabungan itu adalah suatu perkara yang berbeza, tetapi saya tidak menjual jiwa saya kepada parti dan sudah tentu tidak Pakatan Rakyat.
S: Anda seolah-olah keberatan untuk bercakap tentang Anwar, ada sebab tertentu?

Saya mahu mengekalkannya pada tahap yang bermaruah. Saya perlu berhati-hati tentang apa yang saya katakan. Saya mahu menjadi adil kepada Guan Eng yang tiada di sini untuk mempertahankan parti atau dirinya. Tetapi Anwar, saya tidak pernah menjadi seorang yang mengagumi Anwar. Saya tidak kenal dia.
S: Jadi, bagaimana anda rasa (selepas letak jawatan?)
Saya rasa bebas. Ia adalah langkah yang diberkati, saya menerima banyak mesej galakan daripada orang-orang seperti Koh Tsu Koon, Presiden Senat, lain-lain lagi.
Ada yang datang berjumpa dengan saya, kami duduk dan minum bersama-sama. Orang-orang ini, mereka telah cuba dengan baik untuk mengubah DAP di peringkat mereka. Mereka mendapati terdapat kronisme yang begitu banyak, begitu banyak puak. Jika anda tidak tergolong dalam puak tertentu, anda disingkirkan, jika anda membuat komen yang tidak menguntungkan, anda disingkirkan. Saya rasa tiada parti yang bebas dari semua ini.
Chow (Chow Kon Yeow), ketua DAP Pulau Pinang, menghantar mesej yang mengatakan bahawa beliau menghormati keputusan saya. Beliau sepatutnya menjadi Ketua Menteri lagi mereka pilih Guan Eng. Beliau Ketua Menteri, Setiausaha Aguang parti dan Ahli Parlimen.
S: Apakah anda fikir PR akan tawan Putrajaya (menang PRU 13)?
Pada masa ini, saya fikir ini keadaan yang ada hari ini adalah yang paling hampir kepada Putrajaya, pakatan yang ada sangat rapuh kerana mereka tidak mampu untuk menyelesaikan beberapa soalan yang asas sebelum pergi kepada pilihan raya.
Sebagai contoh, negeri Islam. Saya tidak tahu bagaimana mereka akan menyelesaikan ini kerana PAS tidak akan meninggalkan ia. Ia adalah tunjang kepercayaan agama dan politik mereka. Ia seperti meminta seseorang untuk meninggalkan prinsip-prinsip mereka.
S: Apakah ini yang ada lihat? 
Ini adalah apa yang saya lihat dari dalam. DAP, sebagai contoh, tidak gembira dengan sikap PAS. Satu hari mereka berkata ya, kita tidak akan menjadi sebuah negara Islam, hari seterusnya berkata, sebaliknya. Demi kepentingan politik mereka bersatu tetapi tiada perpaduan kukuh di dalamnya (PR). Anda boleh lihat, Karpal yang kecewa. Persoalannya bagaimana anda boleh pergi ke medan peperangan (bersama-sama) apabila strategi anda telah dikompromi kerana ideologi yang berbeza?
S: Jadi apa yang anda akan lakukan selepas ini?
Apa sahaja yang saya lakukan, saya mahu terus berkhidmat di negara kita, dan saya fikir saya telah mendapat banyak pendedahan, baik dalam perniagaan serta organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Sekretariat Komanwel. Jika kerajaan atau sesiapa sahaja yang difikirkan saya mungkin berguna, saya gembira untuk berbuat demikian bagi negara kita.
Tetapi tidak akan menyertai politik lagi. Sebagaimana yang mereka katakan, sekali digigit dua kali malu. Tetapi dalam kes ini
sekali digigit, selama-lamanya malu. Sekali cukup la. Saya naif dan kadang-kadang sangat bodoh, tetapi saya percaya saya melakukan perkara yang betul. -16/5/2012 TERJEMAHAN BEBAS HELME HANAFI


Read more »

Sokong transformasi Najib, Tunku Aziz kata tak setuju cara politik Anwar...




Oleh: Beruang Biru
Orang yang Lim Kit Siang penah gelarkan 'Towering Malay' aka 'Melayu Terbilang',  Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, pada Jumaat berkata kepimpinan Datuk Seri Najib Razak harus disokong dan patut diberi peluang dan masa bagi menjayakan program transformasi yang sedang dilaksanakan.
Bekas Naib Pengerusi  DAP yang bertindak keluar parti itu Isnin lalu kerana mempertahankan prinsipnya menentang demonstrasi BERSIH pada 28 April lalu, sekali lagi mengulangi pandangannya bahawa program transformasi yang dimulakan Perdana Menteri adalah baik untuk negara.

"Apa yang Perdana Menteri buat sekarang ini adalah betul, jadi kita kena sokong dia... Proses dari segi definisinya pun kena ambil masa sikit.

"Proses bukan produk...produk boleh keluar terus, awak pergi Tesco boleh beli," katanya sambil menegaskan ini termasuk usaha pentadbiran Najib untuk menambah baik proses demokrasi negara.
Diminta pandangannya sama ada kepimpinan Najib akan mendapat sokongan rakyat pada pilihan raya umum akan datang kerana perubahan yang sedang dibawanya, Tunku Aziz berkata:
"Saya bukan penganalisa politik dan tidak mahu membuat spekulasi. Tapi proses, kena bagi masa, bagi peluang. Dulu kita dok jerit itu, ini, kerajaan tak buat itu dan ini, sekarang kerajaan dah dengar...itulah saya kata tak payahlah lagi lah nak buat protes...nak buat BERSIH 4.0...mahu apa lagi."
Beliau berkata, tunjuk perasaan diadakan untuk menarik perhatian dan mempertingkatkan kesedaran orang ramai.

"Awak fikir kerajaan tak nampak apa rakyat hendak...98 peratus yang protes nak tukar undang-undang itu ini, tapi yang dua peratus tu...mereka itu ada agenda lain...mereka buat kacau," katanya.
Beliau merujuk kepada tindakan parti politik pembangkang tertentu yang dikatakan "merampas" tunjuk perasaan itu daripada badan bukan kerajaan yang menganjurnya dan dikatakan bertanggungjawab mencetuskan huru-hara pada hari itu sehingga beberapa anggota polis dan orang awam mengalami kecederaan.
Beliau turut menolak perlantikkannya sebagai fellow di Intitut Pulau Pinang seperti yang diwar-warkan DAP, dan menyifatkan tawaran tersebut "tidak masuk akal".
Ditanya pendapatnya mengenai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tunku Abdul Aziz berkata sejak beliau menjadi kolumnis untuk akhbar The New Sunday Times, beliau memang tidak bersetuju dengan cara politiknya dan pernah menulis artikel bertajuk "Stop the theatrics Anwar, let the Malaysian get on with their life".
Tulisan itu menyentuhkan desas-desus kononnya Kerajaan Persekutuan akan berubah ke tangan pembangkang pada 16 September 2008, dengan sebilangan besar Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dikatakan akan melompat keluar untuk menyertai pembangkang.
"Saya lompat-lompat ni memang tak suka...saya benci orang yang berbuat begitu...kita masuk bawah lambang katakanlah UMNO kemudian lompat ke Anwar...itu saya tidak setuju... Kalau awak nak lompat, letak jawatan...dan adakan pilihan raya kecil dan bertanding atas tiket Bebas...tengok boleh menang atau tidak," katanya dipetik Bernama.
Tunku Abdul Aziz, tokoh korporat dan aktivis menentang rasuah yang pernah menjadi Naib Pengerusi Transparency International dan membantu menubuhkan Transparency International-Malaysia, menyertai DAP selepas pilihan raya Mac 2008 dan terus dilantik sebagai naib pengerusi parti itu dan sebagai Senator pada Julai 2009.
Bagaimanapun tempoh perkhidmatannya sebagai anggota Dewan Negara mewakili DAP tidak disambung oleh pucuk pimpinan parti itu selepas beliau membuat kenyataan terbuka menentang perhimpunan BERSIH 3.0 yang disokong partinya dan pakatan pembangkang.
Ditanya sama ada beliau akan mengkaji semula keputusannya meninggalkan DAP, Tunku Abdul Aziz menegaskan keputusannya adalah muktamad.
"Saya dah kata, kalau saya dah keluar tu, saya keluar....habis cerita," katanya.
Ditanya sama ada beliau menerima apa-apa komen atau maklum balas daripada anggota DAP Melayu yang lain selepas membuat keputusan keluar parti berkenaan, beliau berkata tidak ada.
Mengenai komen bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang hairan kenapa beliau menyertai DAP, Tunku Abdul Aziz berkata beliau masuk DAP untuk memperjuangkan pencegahan rasuah dan mempromosikan integriti di dalam sektor kerajaan dan perniagaan.
Beliau juga pernah berkhidmat dalam sektor korporat dan menjadi penasihat Bank Negara sebelum menjadi aktivis.
"Saya masa masuk DAP masa tu bukan bercadang pun nak jadi ahli politik...kalau saya nak jadi ahli politik, selepas kolej lagi saya dah masuk...kalau saya nak masuk UMNO, masuk dari dulu-dulu lagi...tapi saya ingat saya ni lebih berguna jika saya tiada kena mengena dengan politik...non partisan," katanya.
Katanya, pada masa ini beliau banyak berehat dan menutup telefon dan meluangkan masa memelihara ikan hiasan-18/5/2012












Read more »

Wednesday, May 30, 2012

Lagi Klinik 1Malaysia Dibina Untuk Rakyat


Sebanyak lima buah lagi Klinik 1Malaysia bakal beroperasi di negeri ini tidak lama lagi bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan klinik berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, dua daripada klinik tersebut akan dibuka di Kuantan manakala tiga lagi di daerah Jerantut, Maran dan Raub.

"Secara purata, seramai 151 pesakit menerima rawatan di klinik tersebut setiap hari iaitu melebihi 100 orang yang disasarkan kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Pergigian Bergerak 1Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu, ketika melawat Hospital Lipis kemudiannya, Tiong Lai berkata, kerajaan akan membina bangunan baru Hospital Lipis di bawah pembangunan fasa kedua hospital itu dengan peruntukan berjumlah RM57 juta.

Katanya, pembinaan bangunan itu akan bermula pada tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2014.

"Apabila siap kelak, ia bakal menempatkan wad perubatan lelaki dan wanita, wad kecemasan dan trauma, unit sajian serta unit pentadbiran dan rekod.

"Pembinaan bangunan baru Hospital Lipis itu terletak di bersebelahan bangunan sedia," katanya.

Tambahnya, bagi bangunan sedia ada pula, kementerian memperuntukkan RM500,000 bagi kerja-kerja menaik taraf meliputi klinik pesakit luar, wad kanak-kanak dan unit kecemasan.

Read more »

Pisang Mampu Menjana Ekonomi Setempat


Seramai 35 penduduk Kampung Lada, dekat sini mengikuti Bengkel Pelan Tindakan Desa, Satu Kampung Satu Produk yang diadakan baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lada, Mazlan Malik berkata, penyertaan dalam bengkel itu bagi membolehkan peserta meningkatkan kemahiran sebelum mengusahakan tanaman pisang sebagai satu sumber pendapatan kepada penduduk.

"Kami telah mengadakan bengkel selama sehari yang dikendalikan penceramah dari Institut Kemajuan Desa (Infra), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah," katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Menurutnya, penduduk kampung telah lama berhasrat memajukan tanah padang ragut seluas lapan hektar yang terbiar dengan tanaman pisang dan impian mereka bakal menjadi kenyataan.

"Pasaran pisang di Jerantut sendiri sangat baik dan sebab itu kami memilih mengusahakan tanaman pisang malah berhajat menjadikan perusahaan berasaskan pisang sebagai produk yang menjana ekonomi kepada penduduk setempat seperti kerepek pisang," ujarnya.

Beliau berkata, golongan wanita di kampung berkenaan telah mengusahakan kerepek pisang dan mendapat sambutan menggalakkan sehingga tidak dapat memenuhi permintaan pasaran.

Mazalan memberitahu, penduduk di sini sudah bersetuju memulakan projek tersebut melalui penubuhan koperasi bagi mengumpul modal pusingan.

Seorang penduduk kampung, Khairul Azman Sazali, 26, menyifatkan projek tersebut sangat baik kerana permintaan pisang yang tinggi di pasaran.

"Bengkel ini memberi peluang kepada penduduk kampung untuk membuat perancangan dan pelan tindakan ke arah membangunkan serta memajukan produk desa bagi meningkatkan aktiviti ekonomi mereka," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Pengurusan Desa, Bahagian Pembangunan Sosial dan Antarabangsa Infra, Norazman Abdul Rahman berkata, penduduk digesa meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai projek yang hendak dijalankan terlebih dahulu bagi mengelakkan timbul masalah ketika projek tersebut berjalan.

"Kegagalan menguasai ilmu tentang sesuatu projek akan menyebabkan projek itu terbengkalai dan hanya menjadi projek gajah putih," kata beliau.

Tambahnya, penduduk luar bandar harus merebut segala peluang yang diberikan kerajaan bagi memajukan diri dan kampung masing-masing dari segi ekonomi sekali gus membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

Read more »

Rezeki Rumah Baru


“Sudah 20 tahun kami anak beranak tinggal di rumah kongsi ini. Walaupun ia sudah usang, tetapi di sinilah tempat kami berteduh dari hujan dan panas.

“Kini berita gembira yang dibawakan oleh wakil rakyat bakal menjadikan hidup kami berubah apabila dapat pindah ke rumah yang lebih selesa,” kata Salim Kidam, 68 yang tinggal di Kampung Melayu Sungai Lembing di sini.

Salim berkata, dia masih lagi bersyukur apabila mempunyai tempat tinggal jika dibandingkan dengan orang lain.

Menurutnya, rumah kongsi yang didiami sejak 1992 ini merupakan antara jasa baik pihak syarikat di Sungai Lembing ini untuk mereka tinggal tanpa sebarang bayaran.

“Masa dahulu memang susah nak hidup, tetapi kami sekeluarga masih lagi bernasib baik untuk tinggal menumpang di sini. Keadaan rumah yang saban tahun semakin usang menuntut kami untuk bersabar sahaja memandangkan saya sendiri tidak mampu untuk membaiki kerosakan ini.

“Jika diikutkan, rumah ini boleh roboh bila-bila masa sahaja, tetapi alhamdulillah, sehingga kini kami tidak mengalami apa-apa masalah bencana melainkan atap bocor dan dinding usang sahaja,” katanya.

Justeru itu, dengan perhatian daripada pemimpin setempat, hidup pasangan suami isteri yang mengambil upah menjual kuih muih ini bakal berubah apabila mereka mendapat bantuan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Di samping itu juga, dengan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, Salim dan isterinya Asiah Omar, 58 berharap rezeki yang dikurniakan Allah ini memberikan ruang dan peluang untuk mereka hidup dalam keadaan yang lebih selesa.

“Sudah ada rumah pun memadailah, kami benar-benar rasa beruntung apabila impian untuk tinggal di rumah baru bakal menjadi kenyataan.

Terharu rasanya apabila masih ada pihak yang sudi membantu meringankan beban kami ini.

“Jika tidak, kami mungkin terus tunggu masa rumah ini akan roboh sahaja. Maklum sajalah keadaan rumah yang sudah usang ini boleh bila-bila masa sahaja runtuh, mungkin umur kami masih panjang dan rezeki bertambah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, pihaknya sudah sedia maklum dengan keadaan rumah yang didiami oleh Salim dan isterinya ini dan terus melaporkan kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan segera.

“Tidak lama lagi mereka akan berpindah ke rumah PPRT di Kampung Kuala Kenau dan saya berharap agar kehidupan mereka selepas ini jauh lebih baik,”katanya.

Read more »

Tuesday, May 29, 2012

BERSIH 1, 2 & 3 AKA ARAB SPRING???





POLITIK MALAYSIA




1. Kita sudah merdeka selama 55 tahun dan telah mengadakan 12 Pilihan Raya Umum. Walaupun parti-parti bukan dari Perikatan atau Barisan Nasional telah berjaya menawan dan mendiri Kerajaan dibeberapa negeri di Semenanjung dan di Sabah, tetapi Perikatan dan Barisan Nasional tidak pernah kalah di peringkat Pusat. Perikatan dan Barisan Nasional terus menjadi Kerajaan diperingkat Pusat, peringkat yang paling berkuasa di Malaysia.

2. Memang pada 1969 Perikatan hampir kalah tetapi kuasa kekal di tangan Perikatan dan akhirnya beberapa parti lawan telah menyertai Perikatan untuk menubuh Barisan Nasional yang terus memerintah.

3. Barisan Nasional menghadapi beberapa masalah dalaman tetapi berjaya mengatasinya dan mengekal kuasanya di Peringkat Pusat. Serpihan dari UMNO yang diusahakan oleh Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim tidak berjaya mengalahkan Barisan Nasional.

4. Pada 2008 kebencian terhadap pemerintahan Abdullah menyebabkan ramai dari penyokong UMNO dan parti-parti komponen lain mengurangkan sokongan kepada Barisan Nasional sehingga lima buah negeri dapat ditawan oleh parti-parti bukan Barisan Nasional. Di peringkat Pusat majoriti Barisan Nasional menurun sehingga tidak dapat menguasai 2/3 dari kerusi Parlimen. Namun Barisan Nasional masih dapat mendiri Kerajaan di peringkat Pusat.

5. Kemenangan yang berturut-turut sejak merdeka melumpuhkan semangat parti-parti bukan Barisan Nasional. Percubaan oleh Anwar Ibrahim untuk menyeludup masuk ke dalam UMNO supaya dapat merebut kuasa dari dalam juga gagal.

6. Yang terpaksa diakui oleh semua pihak, semua rakyat Malaysia dan juga pemerhati asing ialah sehingga kini proses pilihanraya tidak dapat menjatuhkan Barisan Nasional. Majoriti rakyat Malaysia tetap memberi kemenangan kepada Barisan Nasional. Kenapa tidak. Semua terpaksa terima hakikat bahawa Kerajaan-Kerajaan Barisan Nasional telah membawa banyak kemajuan dan nikmat lain kepada rakyat. Barisan Nasional berjaya membawa keamanan dan kesejahteraan kepada Negara Malaysia. Tiap seorang dari rakyat Malaysia dapat mengecapi kehidupan yang lebih mewah dan lebih bahagia di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Segala percubaan oleh parti-parti lawan untuk mengurangkan sokongan dan persepsi baik terhadap Barisan Nasional dan pemerintah yang didirikan olehnya tidak berjaya.

7. Memandang kepada sejarah Malaysia merdeka dan keputusan- keputusan pilihanraya, parti lawan tentu kurang yakin mereka akan menang PRU 13 dan mendirikan Kerajaan Pusat. Cara demokrasi tidak boleh menjayakan mereka. Melihat penggulingan Kerajaan di Negara-negara Arab, tentulah terlintas di hati pemimpin-pemimpin parti lawan bahawa cara-cara demonstrasi ganas dan berpanjangan lebih mungkin memberi kejayaan kepada cita-cita mereka.

8. Tetapi mereka perlu menunjuk kepada rakyat, dan lebih utama kepada dunia luar bahawa Kerajaan Barisan Nasional di Malaysia adalah zalim dan menindas rakyat seperti Kerajaan-Kerajaan kuku besi Negara Arab.

9. Maka diciptalah Bersih. Kononnya pilihanraya di Malaysia ditipu oleh Kerajaan Pusat, walau apapun bukti bahawa di Malaysia parti lawan boleh menang dan telah menang berkali-kali jika rakyat menyokong mereka dan sebaliknya di Negara Arab bukan sahaja Kerajaan yang digulingkan tidak pernah kalah tetapi pilihanraya memberi kemenangan 99% kepada pemerintah, masih juga didakwa Pilihan Raya Umum ditipu oleh Kerajaan Malaysia.

10. Kerajaan bertindak untuk meneluskan lagi proses pilihanraya mengikut kehendak parti lawan. Tetapi masih juga dituduh yang Kerajaan menipu.

11. Banyaklah lagi tuduhan kezaliman dan kemungkaran yang dilempar kepada Kerajaan semata-semata untuk memburukkan imej Kerajaan.

12. Tunjuk-tunjuk perasaan Bersih yang besar dan ganas adalah persediaan untuk menolak keputusan PRU 13 jika parti lawan gagal memenanginya. Kekalahan mereka akan dituruti dengan demonstrasi ganas yang tidak berhenti-henti supaya keputusan pilihanraya ditolak dan satu Kerajaan lain didirikan, yang ditunjuk oleh parti lawan. Kemudian mereka akan berusaha untuk mengadakan pilihanraya sekali lagi yang boleh dimanipulasi oleh mereka.

13. Sudah tentu sebelum Kerajaan pilihan rakyat digulingkan, negara akan diserang bertubi-tubi dengan demo ganas dan huru-hara. Perancangan dan perusahaan akan diganggu mungkin dengan mogok di sana sini anjuran parti lawan.

14. Kestabilan negara akan tergugat. Polis dituduh melakukan keganasan supaya mereka tidak dapat kawal huru-hara dan demo dengan cara berkesan.

15. Kuasa-kuasa asing akan mengecam Kerajaan pilihan rakyat kerana kononnya mengguna kekerasan menghalang kebebasan bersuara dan berdemo. Malaysia akan dicap sebagai Police State.

16. Malaysia yang telah memberi banyak nikmat dan kebahagiaan kepada rakyatnya, yang telah diiktiraf sebagai Negara yang termaju di antara negara membangun, Malaysia yang bangun dengan pesatnya akan bertukar menjadi negara yang tidak lagi stabil dan maju, dan tidak lagi memberi kebahagiaan dan rahmat kepada rakyatnya. Mereka tidak percaya dengan demokrasi maka akan hilanglah hak rakyat untuk memilih Kerajaan.

17. Negara ini akan menjadi miskin dan Wawasan 2020 tidak akan menjadi kenyataan. Inilah yang akan berlaku kerana parti bukan Barisan Nasional kecewa tidak dapat ke Putrajaya. Jika dengan cara ganas mereka, mereka berjaya merebut kuasa, percayalah demokrasi akan dihapuskan dan nasib yang buruk akan menimpa Negara tercinta ini.


Read more »

share2